Rabu, 21 March 2018 | 11:43am
DARI kiri; Daphne Iking bersama panel; Munirah, Christy Ng, Ngai Yuen, Amy Blair dan Hazel pada forum bertajuk Redefining The Role of Women in the Digital Age, di Cyberjaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Perubahan seiring era digital

CYBERJAYA : Ledakan Revolusi Industri 4.0 memerlukan perubahan menyeluruh dalam pelbagai aspek, termasuk perspektif berbeza seseorang wanita menyusun semula peranan bagi memenuhi keperluan masa depan.

Seiring Tahun Memperkasakan Wanita 2018, Cyberview Sdn Bhd membawakan edisi keempat Starter Kit dengan membawakan forum bertajuk Redefining The Role of Women in the Digital Age, menghimpunkan lima ahli panel berbincang isu berkaitan.

Sepanjang tempoh lima tahun ini, wanita mahukan peluang sama rata, akses digital menyeluruh di semua sekolah, bantuan dana bagi program keusahawanan dan maklumat terperinci, khususnya berkaitan era globalisasi.

Kegagalan jadi pemangkin

Pengasas dan pereka kasut Christy Ng.com, Christy Ng, berkata sebagai usahawan, seseorang perlu merebut peluang menjadikan kegagalan sebagai pemangkin kejayaan dan mempunyai pasukan pengurusan yang mahir selok-belok perniagaan.

"Secara peribadinya, saya terbuka bekerja dalam pasukan yang mempunyai gandingan antara lelaki dan wanita supaya peluang perniagaan dapat pergi lebih jauh.

"Keperluan ini menjadikan syarikat lebih utuh, berikutan masing-masing mempunyai kekuatan dalam mewujudkan persaingan kerana semua berusaha melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI)," katanya yang kini mempunyai enam rangkaian kedai kasut jenamanya sendiri.

Empat panel lain terdiri daripada Pengasas dan Pengarah Urusan Neuramatix Sdn Bhd, Datuk Munirah Abdul Hamid; Pengarah Eksekutif Global Entrepreneurship Movement (GEM), Low Ngai Yuen; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Boutiqe, Amy Blair dan Pengarah Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Hazel Abu Samah. Forum dikendalikan personaliti televisyen, Daphne Iking.

Lestari program keusahawanan

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sementara itu, Hazel berkata, tumpuan memperkasakan wanita membentuk usaha ke arah kehidupan lebih baik bagi melestarikan program keusahawan berkesan dalam mencorakkan gaya hidup, penjagaan kesihatan dan kecergasan.

Dalam era digital ini wanita perlu merebut peluang memulakan langkah kerana teknologi menyediakan landasan terbaik kepada inovasi dengan menawarkan program pemasaran secara berkesan.

353 dibaca
Berita Harian X