Rabu, 13 March 2019 | 10:00am
SAZAIMAH akui bukan mudah menjadi mekanik. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
SAZAIMAH (tengah) bersama pekerja sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam tugasan. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
PENGURUS Besar G Car Manufacturer Sdn Bhd dan Mekanik Wanita, Sazaimah Sai'on (tengah) bersama pekerja. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
SAZAIMAH tidak kisah kotor. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Tak kisah comot, janji minat

SHAH ALAM: Minat mendalam terhadap sukan perlumbaan Formula One (F1) mendorong Sazaimah Sai’on, 44, menyertai industri automotif, sekali gus muncul sebagai ketua mekanik di bengkel miliknya di sini.

Bekas perintis mekanik wanita di Mercedes-Benz Malaysia itu menyifatkan kerjaya berkenaan bukan mudah, sebaliknya perlu menunjukkan kudrat dan bersaing dengan ketangkasan lelaki.

Sebelum ini, beliau menyertai kursus automotif di Pusat Latihan Perantis Mercedes-Benz Malaysia pada 1995, sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, ketika itu Mercedes-Benz sedang mencari 24 mekanik muda dalam kalangan anak tempatan, termasuk perintis mekanik wanita bagi syarikat kereta mewah berkenaan di Malaysia.

“Saya adalah 24 peserta disenarai pendek. Tiga daripadanya adalah wanita termasuk saya. Selama dua tahun mengikuti Sijil Kemahiran tahap dua di pusat itu, saya terus bekerja dengan Mercedes-Benz sebagai mekanik selama dua tahun.

“Bukan mudah wanita menjadi mekanik kerana kudrat perempuan tidak seperti lelaki dan bidang itu dikuasai golongan itu. Namun, ia bukan penyebab saya menyerah kalah,” katanya ketika ditemui BH Online di pusat servis miliknya, G-Car Manufacturer Sdn Bhd (G-Car) di sini.

G-Car adalah anak syarikat Go Auto selaku pengedar rasmi kenderaan HAVAL di Malaysia.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, berkata selepas tamat pengajian dan bekerja selama dua tahun dengan Mercedes-Benz, beliau ‘bertukar angin’ dengan menyertai Honda dan Shell Malaysia serta PROTON, sebelum membuka bengkel dan pusat servis kereta berkonsepkan ‘Bengkel Butik’ pada tahun lalu.

“Saya suka ‘tukar-tukar’ kerja kerana boleh belajar banyak benda baharu. Pengalaman bekerja di beberapa syarikat kereta terkemuka, antaranya terbabit dalam penubuhan pusat servis termasuk mengendalikan beberapa projek membabitkan kos jutaan ringgit, mendorong saya membuka perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau pernah menolak tawaran diploma perguruan di sebuah institusi awam selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berkata suaminya, Suhaizan Abd Kadir, 46, yang bekerja sebagai jurutera turut menyokong kerjayanya.

“Dua anak perempuan saya, Sufi Nur Akila, 16, dan Sufi Nur Anis, 10, mendakwa mereka ‘popular’ dalam kalangan guru sekolah kerana ibunya mekanik. Saya anggap itu satu penghargaan,” katanya.

Mengulas mengenai bengkelnya iaitu G Car Auto Garage, Sazaimah berkata, beliau bukan sekadar ketua mekanik tetapi juga menyandang jawatan pengurus besar di pusat servis yang mengamalkan konsep mesra pelanggan wanita.

Beliau juga mempunyai beberapa pekerja wanita yang terbabit sama dalam operasi bengkel dan pusat servis ini.

Ini memberi peluang kepada pelanggan wanita untuk membuat pilihan memilih bengkel bersesuaian.

“Sering kali wanita berasa ‘trauma’ jika membaiki kenderaan kerana takut ditipu kerana tidak arif mengenai alat ganti atau komponen kereta. Malah, ada pihak sering mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas kelemahan pelanggan wanita.

“Jadi, bengkel ini boleh menjadi pilihan kepada wanita untuk menyelenggara atau membaiki kenderaan mereka.

“Malah, saya mahu menjadikan bengkel ini sebagai landasan mencungkil bakat anak muda yang meminati bidang itu, tidak kira sama ada lelaki dan wanita.

“Bagi saya ini cara untuk membantu generasi muda, terutama golongan Bumiputera menceburi bidang ini,” katanya yang menjelaskan G-Car adalah singkatan ‘Girl Car’.

Memiliki sarjana dalam bidang pemasaran dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini berkata, untuk mengendalikan sebuah bengkel dan pusat servis kenderaan memerlukan kemahiran membaiki kenderaan, pentadbiran perniagaan dan khidmat layanan pelanggan.

“Banyak cabaran menguruskan bengkel, selain meyakinkan pelanggan terhadap kemampuan mekanik wanita, saya juga perlu mempelajari cabang perniagaan termasuk aspek pembekalan alat ganti kenderaan.

“Biasanya kalau pelanggan lelaki, mereka ‘ragu-ragu’ terhadap kemampuan mekanik wanita. Namun, Alhamdulillah jika mereka sudah mengenali saya atau pernah mendapatkan khidmat saya, mereka akan terus menjadi pelanggan tetap.

“Saya ada pekerja wanita terlatih di bengkel yang mampu mengendalikan kerja teknikal selain pengurusan pejabat dan mempunyai 11 pekerja,” katanya.

Sazaimah berkata, sebagai ketua mekanik beliau perlu mahir mengenai jenis kerosakan kenderaan dan meminimumkan masalah sama berulang.

“Saya perlu bijak menjelaskan kepada pelanggan situasi sebenar bagi mengelak hilang kepercayaan pelanggan. Menyelesaikan masalah kenderaan lebih mencabar berbanding penyelenggaraan biasa seperti menukar minyak hitam, alat ganti atau membaiki tayar dan pendingin hawa,” katanya.

Sazaimah berkata, wanita yang berminat menjadi mekanik perlu berani, selain tidak mudah putus asa atau malu dengan kerjaya itu.

“Jangan kerana kerjaya ini nampak ‘comot’ atau perlu ‘menjadi perkasa’ seperti lelaki menyebabkan mereka putus semangat. Bidang ini perlu minat, ilmu dan ketahanan diri untuk berjaya.

“Jika dulu sukar mencari mekanik wanita, kini selepas 27 tahun dalam industri saya lihat penyertaan wanita semakin meningkat,” katanya.

Berita Harian X