Rabu, 22 November 2017 | 2:17pm
PEGAWAI Perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Zuhrah Musa berucap pada program pemeriksaan kesihatan dan saringan pap smear anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama LPPKN dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Saringan pap smear cegah kanser serviks

Saringan pap smear cegah kanser serviks

[email protected]

PUTRAJAYA: Risiko kematian akibat kanser serviks atau pangkal rahim boleh dikurangkan sehingga 100 peratus jika wanita melakukan saringan pap smear secara berkala.

Pegawai Perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Zuhrah Musa, berkata kanser serviks adalah pembunuh kedua wanita di negara ini selepas barah payudara.

Katanya, stigma masyarakat yang malu untuk membuat saringan pap smear menjadi punca kanser serviks tidak dapat dicegah dari awal.

"Peratus untuk sembuh adalah 100 peratus sekiranya ia dikesan dari awal dan diberi rawatan yang sewajarnya.

"Biasanya, penghidap kanser serviks meninggal dunia berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak ke peringkat akhir.

"Ada berpandangan ujian berkenaan tidak perlu dilakukan kerana tiada gejala. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Kanser serviks boleh dicegah menerusi pemeriksaan pap smear.

"Wanita berkahwin dan kumpulan berisiko iaitu aktif seksual berusia 18 hingga 65 tahun digalakkan menjalani pemeriksaan pap smear bagi mencegah kanser serviks," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada program pemeriksaan kesihatan dan saringan pap smear anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama LPPKN dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Kira-kira 100 pegawai, anggota dan kakitangan IPD Putrajaya mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan dan saringan pap smear secara percuma pada program berkenaan.

Katanya, LPPKN menyediakan perkhidmatan saringan pap smear di Klinik Nur Sejahtera dan Klinik Subfertiliti LPPKN seluruh negara.

Selain itu wanita juga boleh melakukan ujian itu di hospital atau klinik kerajaan dan swasta.

Berita Harian X