Selasa, 16 Oktober 2018 | 8:06am
RAMAI wanita tidak mengambil berat pemeriksaan payudara dan hanya ke hospital selepas barah berada tahap tiga atau empat.

Ujian percuma kesan kanser payudara

Saringan percuma
kesan barah payudara

Oleh Halina Mohd Noorhalina_mdnoor@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kira-kira 150,000 wanita dari 70 kawasan perumahan awam di sekitar ibu kota berpeluang menerima rawatan saringan secara bulanan sebagai langkah pencegahan awal mengesan barah payudara, mulai tahun depan.

Program itu hasil susulan kejayaan Kempen Kesedaran Barah Payudara dilaksanakan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Pink October Week 2018, membabitkan lima kawasan perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 18 Ogos sehingga 6 Oktober lalu.

Wanita terbabit akan diberi bimbingan penjagaan kesihatan dan maklumat berkaitan bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan kanser payudara.

Pengarah HKL, Dr Heric Corray, berkata program itu membabitkan semua wanita yang tinggal di kawasan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL.

Katanya, program itu diadakan dengan kerjasama DBKL, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan seperti Majlis Kanser Kebangsaan (MAKNA),” katanya.


PEMERIKSAAN saringan berkala sebagai langkah pencegahan awal mengesan kanser payudara.- Foto hiasan

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara, HKL Pink October 2018, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa HKL Pink October 2018, merangkap Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam serta Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi, DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

HKL Pink October 2018 membabitkan PA Seri Kedah, PPR Jalan Jelatek, PPR Kg Baru Air Panas, PPR Kerinchi dan PA Seri Kota.

Beliau berkata, program itu akan diperluaskan ke kawasan perkampungan bandar padat penduduk bagi memastikan semua wanita menjalani saringan terutama yang tidak berkesempatan ke hospital.

Katanya, ramai tidak mengambil berat pemeriksaan payudara dan hanya ke hospital selepas barah berada tahap tiga atau empat.

Sementara itu, Dr Ros Suzanna berkata, 524 wanita menjalani pemeriksaan sepanjang program itu dengan purata usia 40 tahun ke atas, di lima kawasan perumahan terbabit.

“Dianggarkan 100 wanita setiap perumahan menjalani pemeriksaan saringan barah payudara yang dilakukan doktor HKL, manakala ujian mamogram disediakan MAKNA menerusi treler bergerak.

“Setakat ini, kira-kira 31 orang dirujuk ke hospital kerana disyaki mempunyai ketulan pada payudara yang perlu menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hanya satu pertiga wanita sudah diberikan janji temu di HKL untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka yang tidak hadir dipanggil semula untuk memastikan tidak menangguhkan pemeriksaan,” katanya.

Dr Ros Suzanna berkata, HKL Pink October adalah program tahunan 2016, hasil kerjasama empat jabatan iaitu Jabatan Pembedahan (Unit Payudara dan Endokrin); Jabatan Radiologi, Jabatan Patologi, Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL.

“Pihak kami juga akan mengadakan program sama membabitkan aktiviti HKL Pink October Outreach, HKL Pink October Week dan HKL Pink October Zumba, pada 20 Oktober ini,” katanya.


PELANCARAN "Kempen Kesedaran Kanser Payudara" HKL Pink October 2018 di sempurnakan Dr Heric Corray (dua dari kanan) bersama-sama ketua jabatan di ibu kota, semalam.-Khairul Azhar Ahmad

Selain itu, program akan dimeriahkan dengan HKL Pink October Street Carnival, iaitu pelbagai aktiviti termasuk klinik pemeriksaan saringan kanser payudara, klinik pemeriksaan kesihatan, klinik berhenti merokok, food truck dan aktiviti kanak-kanak.

Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik cadangan menjadikan program pemeriksaan payudara sebagai acara bulanan.

“DBKL melihat cadangan itu sebagai usaha murni dan sentiasa menyokong dengan menyediakan logistik bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap barah payudara.

“Selain mementingkan kebersihan di PA dan PPR, kami mempertingkatkan tahap kesihatan penduduk dan menggalakkan kakitangan DBKL menjalani pemeriksaan ini,” katanya.

Berita Harian X