Khamis, 28 March 2019 | 11:26am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Mangsa gangguan seksual lelaki jejaskan produktiviti mencari rezeki

Kuala Lumpur: Kes gangguan seksual sering dikaitkan wanita sebagai mangsa, turut membabitkan lelaki yang mana sebahagian besar enggan mengemukakan aduan rasmi kerana malu.

Mangsa mendakwa berhadapan situasi tidak kena ketika menjalankan tugas memandangkan gangguan datangnya daripada individu berpengaruh dan majikan tempat bertugas.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 257 lelaki menjadi mangsa gangguan seksual daripada keseluruhan 1,218 kes yang dilaporkan.

Beliau berkata, angka yang dicatatkan dalam tempoh empat tahun bermula 2013 hingga 2017 itu, agak tinggi dan perlu perhatian khusus memandangkan di negara tidak ada akta khusus mengenai gangguan seksual.

Katanya, tidak adil mengaitkan gangguan seksual membabitkan wanita semata-mata, keadaan lebih kritikal kerana lelaki turut diganggu terutama dalam kalangan kaum sejenis.

“Persepsi masyarakat menyatakan gangguan seksual tidak mungkin terjadi kepada lelaki tidak benar kerana golongan yang dilihat sebagai kuat fizikal dan mental ini turut berhadapan masalah sama dan perlu ditangani secara bijak.

Terjejas emosi

“Akibat persepsi ini, ramai mangsa malu membuat laporan. Gangguan perlu diberi perhatian serius semua pihak tanpa memandang jantina kerana setiap perlakuan memberi implikasi emosi dan menjejaskan masa depan mangsa,” katanya.

Secara umumnya, Muzaffar Syah berkata, banyak kajian dilakukan di seluruh dunia menunjukkan gangguan seksual di tempat kerja membabitkan mangsa lelaki meningkat.

Bagaimanapun, kerajaan disaran menggubal satu akta khusus melindungi lelaki yang diganggu dengan ucapan atau perbuatan seksual.

Kebanyakan mangsa kata beliau, berlaku di tempat kerja menerima kesan emosi kerana dilakukan individu berpengaruh seperti majikan, pegawai pengurusan mahupun pensyarah.

“Berdasarkan Kod Amalan membabitkan gangguan seksual, perlakuan mengganggu itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu gangguan secara langsung dan tidak langsung.

“Gangguan langsung bermaksud menunjukkan isyarat berbentuk seksual ke atas pekerja yang mana pelaku meminta mangsa akur dengan tingkah laku untuk mendapatkan sebarang ganjaran seperti kenaikan pangkat.

“Pengenalan akta khusus masalah itu bagi menanganinya mengikut peruntukkan undang-undang secara lebih jelas.

“Akta khusus ini membolehkan akta sedia ada tidak perlu menumpang kepada akta seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (Akta 514) mahupun Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya.

Mengulas permasalahan itu, seorang kakitangan agensi berkaitan kerajaan, Kamaludin, 29, berkata dia terpaksa memohon bertukar ke jabatan lain kerana tidak tahan diganggu ketuanya yang juga seorang lelaki.

Hampir setiap hari, beliau berkata, kehadirannya di pejabat perhatikan. Gerak-geri juga dipantau, ini disebabkan tindakan beliau memarahi ketuanya yang bertindak menepuk punggungnya ketika mereka hendak bermesyuarat.

“Tindakan itu sungguh memalukan kerana kakitangan lain terutama wanita mentertawakan seolah-olah memberi tanggapan negatif terhadap saya.

“Jika wanita diganggu ketua lelaki mereka boleh membuat laporan, tetapi dalam keadaan ini saya diganggu majikan lelaki, agak memalukan jika saya membuat laporan gangguan seksual.

“Tertekan dengan peristiwa itu saya mengambil keputusan bertukar ke tempat lain, walaupun terpaksa berulang jauh dari rumah,” katanya yang enggan membuat laporan kerana tidak mahu isu berlarutan selain pelaku berpengaruh dalam organisasi tempatnya bertugas.

Firdaus Kamal, 43, kakitangan kerajaan mengaku berhadapan tekanan emosi disebabkan gangguan seksual ketika melakukan kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Ketika bertugas beliau bertemu ramai pelanggan yang mendapatkan khidmat pengangkutan yang ditawarkan.

Seorang pelanggan, lelaki berpangkat berusia lewat 50-an, awalnya perbualan berkisar keadaan ekonomi dan bebanan hidup.

“Seperti biasa, saya layan sebagai pelanggan dan bertukar pandangan berkenaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Seminggu kemudian, lelaki berkenaan berani mesej menerusi WhatsApp dan terus tawarkan untuk membantu saya mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.

“Saya tidak faham apa maksudnya sehingga dia beritahu suruh datang ke sebuah kelab malam jika mahukan pendapatan lumayan.

“Rupanya dia ajak saya ‘melayan’ kawannya berpangkat datuk yang kesunyian dan memerlukan layanan lelaki muda,” katanya.

Kata Firdaus Kamal, beliau diarah memakai seluar dalam G String atau baju jarang bagi meraikan majlis hari jadi seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan.

“Lelaki itu turut menawarkan bayaran antara RM15,000 hingga RM30,000 jika sanggup berbuat demikian dan sedia ditiduri, dengan bayaran itu beliau menganggap masalah kewangan selesai.

“Lebih menjijikkan, lelaki itu menulis kata lucah menerusi aplikasi sosial WhatsApp. Trauma dengan keadaan itu saya menghentikan seketika kerja sambilan kerana terlalu takut. Keadaan itu menjejeskan pendapatan kami sekeluarga,” katanya yang enggan membuat laporan kerana malu.

Seorang jurulatih gimnasium, mengaku setiap kali memuat naik gambar menerusi lama sosial, beliau sering mendapat komen lucah daripada pengguna laman sosial.

Lebih mengelirukan beliau berkata, komen berbaur lucah di laman Instagram dan Facebook miliknya dilakukan pengikut di laman sosialnya secara terang-terangan.

“Saya sedar perkataan itu ada maksud tersirat dan ambil keputusan diamkan diri saya. Mungkin saya lelaki, saya rasa tidak perlu untuk melayan perangai jijik sebegitu,” katanya.

Anak kelahiran Johor itu, berkata selain mesej seumpama itu, beliau juga sering diganggu dengan kata-kata lucah di dalam mesej persendirian tetapi bertindak membiarkan saja kelakuan tidak bermoral itu.

“Gangguan seksual dalam kalangan wanita biasa tetapi jika lelaki diganggu lelaki, ini situasi pelik. Tetapi, mungkin kerana kami lelaki, perkara seperti ini kami diamkan saja berbanding wanita yang lazimnya membuat laporan.

“Manakala gangguan seksual secara tidak langsung pula perlakuan secara lisan, isyarat, visual, psikologi ataupun fizikal,” katanya.

Info: Gangguan seksual tidak langsung:

  • Perlakuan serta ucapan lucah
  • Perbuatan menjilat bibir
  • Memegang atau memakan makanan secara menggoda
  • Isyarat tangan atau bahasa membayangkan perlakuan seks serta menunjukkan bahan lucah.
  • Gangguan secara langsung

  • Menepuk
  • Mencubit
  • Mengusap
  • Menggesel badan
  • Memeluk
  • Mencium
  • Meraba
  • Berita Harian X