Jumaat, 1 March 2019 | 11:44am
Abdullah dan isteri, Jeanne bersama penerima penghargaan pada Majlis Penghargaan Legasi Negarawan di Hotel Majestic, semalam. - NSTP/Sairien Nafis

Perkasakan wanita dalam pelbagai bidang

KUALA LUMPUR: Peluang kesamarataan untuk wanita memegang jawatan penting dalam kerajaan dan swasta perlu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka bersaing membangunkan negara tanpa diskriminasi.

Tiga perkara penting masih perlu diberikan perhatian adalah pembabitan wanita dalam pekerjaan, memiliki perniagaan sendiri dan memegang jawatan sebagai pemimpin.

Ini boleh dicapai menerusi dasar dan perundangan yang perlu ditambah baik bagi menyokong kejayaan wanita dalam pelbagai sektor.

Tokoh Pendidikan Negara, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata walaupun pembabitan wanita dalam pelbagai bidang menunjukkan kemajuan namun masih belum mencukupi.

Beliau berkata, bagi memastikan wanita dapat menyumbang secara optimum, sokongan seperti kemudahan penjagaan anak amat penting selain waktu kerja anjal.

Isu keselamatan

“Isu keselamatan wanita juga tidak boleh dipandang ringan bukan saja dalam dunia nyata malah alam maya yang mana kita lihat semakin ramai wanita terdedah kepada risiko jenayah internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Dokumentari Legasi Negarawan, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, semalam.

Dokumentari terbitan Primeworks Studios, berdurasi 45 minit itu dijangka ditayangkan pada Ogos sempena bulan kemerdekaan.

Tayangan memaparkan jasa dan sumbangan mantan Perdana Menteri kelima itu sepanjang pembabitannya dalam dunia politik dan memegang tampuk kerajaan.

Yang turut hadir Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Legasi; Datuk Jefridin Atan, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad; Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Dr Sharifah Hapsah ketika menyampaikan ucapan Bicara Negarawan pada majlis berkenaan, berkata Abdullah menunjukkan iltizam dan komitmen membuka jalan wanita terus maju bertepatan konsep Islam Hadhari selain memahami keperluan semasa.

“Tun menterjemahkan usaha itu menerusi kesamarataan peluang sebagai pelaksana dasar, pembelaan hak minoriti dan wanita terjamin dalam Islam Hadhari, selain menubuhkan jawatankuasa mengenai gender dipengerusikan beliau sendiri,” katanya.

Berita Harian X