Rabu, 22 November 2017 | 4:57pm
PAKAR penyelidik DI, Lina Gyllensten. - Foto Salhani Ibrahim
PAKAR penyelidik DI, Lina Gyllensten. - Foto Salhani Ibrahim

Malaysia berupaya laksana DI

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia dan mampu melaksanakan penjagaan berasaskan keluarga (deinstitutionalisation) atau DI.

Pakar penyelidik DI, Lina Gyllensten, berkata proses berkenaan mampu menjamin kanak-kanak supaya kekal menikmati institusi kekeluargaan apabila berada dalam jagaan keluarga.

"Kami kagum dengan tahap kesedaran dan persediaan semua pihak ke arah melaksanakan DI.

"Negara ini memiliki kepakaran ke arah itu selain sokongan pelbagai pihak memastikan kejayaannya," katanya kepada BH yang ditemui pada Persidangan Penjagaan Berasaskan Keluarga (De-Institutionalisation) Ke-5, di sini, hari ini.

Persidangan bertemakan "Daripada Konsep Kepada Tindakan" adalah anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Program Kendalian Yayasan OrphanCARE (OrphanCARE).

Gyllensten berkata, DI adalah satu proses yang panjang dan pembabitan semua pihak amat diperlukan demi memastikan keberkesanannya.

"Sebab itu kami mengadakan persidangan ini untuk membantu ke arah kejayaan menyediakan penjagaan berasaskan keluarga di negara ini," katanya.

Terdahulu beliau membentangkan analisis yang dilakukan pusat penyelidikan DI, Lumos terhadap institusi kebajikan kanak-kanak di Negeri Sembilan.

Gyllensten berkata, sokongan kepada ibu untuk menjaga sendiri anak mereka perlu dilakukan di peringkat lebih awal sebaik kelahiran.

Ini bertujuan untuk mengelak bayi diserahkan di bawah institusi kebajikan dan penjagaan berikutan pelbagai masalah yang dihadapi ibu berkenaan.

Berita Harian X