Isnin, 26 March 2018 | 9:12am
KAJI selidik dapati hanya satu peratus wanita tahu atasi sendiri kerosakan. - Foto fail NSTP/Rosela Ismail

1 peratus tahu selesaikan kerosakan kereta

KUALA LUMPUR: Wanita lebih cenderung mendapatkan pertolongan daripada ahli keluarga apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan berbanding menyelesaikan sendiri masalah itu tanpa bantuan orang lain.

Kaji selidik Bosch Automotive Aftermarket (AA) mendapati hanya satu peratus wanita tahu menyelesaikan kerosakan kenderaan mereka tanpa mengharapkan bantuan mereka, sebaliknya akan menghubungi keluarga atau rakan terdekat.

Pengurus Bosch Automotive Aftermarket (AA) Malaysia, Pang Yoon Kong, berkata, kira-kira 48 peratus lelaki pula mampu menyelesaikan masalah berkaitan kenderaan apabila berlakunya kerosakan.

PENGURUS Bosch Automotive Aftermarket (AA) Malaysia, Pang Yoon Kong. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Katanya, kaji selidik membabitkan 350 pemandu berusia 18 hingga 55 tahun di negara ini bertujuan mendapatkan maklumat mengenai tabiat pengurusan bateri kereta yang menjadi faktor penyumbang utama kenderaan rosak.

"Kita dapati hanya satu peratus wanita mampu menyelesaikan masalah berkaitan kenderaan, berbanding lelaki 48 peratus.

"Kajian mendapati kira-kira 70 peratus kerosakan kenderaan berpunca daripada masalah bateri, yang mendatangkan risiko kepada semua pemandu terutama wanita sekiranya mereka terkandas bersendirian," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kira-kira 84 peratus wanita akan mendapatkan bantuan daripada keluarga, sementara 12 peratus lagi menghubungi syarikat penyedia bantuan kerosakan kenderaan akibat kegagalan bateri.

"Justeru, kita berhasrat memperkasakan pemandu wanita supaya tahu perihal kenderaan dan mampu mengenal pasti tanda awal kerosakan pada bateri.

"Lima tanda bateri rosak apabila enjin mengambil masa untuk dihidupkan, muncul lampu amaran pada papan pemuka, bateri perlu bantu mula (jump start) melebihi tiga kali seminggu, bekas bateri bengkak dan bateri berbau seperti telur busuk," katanya.

Yoon Kong berkata, pihaknya juga mengenal pasti 29 peratus wanita berbanding 22.6 peratus pemandu lelaki gemar menggunakan bateri asid plumbum (bateri sel basah) berbanding bateri bebas penyelenggaraan (bateri sel kering).

"Lebih ramai pemandu kini memilih untuk menggunakan bateri sel kering berbanding bateri sel basah yang memerlukan penyelenggaraan. Bateri sel kering memiliki kelebihan kerana mampu memberikan lebih kuasa, mengecas lebih pantas dan mampu tahan lebih lama.

"Pemandu dapat menikmati pengalaman pemanduan tanpa perlu bimbang dan perlu memeriksa paras air bateri sama ada ia mencukupi atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X