X
Ahad, 17 Mei 2020 | 5:01pm
Nor Albaniah bersama Nur Aliana Sofea yang lahir pada 28 Mac lalu.
Nor Albaniah bersama Nur Aliana Sofea yang lahir pada 28 Mac lalu.

PKP uji mental, fizikal ibu berpantang

KUALA LUMPUR: Pelbagai perkara perlu difikirkan bakal ibu dan yang baru melahirkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan penjagaan sempurna membabitkan golongan itu.

Antara isu yang difikirkan adalah bagaimana mendapatkan rawatan berurut, membeli barangan keperluan bayi dan mendaftar kelahiran anak dalam fasa PKP terus dilanjutkan lagi.

Bagi pasangan yang tinggal bersama ibu bapa atau keluarga mentua, tidak begitu terasa kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dan mahir dalam menguruskan kaedah berpantang mengikut tradisi Melayu.

Apatah lagi dalam tempoh ini, hampir semua perkhidmatan yang bukan dalam kategori penting seperti khidmat bidan moden mahupun tradisional dengan kebanyakannya datang ke rumah pelanggan tidak dibenarkan dalam usaha mengekang rantaian penularan COVID-19.

Bagi pekerja swasta, Nor Albaniah Ahmad Zakaria, 28, yang melahirkan anak pada fasa pertama PKP, berkata soal keselamatan begitu dititikberatkan khususnya ketika beliau dimasukkan ke wad bagi proses kelahiran.

"Prosedur ketika melahirkan anak di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, cukup ketat, disebabkan musim COVID-19 ini. Ketika anak saya, Nur Aliana Sofea dilahirkan pada 28 Mac lalu, didapati mendapat sedikit jangkitan pada paru-parunya.

"Disebabkan itu, pihak hospital terpaksa menahan anak saya selama lima hari di wad, bahkan mereka turut mengajukan pelbagai soalan dan menyelidik sama ada terdapat kontak dengan pesakit COVID-19," katanya.

Nor Albaniah berkata, beliau sebelum ini sudah membuat tempahan awal bidan tradisional, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan PKP.

"Pengalaman saya bersalin dalam tempoh PKP ini sebenarnya agak sukar. Antaranya, keluarga dan saudara mara tidak dapat menziarahi bayi, selain mak bidan yang sepatutnya mengurut saya tidak dapat datang kerana mematuhi PKP.

"Cuma nasib saya baik kerana ada saudara terdekat yang tinggal berhampiran dan mahir berurut, jadi gunakan khidmatnya untuk menguruskan keperluan berpantang secara tradisional, termasuk mengurut badan," katanya.

Beliau berkata, disebabkan klinik kesihatan tidak menyediakan khidmat postnatal melalui lawatan jururawat ke rumah, Nor Albaniah perlu membawa bayinya bersama menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan.

"Buat masa ini, ibu yang melahirkan anak perlu hadir ke klinik kesihatan bersama bayi untuk menjalani pemeriksaan.

"Demi keselamatan saya perlu memakai topeng muka, selain perlu melalui saringan seperti memeriksa suhu badan," katanya.

Nur Diyana Aimi bersama suami, anak dan ibu bapanya.
Nur Diyana Aimi bersama suami, anak dan ibu bapanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nur Diyana Aimi Roslee, 29, yang selamat melahirkan anak pada 16 Mac lalu bersyukur kerana sempat pulang berpantang di kampung pada hari pertama PKP dikuatkuasakan.

"Saya bersalin di Hospital Putrajaya dan bersyukur kerana sempat pulang ke kampung untuk proses berpantang.

"Jika tidak, mungkin agak sukar untuk berpantang sendiri di rumah, memandangkan ini adalah pengalaman pertama melahirkan bayi sulung.

"Bantuan ibu perlu kerana banyak mengajar cara menjaga bayi, selain menyediakan makanan berkhasiat ketika berpantang. Jadi ia dapat kurangkan rasa tertekan jika melakukan secara bersendirian," katanya.

Nur Diyana Aimi berkata, beliau sentiasa positif walaupun melalui fasa melahirkan anak dalam tempoh PKP dengan pergerakan harian yang agak terbatas.

"Jika kita imbau kembali pesanan orang tua, ibu berpantang tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelakkan sesuatu tidak baik berlaku.

"Kebetulan PKP ini ketika saya sedang berpantang, ia mendorong untuk komited dan lebih berdisiplin mengamalkan cara penjagaan kesihatan dengan betul.

"Malah, saya langsung tidak keluar rumah kecuali untuk ke klinik buat pemeriksaan," katanya.

Beliau tidak menafikan terdapat kekangan yang terpaksa dihadapi sepanjang tempoh PKP ini, namun ia tidak membebankan bagi menjalani kehidupan baharu sebagai seorang ibu.

"Disebabkan pergerakan terhad, antara kesukaran dilalui adalah prosedur pendaftaran anak terpaksa ditangguh kerana Jabatan Pendaftaran Negara ditutup.

"Kesannya, saya tidak dapat menggunakan rawatan panel di klinik swasta untuk anak kerana ketiadaan MyKid.

"Buat masa ini rawatan susulan di klinik kesihatan agak terhad, iaitu hanya mengikut jadual disediakan dengan ada janji temu bagi rawatan susulan perlu dibuat di hospital besar.

"Justeru, amalan penjarakan sosial amat dititikberatkan kerana terpaksa membawa bayi bersama untuk rawatan," katanya.

Beliau tidak menafikan penularan COVID-19 amat membimbangkan kerana virus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Mengulas rutinnya berpantang di kampung, katanya, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan perkhidmatan yang diperlukan ada ada di sini.

"Disebabkan rumah ibu bapa saya terletak di kawasan pinggir kampung, di Kemaman, Terengganu, jadi ramai tukang urut yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti bertungku dan mandi air rebusan kayu bagi menyegarkan badan.

"Untuk memudahkan urusan, suami belikan pam susu dan pakaian anak secara dalam talian.

"Persiapan makanan dalam pantang agak mudah kerana kebanyakannya dibuat sendiri, contohnya setiap hari saya minum susu kurma yang dikisar bagi menambah susu badan," katanya.

Tambahnya, tempoh PKP ini juga cukup berbaloi kerana suaminya, Muhammad Akmal Mohd Dahalan, yang dibenarkan bekerja dari rumah dapat bersamanya berpantang di kampung, selain dapat membantu menguruskan anak.

Berita Harian X