Ahad, 17 Disember 2017 | 10:50am
JUNAIDAH (duduk tiga dari kanan) mengambil inisiatif dengan mengetengahkan program membantu usahawan wanita.

Usahawan wanita kuasai perniagaan

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus daripada usahawan berdaftar di bawah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) itu adalah wanita.

Statistik itu memperlihatkan perkembangan positif minat wanita dalam dunia perniagaan yang memberikan peluang untuk menjana pendapatan lumayan.

Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Wanita, Datin Junaidah Mohamed, berkata menerusi Program Transformasi dan Globalisasi Industri Halal 2016 dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), lebih 304 syarikat perniagaan didaftarkan dimiliki wanita.

Katanya, program yang aktif setahun lalu itu turut membantu 408 usahawan seluruh negara mendapatkan sijil halal bagi membolehkan produk diusahakan menembusi pasaran antarabangsa.

"Perkembangan industri berkonsepkan halal di negara ini mendapat perhatian dalam kalangan pengguna tempatan dan sudah mencuri tumpuan pedagang dan pembeli dari luar.

"Antara kategori perniagaan menarik perhatian adalah industri makanan dan minuman (F&B), kosmetik, produk penjagaan kecantikan dan kesihatan.

"Senario itu memperlihatkan semakin ramai wanita berani tampil mencari peluang lebih baik dalam industri perniagaan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tenaga kerja wanita meningkat

Statistik Aktiviti Ekonomi 2016, sebelum ini menunjukkan peningkatan penyertaan buruh dalam kalangan wanita sama ada bekerja atau berniaga meningkat sehingga 54 peratus berbanding dari 45 peratus pada 2012

Junaidah berkata, peningkatan wanita dalam bidang keusahawanan menunjukkan kematangan mereka mengendalikan perniagaan.

"Banyak faktor mendorong penyertaan wanita dalam bidang perniagaan antaranya pendidikan menjadikan wanita lebih peka kepada kehendak pasaran.

"Sehubungan itu, kebanyakan mereka memilih berjinak -jinak dalam bidang keusahawanan dengan menggunakan kelebihan landasan disediakan," katanya.

Katanya, kini pelbagai tawaran dan kemudahan seperti latihan, bimbingan dan khidmat nasihat, premis perniagaan serta pembiayaan disediakan dapat dimanfaatkan oleh ramai usaha wanita.

"Bahkan, dengan adanya perkembangan teknologi, wanita kini boleh memulakan perniagaan dalam talian yang menyediakan platform mudah mendekati pelanggan.

"Usahawan wanita boleh menikmati kebebasan cara bekerja kerana hanya perlu mengawal segala urus niaga melalui komputer di mana sahaja berada.

"Risikonya lebih rendah dan peniaga dapat menguruskan sendiri perniagaan mereka tanpa perlu mengupah ramai pekerja," katanya.

Kos untuk memulakan perniagaan konvensional biasanya lebih tinggi tetapi kos sewa kedai, ubah suai bangunan, upah pekerja dan lain-lain dapat dikurangkan melalui perniagaan dalam talian.

Operasi 24 jam sehari

Katanya, perniagaan dalam talian memberi peluang kepada usahawan wanita beroperasi selama 24 jam setiap hari hanya menggunakan teknologi canggih pada bila-bila masa dan di mana saja.

"Perniagaan ini juga berisiko rendah berbanding perniagaan biasa. Usahawan tidak perlu mengeluarkan wang lebih untuk membeli atau menyewa aset seperti bangunan, peralatan dan kelengkapan lain.

"Penjimatan itu boleh digunakan untuk membeli stok, kos reka cipta laman web dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus syarikat LHR Multi Enterprise Maria Nazra Mohd Salim, 26, berkata, wanita gemar memilih jualan barangan dalam talian kerana ia memberikan pulangan lumayan khusus buat suri rumah ingin menjana pendapatan tambahan.

"Pelanggan perniagaan dalam talian juga tidak terhad kepada kawasan setempat malahan mampu mencapai pelanggan di seluruh dunia," katanya.

Wakil Bahtera Pelangi Emas, Shuhada Zaidin, berkata sungguhpun perniagaan dalam talian tidak dapat menggantikan sepenuhnya perniagaan konvensional, dalam tempoh singkat ia sudah berjaya mengatasi perniagaan biasa.

Katanya, pemilihan produk diketengahkan juga penting bagi memenuhi permintaan pasaran semasa selain penggunaan bahan selamat untuk wanita.

"Rangkaian produk penjagaan kulit yang saya usahakan mula dipasarkan awal tahun ini sudah mencatatkan jualan lebih 1,000 unit dan bakal mengintai pasaran Brunei menerusi jualan dalam talian," katanya.

197 dibaca
Berita Harian X