Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:48am
Nurizzati Athirah gigih menjalankan tugas kimpalan di dasar laut.

Gadis duyung bertulang besi

LUMUT: Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Itu dibuktikan gadis bertubuh kecil, Nurizzati Athirah Mohamad Yusoff yang memecah dominasi sebagai wanita pertama negara dalam bidang jurukimpal dalam air.

Nurizzati Athirah, 22, yang yang berkelulusan Diploma Kemahiran Vokasional dalam jurusan Teknologi Kimpalan dari Kolej Vokasional Taiping, memilih bidang itu kerana tertarik dengan peluang pekerjaan yang mencabar keupayaannya sebagai wanita.

Beliau meminati bidang kimpalan di Weldzone Training Centre (Weldzone), Seri Manjung, selepas melihat video berkaitan kursus berkenaan dan menganggap tidak salah mencuba kerana memang sukakan yang lasak dan mencabar.

“Kerjaya ini lazimnya diceburi lelaki kerana latar belakang tugas yang lasak dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

“Saya nekad dan mahu membantu keluarga selepas tamat belajar.

“Keluarga memberikan sokongan sepenuhnya apabila saya memilih bidang ini walaupun ada segelintir individu yang mempertikai keupayaan saya.

“Tetapi itu semua tidak menjadi masalah, malah lebih menaikkan semangat,” katanya ketika ditemui di sini.


Nurizzati Athirah pecah dominasi lelaki sebagai jurukimpal dalam air. - NSTP/Abdullah Yusof

Nurizzati Athirah berkata, beliau tidak menghadapi masalah diskriminasi jantina biarpun dikelilingi lelaki dan menjadi pelajar tunggal perempuan dalam kelas serta jurukimpal wanita di tempat kerjanya.

Pada tahun akhir pengajian, beliau dapat lihat hala tuju apabila tamat pengajian selepas lawatan lapangan di pusat latihan Weldzone yang mendedahkan saya dengan kerjaya ini.

“Alhamdulillah, peluang terbaik datang selepas menerima tawaran daripada Weldzone yang membiayai untuk mendapatkan lesen kimpalan dalam air.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengembangkan minat dalam bidang kimpalan, selain menyedari yuran untuk lesen itu, kira-kira RM50,000 dan selepas tamat kursus turut menjadi pembantu jurulatih,” katanya yang berasal dari Selama, Perak.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, di Weldzone beliau mempelajari pelbagai teknik kimpalan dalam air, pencarian barang dan pemotongan dalam air yang dapat meningkatkan kemahirannya dalam bidang itu.

Katanya, beliau mempunyai lesen komersial tahap I dan II, lesen dive leader (instructor) dan lesen kimpalan dalam air (underwater welding) dan sudah melakukan kerja kimpalan untuk kedalaman air antara tiga hingga lapan meter.


Nurizzati Athirah membuat latihan turun ke dalam laut di Lumut. - NSTP/Abdullah Yusof

“Kerja ini sangat mencabar termasuk menghadapi arus bawah laut dan perlu membawa peralatan selaman hampir 17 kilogram (kg).

“Saya perlu mencabar keberanian diri untuk berenang dan menyelam, selain memastikan kerja dilakukan dengan baik dan kemas.

“Ia juga berisiko kerana kita melakukan kerja dalam air terutama jika ada kebocoran, namun kami sangat mengutamakan keselamatan dan sebelum turun ke dalam air kami akan pastikan semua peralatan dalam keadaan baik.

“Bukan itu saja, malah kami juga perlu memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik, selain sentiasa berhati-hati dengan persekitaran,” katanya yang mengakui sebelum ini tidak tahu berenang.

Kini, beliau bagaikan ikan duyung menyelam dasar laut bertugas mengikut misi ditugaskan.

Katanya, beliau berterima kasih dengan sokongan keluarga dan peluang diberikan Weldzone kerana berjaya mencapai cita-citanya dalam bidang itu, selain mengakui masih banyak yang perlu dipelajari.

2429 dibaca
Berita Harian X