Selasa, 30 Januari 2018 | 10:17am
MOHAIYANI (tengah) melancarkan program Maybank Women Eco Weavers di Laos.

Latih wanita perkasakan kehidupan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Maybank menerusi Yayasan Maybank, meneruskan program Maybank Women Eco Weavers di Laos dalam usaha melatih lebih ramai wanita di negara itu berkemahiran dalam bidang warisan, seni dan budaya.

Pengerusi Yayasan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata kejayaan Program Eco Weavers di Indonesia dan Kemboja sebelum ini, menjadi pemangkin kepada pihaknya memperluaskan ia ke Laos.

Katanya, program berkenaan berperanan mempromosikan seni tradisional, iaitu menenun tekstil sekali gus mewujudkan peluang perniagaan kepada wanita untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Program ini membantu memperkasa kehidupan wanita dalam industri tenunan dan tekstil, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara masing-masing," katanya dalam satu kenyataannya.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Gabenor, Wilayah Xiengkhoung, Outen Masyxonxai.

Ia turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Laos, Mohd Aini Atan; Pengasas Mulberries Laos, Kommaly Chanthavong dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Mohaiyani berkata, program di Laos itu menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti negara terbabit.

"Program ini menjadi pemangkin kita memperluaskan Maybank Women Eco Weavers ke Laos. Untuk itu, kita menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat sosial tempatan, Mulberries Laos," katanya.

Menerusi program itu, penenun wanita dilatih dengan kemahiran menghasilkan tenunan sutera.

Pokok mulberi yang menjadi sumber utama dalam penghasilan sutera (daun pokok ini dimakan ulat sutera).

Sementara itu, Shahril Azuar berkata, program berkenaan berada dalam kelasnya tersendiri untuk membantu mengekalkan warisan dan budaya tempatan serta membina kapasiti penenun baharu.

Tumpuan utama adalah memelihara, mengekal dan mempromosikan teknik pembuatan tekstil tradisional yang menghasilkan fabrik menerusi kaedah mesra alam," katanya.

Sempena majlis itu, Yayasan Maybank turut melancarkan sebuah asrama Maybank Eco Weavers bagi memudahkan penempatan pelatih baharu yang terpaksa melalui perjalanan terlalu lama untuk sampai ke ladang.

"Sebelum ini pelatih baharu wanita terpaksa melakukan perjalanan selama dua hari untuk sampai ke ladang bagi menghadiri latihan sepanjang 15 hari di pusat berkenaan.

"Pembinaan asrama ini, antara usaha kolektif Maybank bersama rakan program Mulberries, di Daerah Xieng Khuoang, Laos dalam menjayakan misi ini," katanya.

Program di Kemboja itu membabitkan penyertaan lebih 190 petani dan penanaman 30,000 pokok mulberi.

Di Indonesia, program itu melatih 200 penenun wanita dan menyediakan pembiayaan mikro kepada 80 penenun baharu.

Program Eco Weavers disokong oleh Yayasan ASEAN dalam usaha untuk mempertahankan warisan budaya dan pembangunan identiti ASEAN.

Kumpulan Maybank menerusi tanggung jawab korporat (CSR) melaksanakan beberapa program termasuk dalam bidang pendidikan, pemerkasaan komuniti seni dan budaya.

Berita Harian X