Jumaat, 16 March 2018 | 10:21am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Keperluan pesakit wanita terus jadi keutamaan

SUNGAI BULOH: Kerajaan menyediakan pelbagai usaha dan transformasi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada masyarakat, termasuk membabitkan sensitiviti serta keistimewaan pesakit wanita.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata isu penjagaan aurat membabitkan kes sakit puan atau bersalin yang disambut doktor pakar lelaki, masih ditimbulkan dalam kalangan pesakit wanita.

Katanya, dulu kebanyakan wanita yang mendapatkan khidmat doktor pakar lelaki hanya mampu berserah memandangkan tiada pilihan demi menjamin keselamatan nyawa mereka.

Kini, mereka boleh memilih doktor pakar sakit puan dalam kalangan doktor wanita untuk mengendalikan proses bersalin.

Kurang doktor pakar wanita

Cuma ketika ini, kita masih kekurangan doktor pakar wanita. Ketika ini lebih 65 peratus doktor pakar wanita, termasuk pegawai perubatan di hospital kerajaan.

"Setiap tahun lebih 750 doktor pakar dari dalam dan luar negara tamat pengajian untuk berkhidmat di hospital kerajaan.

"Tetapi lebih satu pertiga mengambil keputusan berhenti setiap tahun memandangkan banyak faktor seperti tidak berminat dalam bidang sakit puan, selain bidang ini amat mencabar.

"Faktor lain termasuk pegawai tidak cukup dan pakar sakit puan wanita ini ramai yang berhenti kerana berkhidmat dalam sektor swasta menjanjikan pendapatan lebih tinggi," katanya selepas merasmikan Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia Bidang Kesihatan 2018 dan Pelancaran Manual Hospital Mesra Ibadah (HMI), di Hospital Sungai Buloh, semalam.

Tawar biasiswa, insentif>

Justeru, Dr Hilmi berkata, kerajaan mahu melahirkan lebih ramai doktor pakar wanita dalam bidang sakit puan dan bagi tujuan pihaknya menyedia biasiswa bagi menarik mereka mengambil kursus berkenaan.

Selain itu, kerajaan menyediakan pelbagai insentif bagi memastikan mereka kekal berkhidmat sebagai doktor pakar di hospital kerajaan.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan doktor pakar dari hospital kerajaan mendapat pelepasan sehari untuk bertugas di hospital lain," katanya.

"Bagaimana saya berbangga dengan doktor pakar di hospital kerajaan yang sentiasa setia untuk berkhidmat dengan kerajaan hingga kini tanpa memikirkan soal gaji tetapi perkhidmatannya, selain insentif disediakan kerajaan cukup banyak," katanya.

Berita Harian X