Isnin, 11 Jun 2018 | 8:28am
Sharul Rina bersama anak pada majlis berbuka puasa anjuran CELEPETS di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

Raya pakai baju bundle

KUALA LUMPUR: Golongan asnaf dan miskin bandar tetap gembira menyambut Syawal ini walaupun hanya menyarungkan pakaian lusuh dari kedai bundle yang berharga serendah RM5 kerana tidak mampu membeli persalinan baharu.

Ibu tunggal, Shahrul Rina Mohd Sidek, 39, berkata memandangkan pendapatannya yang tidak menentu beliau tidak kisah menyediakan pakaian terpakai dibeli di kedai bundle untuk keempat-empat anaknya menjelang Aidilfitri ini.

Beliau yang menetap di pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara Petaling Jaya menyambut lebaran seadanya tanpa perlu pakaian baharu manakala barangan keperluan rumah disediakan mengikut kemampuan.

"Dengan wang yang ada mereka mampu membeli pakaian bundle untuk anak pada harga bermula RM5.

"Gaji saya rendah. Saya sediakan sekadar menggembirakan anak-anak, selain ada juga pakaian yang disedekah orang ramai untuk menyambut lebaran ini," katanya pada majlis berbuka puasa bersama 52 keluarga asnaf dan miskin bandar anjuran Celebrity Pets (Celepets), di sini, baru-baru ini.

Walaupun Shahrul Rina menerima bantuan RM350 sebulan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS), selain gaji RM650 sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pasar malam, perolehan itu belum cukup menampung perbelanjaan.

"Komitmen perlu dilunaskan antaranya sewa rumah, bil elektrik dan perbelanjaan sekolah anak. Bagi menampung perbelanjaan saya melakukan banyak kerja seperti mengambil upah mencuci rumah orang bersama anak sulung

"Saya perlu berusaha dan tidak malu melakukan apa sahaja kerja kerana niat untuk mencari rezeki. Kami hidup dalam keadaan serba sederhana. Selalunya kalau tidak sempat masak, kami lima beranak kongsi sebungkus nasi goreng untuk makan malam," katanya yang tidak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Julia dan enam anak turut diraikan pada majlis berbuka puasa anjuran CELEPETS. - Foto Owee Ah Chun

Asnaf, Julia Mat Salleh, 39, berkata pendapatan tidak menentu hasil jualan kuih dan pisang goreng bersama suami, beliau mengamalkan jimat cermat.

"Saya sediakan sepasang baju baharu setiap orang. Saya beli sikit-sikit empat bulan sebelum Ramadan. Bagi menjimatkan kos saya membeli kain dan menjahit sendiri.

"Demi menggembirakan anak, saya menutup perniagaan seminggu untuk menyiapkan pakaian anak dan membuat kuih raya di rumah," katanya mendapat bantuan daripada PZS berjumlah RM900 sempena Ramadan.

Julia yang menetap di Kayu Ara Damansara turut menerima bantuan sara hidup RM500 dan pelbagai makanan asas secara bulanan.

Berita Harian X