Rabu, 1 Ogos 2018 | 8:38am
YEOH (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas kepada Dr Woan Tyng di Fakulti Pergigian, UiTM, semalam. - Foto Amirudin Sahib

Wanita kuasai industri pergigian

SUNGAI BULOH: Pembabitan wanita dalam industri pergigian menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan setiap tahun menjadikan Malaysia sebagai negara yang menghasilkan ramai tenaga kerja wanita dalam industri berkenaan.

Mengikut statistik tahun lalu, seramai 5,877 atau 68.18 peratus pengamal pergigian wanita berdaftar dengan Lembaga Pergigian Malaysia berbanding hanya 2,743 atau 31.2 peratus pengamal perubatan pergigian lelaki.

Data juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding statistik 2016 yang mencatat seramai 4,844 atau 21.33 peratus pengamal perubatan pergigian wanita berdaftar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan, berkata peningkatan statistik itu menunjukkan industri pergigian melahirkan ramai wanita berkebolehan dalam bidang itu.

"Statistik menunjukkan 76.2 peratus wanita ini berada di sektor kerajaan, manakala 52.2 peratus swasta.

"Jumlah wanita yang bekerja dalam industri ini semakin baik dan statistik menunjukkan doktor gigi wanita menguasai sektor di negara ini.

"Saya turut berbangga kerana wanita juga turut menjadi pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan pergigian," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Wanita dalam Industri Pergigian, di Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.

Persidangan bertemakan Meraikan Pencapaian Wanita menerusi semangat dan kepimpinan itu diadakan pada 28 Julai hingga hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Pergigian, UiTM, Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abu Hassan dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsanya, Prof Dr Mohamad Kamal Harun.

Tseow Suan berkata, perubahan demografi dalam corak kerja dalam industri perubatan pergigian turut memberi perubahan ketara dalam peranan dan tanggungjawab wanita.

"Isu mengimbangi antara kerjaya dengan keluarga ini memerlukan sokongan keluarga dan sistem sokongan penjagaan kanak kanak bagi memberi peluang kepada wanita dalam bidang ini menonjol dalam sifat kepimpinan mereka.

"Ini kerana wanita dalam bidang pergigian melalui cabaran tersendiri dan pada masa sama mempunyai tanggungjawab membantu meningkatkan industri kesihatan oral negara," katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan wanita mengimbangi peranan sebagai ibu dan kerjaya, penting bagi memberi perhatian terhadap keperluan mereka terutama dari segi penjagaan keselamatan kanak-kanak di tempat kerja.

"Ia akan memberi impak kepada prestasi di tempat mereka bekerja memandangkan ramai wanita meninggalkan kerjaya disebabkan masalah penjagaan kanak-kanak ini," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas kepada Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), Dr Ng Woan Tyng yang menjadi wanita pertama bergelar presiden persatuan berkenaan.

"Menjadi ibu dan doktor gigi memberikan pelbagai cabaran. Saya pernah menjadikan klinik sebagai tempat penjagaan ketiga anak, tetapi saya berjaya mengatasi kedua-duanya.

"Anugerah ini cukup bermakna dan saya berharap lebih ramai wanita berada dalam bidang ini kerana saya yakin wanita yang menjadi doktor gigi lebih mempunyai kelebihan dari segi layanan dan kemahiran," katanya.

Berita Harian X