Isnin, 8 Julai 2019 | 10:58am

Program WEP PLUS buka 20 peluang niaga

KUALA LUMPUR: Lebih ramai ibu tunggal, penganggur dan wanita isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) dijangka mampu meningkatkan taraf sosioekonomi menerusi program keusahawanan dianjurkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Menerusi program Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS golongan terbabit yang berminat boleh membuat permohonan menyertai bidang perniagaan di lokasi kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di seluruh negara, sebelum akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Komersialnya, Christine Liew, berkata sebagai permulaan pihaknya akan membuka penyertaan kepada 20 usahawan wanita baharu yang komited dan berdedikasi menjalani perniagaan.

Katanya, mereka yang terpilih akan menjalankan perniagaan sepenuh masa selama dua tahun sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ramai wanita yang terbabit dalam perniagaan di R&R terutama membabitkan perniagaan makanan dan minuman serta kraf tangan sudah berjaya mengubah hidup mereka.


Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew. - NSTP/Saifullizan Tamadi

“Untuk program WEP PLUS ini kita mencari peniaga yang ingin mengusahakan sesuatu di luar kotak atau lebih berbeza daripada kebiasaan bagi memberi pengalaman berbeza buat pengunjung R&R dan Hentian Sebelah PLUS,” katanya kepada BH.

Liew berkata, pihaknya juga mengalu-alukan perniagaan berasaskan minuman dengan konsep lebih inovatif yang kini menjadi gaya hidup baharu dalam kalangan masyarakat.

Katanya, PLUS memperuntukkan RM5 juta dalam tempoh lima tahun untuk melaksanakan program berkenaan dalam usaha memperkasakan lebih ramai usahawan wanita di R&R.

Program inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, diperkenalkan bagi tujuan membantu wanita dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi dari komuniti berhampiran jajaran lebuh raya PLUS.

“WEP PLUS membuka peluang kepada usahawan wanita yang menetap sekitar lingkungan 30 kilometer (km) menjalankan perniagaan di lokasi terpilih sepanjang jajaran lebuh raya.

“Kita ingin meningkatkan kapasiti usahawan wanita yang ingin mencetus inovasi fokus pelanggan untuk manfaat pelanggan lebuh raya PLUS.

“Selain itu, kita juga mahu memperluaskan rangkaian perniagaan untuk usahawan wanita yang menyertai program WEP PLUS untuk memastikan produk mereka boleh dipasarkan ke seluruh negara,” katanya.

Liew berkata, apa yang penting golongan itu perlu bersemangat, positif dan mempunyai minat mendalam untuk menjadi usahawan wanita berjaya.

Katanya, penyertaan juga terbuka kepada wanita yang sudah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ataupun belum memiliki perniagaan, tetapi mempunyai minat mendalam dalam dunia keusahawanan.

PLUS akan menyediakan modul strategi program pembangunan perniagaan merangkumi latihan keusahawanan yang komprehensif supaya lebih berkemahiran dalam bidang itu.

“Kita akan menyediakan latihan menyeluruh seperti pengurusan perniagaan, kemahiran pengurusan kewangan, perkhidmatan pelanggan dan juga pemasaran yang dikendalikan tenaga pengajar profesional dan rakan kongsi strategi PLUS.

“Mereka juga akan diberi pendedahan dan pembelajaran mengenai aspek kebersihan, keselamatan serta latihan kepimpinan.

“Peserta terpilih akan menyertai kursus latihan berkenaan dalam tempoh enam hingga lapan bulan sebelum memulakan perniagaan selama tempoh 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan awal akan dinilai oleh wakil dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Program itu diberikan percuma, termasuk tiada yuran atau sewa tapak.

Bagaimanapun, katanya, peserta digalakkan berkongsi menyumbang hasil jualan mereka dengan memberi semula kepada golongan kanak-kanak khususnya murid di sekolah berhampiran.

Beliau berkata, PLUS bukan sahaja mahu membantu wanita membangunkan perniagaan, malah menggalakkan golongan itu melakukan kerja amal untuk menyumbang kepada pembangunan kanak-kanak menerusi pemakanan seimbang.

313 dibaca
Berita Harian X