Isnin, 14 Januari 2019 | 10:48am
Juruterapi hanya menerima tempahan perkhidmatan daripada pelanggan yang sudah mendaftar menerusi aplikasi Sentuh.

Aplikasi urutan semua jantina tawar keselesaan, keselamatan

Kuala Lumpur: Selesa dan selamat antara fokus pengenalan aplikasi rawatan kecantikan dan urutan, ‘Sentuh’ bertujuan membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan spa di rumah.

Aplikasi turut memastikan keselamatan ahli terapi, apabila pengguna perlu mendaftar di laman web dengan mengisi maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan alamat.

Pengasas bersama pusat penjagaan kesihatan dan kecantikan mobil Sentuh, Ain Nadia Yusoff, berkata sistem khas ini membuat tapisan bertujuan memastikan lokasi diterima selamat dikunjungi ahli terapi.

Juruterapi kata beliau, akan mendapat notifikasi tempahan dan maklumat seperti lokasi, masa dan pilihan perkhidmatan.

“Seterusnya, juruterapi menge-sahkan tempahan dan bersedia dengan kelengkapan spa menuju ke lokasi pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sentuh di sini, baru-baru ini.

Ain Nadia berkata, Sentuh mula beroperasi secara rasmi pada September lalu dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan kulit muka dan urutan badan di sekitar Lembah Klang.

“Seiring perkembangan teknologi, kami komited membawa inovasi dalam industri penjagaan diri bagi membolehkan juruterapi menawarkan perkhidmatan secara fleksibel.

“Pengguna hanya membuat tempahan di hujung jari dan perkhidmatan spa bergerak terus ke tempat mereka,” katanya.

Ain Nadia berkata, sehingga kini terdapat 25 juruterapi bertauliah menerusi program kemahiran ditetapkan Sentuh.

Daripada jumlah itu katanya, enam daripadanya adalah jurutetapi lelaki dikhususkan untuk pasaran perkhidmatan pelanggan berkenaan.

“Seperti wanita, lelaki juga menitik beratkan soal penjagaan kulit wajah dan mendapatkan perkhidmatan urutan untuk mengembalikan kesegaran tubuh.

“Namun, mereka agak skeptikal untuk mengunjungi pusat rawatan kecantikan, jadi perkhidmatan ke rumah memberikan keselesaan,” katanya.

Tawar kursus jangka pendek

Ain Nadia berkata, menariknya, aplikasi menawarkan kursus pendek selama tiga hari kepada juruterapi beerminat.

Katanya, modul kursus diberikan dengan kerjasama Pusat Rawatan Kecantikan Wajah Adania yang mempunyai penyelaras juruterapi bertauliah.

“Juruterapi perlu mengikuti kursus intensif tiga hari untuk latihan amali rawatan kecantikan dan urutan.

“Mereka dipantau jurulatih selama tiga hari sepanjang menjalankan rawatan kepada pelanggan, ini bagi memastikan masing-masing layak menerima sijil terapi Sentuh.

“Sekiranya gagal atau belum bersedia, juruterapi tadi diberikan program tambahan bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan benar-benar memuaskan,” katanya.

Ain berkata, menarik mengenai Sentuh, bantuan permulaan sehingga 75 peratus turut diberikan kepada juruterapi berpendapatan rendah atau tidak mempunyai modal.

Katanya, menerusi Yayasan Sentuh, pihaknya menawarkan bantuan membeli katil dan kelengkapan perkhidmatan penjagaan wajah dan urutan tradisional serta aromaterapi.

“Anggaran membeli kelengkapan sekitar RM5,000 dengan bantuan disediakan mengurangkan bebanan mereka yang berminat memulakan perkhidmatan.

“Namun, individu mempunyai pendapatan lebih RM1,500 mereka boleh lakukan bayaran ansuran tiga kali, selain memilih bayaran menerusi komisyen diterima menerusi pesanan pelanggan,” katanya.

Kaedah lebih mudah

Sementara itu, bagi juruterapi Miftahul Hikmah Mohamad Duha berkata, kaedah rawatan ke rumah lebih mudah dan pelanggan pula selesa menjalani urutan di rumah sendiri.

“Juruterapi berdaftar di bawah Sentuh berpeluang memilih menawarkan perkhidmatan secara sepenuh masa atau sambilan.

“Dalam tempoh sebulan, lebih 10 pelanggan sekitar kawasan tempat tinggal menerima perkhidmatan urutan dan penjagaan wajah.

“Secara purata, saya mampu mencatat perolehan mencecah empat angka menerusi perkhidmatan sambilan ditawarkan ini,” katanya.

Miftahul Hikmah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kimia Gunaan Universiti Malaya (UM), berkata aplikasi itu memberikan keyakinan aspek keselamatan.

“Setiap perjalanan dan data pelanggan direkodkan menerusi pesanan diterima pada aplikasi itu.

“Jadi, maklumat ini memberikan jaminan keselamatan kepada kami untuk meneruskan perkhidmatan spa bergerak ini. Pelanggan boleh berkongsi maklum balas mengenai perkhidmatan diberikan,” katanya.

Sementara itu, Hidayah Othman, berkata minat terhadap industri rawatan kecantikan dimanfaatkan menerusi profesion sambilan yang baharu diceburi itu.

Beliau yang juga jurufisioterapi sepenuh masa berkata, kelebihan menjadi juruterapi membolehkannya memperluaskan pengalaman dalam bidang rawatan kesihatan dan kesejahteraan fizikal.

“Teknik urutan wajah dan tradisional dipelajari menerusi kursus diikuti awal Disember lalu adalah perkara baharu buat saya.

“Pun begitu, pengalaman dalam bidang fisioterapi memberi markah tambahan mengenai masalah tubuh yang sering dialami pelanggan,” katanya.

Selain itu, Muhd Tashrik Othman, berkata pembabitannya dalam bidang itu sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat mengenai industri spa hanya untuk wanita.

Beliau yang juga guru di sekolah kanak-kanak berkeperluan khas di ibu kota, berkata ilmu mengurut juga ingin dimanfaatkan untuk golongan itu.

“Dengan adanya perkhidmatan daripada juruterapi lelaki, memberikan keselesaan mereka ketika mendapatkan rawatan.

“Selain itu, saya juga berhasrat manfaatkan pengetahuan dalam bidang urutan untuk diterapkan pada kanak-kanak berkeperluan khas bagi membantu merangsang kemahiran deria mereka,” katanya.

231 dibaca
Berita Harian X