Jumaat, 19 Oktober 2018 | 7:53am
LEDAKAN era digital memberi peluang wanita meneroka bidang perniagaan lebih luas bagi menjana pendapatan.- Foto hiasan

Eksploitasi dunia digital untuk jadi kaya

KUALA LUMPUR: Ledakan era digital dijangka melahirkan lebih ramai usahawan muda khususnya dalam kalangan wanita, berikutan kecenderungan mereka menggunakan platform terbabit untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Pengarah Urusan Ricoh Malaysia, Alice Lee, berkata kemunculan teknologi moden tidak sepatutnya digeruni, sebaliknya perlu difahami bagi merebut peluang menjadi kaya dengan menjana keuntungan menerusi perniagaan berasaskan dunia digital.

Katanya, bayangkan mesin pencetak berteknologi digital bersaiz kecil boleh membuka ruang kepada individu memulakan perniagaan, sekiranya bijak dan kreatif mengeksploitasi penggunaannya.

Lebih menarik teknologi digital menjimatkan kos, masa dan lebih produktif berbanding menggunakan kaedah manual.

“Kepesatan dunia teknologi mungkin boleh mengurangkan peluang kerja membabitkan generasi muda, khususnya dalam sektor pentadbiran kerana kurang menggemari bidang berkenaan.

“Mereka kurang berminat bekerja di pejabat, tetapi menggunakan kemudahan teknologi moden untuk menjalankan perniagaan sendiri.

“Ini secara tidak langsung melahirkan usahawan muda yang gemar menggunakan teknologi dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Memperkasakan Digital di Tempat Kerja (EDW) 2018 di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood dan Pengurus Besar Kanan Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Ricoh Malaysia, Nick Tan.

Lee berkata, usahawan hari ini berpeluang menembusi pasaran global sekiranya bijak menggunakan teknologi digital.


GOLONGAN muda lebih gemar menggunakan komputer untuk menjalankan perniagaan sendiri.- Foto hiasan

Sebagai contoh, teknologi Augmented Reality (AR) membolehkan usahawan berkomunikasi dengan rakan niaga dari seluruh dunia, tanpa halangan bahasa.

Teknologi AR berupaya menterjemah pelbagai bahasa yang diinginkan, ketika persidangan video dijalankan pada peringkat antara bangsa.

“Menerusi AR, perkongsian maklumat tidak akan menyimpang, lebih tepat dan mudah difahami walaupun komunikasi membabitkan sesuatu negara yang berbeza bahasa.

“Malah, teknologi digital boleh berfungsi menjalankan tugas seperti setiausaha, dengan perakam dan pada masa sama mencatat minit mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan satu pertiga tugasan atau kerja pentadbiran akan dilakukan secara automatik menjelang 2025, sejajar dengan Industri 4.0.

“Ia adalah petanda perubahan besar dalam revolusi digital, yang memberikan peluang dan pelbagai kemungkinan untuk perniagaan besar dan kecil.

“Wanita dijangka menerima lebih banyak manfaat dalam era teknologi ini kerana majoriti golongan itu bekerja dalam bidang pengurusan dan pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, Yasmin berkata, ekonomi digital adalah enjin pembangunan untuk kebanyakan negara, termasuk di Malaysia, tetapi agak membimbangkan ramai yang tidak menyedari manfaatnya.

“Kita bimbang kerana ramai yang belum bersedia mengguna pakai teknologi digital kerana pada 2016, ekonomi digital menyumbang hanya 18.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) dan dijangkakan bakal mencecah lebih peratus pada 2020.

“Ini berbeza jika dibandingkan dengan negara di Asia Pasifik seperti China yang menggunakan kira-kira 50 peratus teknologi robotik, sekali gus beralih daripada pengeluaran kos rendah kepada robotik automotif,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan kos teknologi menurun, keupayaan digital bertambah baik, teknologi baharu dan transformasi digital kini bersedia membina semula serta membantu masa depan industri pembuatan

Justeru, sektor tradisional dan pembuatan tiada pilihan, tetapi menggunakan teknologi ini, untuk memajukan industri masing-masing.

Katanya, MDEC menyediakan program transformasi digital (DTAP) bertujuan memastikan syarikat di negara ini berdaya saing pada masa depan, menerusi transformasi berkenaan.

“Ini sejajar dengan agenda negara untuk meningkatkan kadar GDP dan ekonomi digital, dalam masa terdekat,” katanya.

Berita Harian X