Rabu, 23 Mei 2018 | 9:39am
PENGUSAHA songket, Zainab @Ngah Mamat membantu pekerjanya menenun songket di bengkel di Panji Alam, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria
PENGUSAHA songket, Zainab @Ngah Mamat menunjukkan antara songket tenun di bengkel di Panji Alam, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria
PENGUSAHA songket, Zainab @Ngah Mamat menunjukkan antara songket tenun di bengkel di Panji Alam, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

Menenun songket sejak usia 7 tahun

KUALA TERENGGANU: Seawal usia tujuh tahun, Tokoh Kraf Negara, Zainab Mamat, 76, sudah terbabit dalam aktiviti menenun songket dengan mengambil upah RM4 untuk sehelai kain bagi membantu menampung pendapatan keluarga.

Pada zaman itu, aktiviti menenun busana tradisional sememangnya menjadi sumber utama golongan wanita di kampung kelahiran Zainab, di Kampung Gelang Gajah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kehidupan dalam zaman penjajahan Jepun yang serba-serbi kekurangan, menyuntik semangat beliau untuk meringankan beban keluarga dan mencari duit 'poket'.

"Setiap hari, selepas pulang sekolah, beliau mengambil upah menenun songket walaupun upah diberi ketika itu tidak sampai RM4 untuk sehelai kain tenunan.

"Upah tidak seberapa tetapi minat mengatasi segala-galanya. Saya belajar menenun dari ibu dan nenek dan jiran kampung yang mahir dengan tenunan.

"Tiada pendidikan formal mahupun bengkel latihan disediakan pada zaman penjajah. Hanya dari pemerhatian dan pengalaman, ia memahirkan saya untuk menjadi penenun songket," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Depu Jalan Panji Alam, di sini, baru-baru ini.

Program bersama beliau diadakan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2018 yang akan diadakan baru-baru ini, di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Ibu kepada enam anak ini, berkata lebih menyukarkan apabila timbul persepsi penenun wanita berstatus rendah, tidak berpelajaran dan golongan kelas bawahan sehingga ada rakan kampung yang memperlekehkan minatnya itu.

"Banyak reaksi negatif sehingga ada yang berseloroh mengatakan saya cuma layak berkahwin dengan pengayuh beca apabila memilih kerjaya ini," katanya.

Pengiktirafan diterima daripada Kraftangan Malaysia pada 2012 lalu, 'memujuk' hati dan membuktikan bahawa perjuangan sepanjang 64 tahun dalam seni tenun songket sememangnya berbaloi.

Lebih membanggakan, hasil tangan beliau itu sering menerima tempahan daripada golongan atasan termasuk pemimpin negara selain mengamit perhatian peminat songket di Brunei dan Singapura.

"Penghargaan diterima melenyapkan sedikit rasa terkilan kerana ada pihak yang menghargai perjuangan, pengorbanan dan keikhlasan saya mencintai seni tenunan songket," katanya.

Beliau berkata, sepanjang mengusahakan perniagaan Terengganu Songket , yang menjual produk hasil tenun songket menggunakan kemahiran tangan, beliau memanfaatkan kemahiran itu mengajar suri rumah dan belia yang berminat untuk mempelajarinya.

"Dengan ilmu dan kemahiran yang ada, saya tidak kisah untuk mengajar sesiapa saja yang berminat.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, saya turut membuka peluang kepada suri rumah untuk bekerja dengan saya dan lebih daripada 10 pekerja wanita memanfaatkan peluang ini.

"Tetapi untuk belajar tenunan songket, ciri yang perlu ada adalah minat, kesabaran dan kesungguhan. Tidak semua orang ada ciri seperti ini terutama orang muda sedangkan generasi belia patut meneruskan perjuangan supaya songket terus dimartabatkan ," katanya.

Setakat ini, hanya seorang daripada enam anak beliau, yang mewarisi kemahiran menenun songket, melegakan sedikit kebimbangan disuarakan beliau terhadap pembabitan generasi muda dalam seni kemahiran itu di sekitar Terengganu.

Selain itu, sebagai penggiat seni tenun, beliau sedikit terkilan apabila melihat lambakan kain songket yang 'mempergunakan' nama seni tenun asli Terengganu untuk melariskan jualan produk.

"Saya cukup kecewa apabila songket keluaran India dikatakan sebagai songket Terengganu. Sekilas pandang saya sudah tahu keaslian songket.

"Benang dan kualiti songket India yang kebanyakan menggunakan mesin dan bukan kemahiran tangan memang berbeza dengan songket Terengganu.

"Ia adalah pilihan peniaga untuk mempromosi songket India, tetapi saya mahu mereka berlaku jujur. Jangan cakap songket India adalah sama dengan songket Terengganu. Itu saja saya mahu," katanya.

Walaupun harga ditawarkan lebih murah berbanding songket asli Terengganu yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit, beliau masih berharap masyarakat menghargai seni warisan negara dengan menyokong tenunan songket asli.

Berita Harian X