Selasa, 9 Julai 2019 | 11:48am
Zuraida menunjukkan risalah Sidang Kemuncak WPL 2019. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Hapus jurang gender

PUTRAJAYA: Agenda memperkasakan dan pemberdayaan wanita perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan golongan itu terus relevan serta berperanan penting dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Duta Malaysia ke Sidang Kemuncak Women Political Leader (WPL), Zuraida Kamaruddin, berkata sudah tiba masa wanita diberikan peluang adil memimpin bukan lagi peringkat pelaksana sekali gus menepis persepsi negatif mereka tidak optimis memasarkan diri berbanding lelaki.

“Kita tidak mahu dipengaruhi selamanya wanita distereotaipkan dengan tugas menguruskan rumah tangga yang akhirnya mereka tidak mempunyai peluang cerah untuk menyerlah dalam kerjaya dan kepimpinan.

“Masyarakat juga bersama dalam usaha menghapuskan jurang gender dan memecahkan norma serta percaya bahawa wanita mampu berdaya saing melangkau kemampuan dirinya,” katanya kepada BH.

Zuraida yang juga Naib Presiden PKR, dilihat peranannya begitu bersungguh memperkasakan wanita dengan pembabitannya aktif menyertai persidangan antarabangsa menerusi WPL.

Antaranya adalah usaha mengangkat martabat wanita itu diterjemahkan menerusi penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Women Political Leaders (WPL 2019) di Tokyo, Jepun pada 25 hingga 27 Jun lalu.

Malah, sejak 2017, Zuraida dipilih menjadi duta mewakili kerajaan bagi menghadiri WPL dan sudah menghadiri empat daripada tujuh persidangan itu yang dimulakan pada 2014.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin politik wanita negara lain termasuk ketua kerajaan, menteri kabinet, Ahli Parlimen dan Batuk Bandar.


Zuraida (dua dari kanan) pada Sidang Kemuncak WPL 2019 di Jepun pada 25 hingga 27 Jun lalu

Acara tahunan itu menjadi medan bagi menangani cabaran global dan berkongsi pengalaman berkaitan hal ehwal politik wanita yang turut disertai badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Lima teras ditekankan iaitu menghentikan undang-undang yang mendiskriminasikan wanita; meningkatkan pembabitan wanita dalam parlimen, kabinet dan kepemimpinan; melaksanakan undang-undang lebih progresif, memecahkan streotaip serta memberi sokongan wanita dalam politik.

Zuraida berkata, justeru sewajarnya lebih ramai wanita diberi jawatan penting sebagai pembuat dasar, sekali gus mengangkat kedudukannya kerana mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan melakukan pelbagai tugas.

“Kita mahu lebih ramai wanita ke hadapan dan diberi peluang memimpin sekali gus mengubah persepsi golongan itu hanya pelaksana, selain menangkis tanggapan mereka tidak tahu melonjakkan diri disebabkan fitrah azali yang pemalu, terbatas disebabkan jantina,” katanya.

Ini dapat dilihat dengan jelas, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang terus komited memperkasakan peranan wanita di negara ini dalam semua aspek termasuk politik.

Mengulas lanjut, persidangan WPL dilihat satu platform yang mampu memberikan anjakan politik kerana kewujudan kumpulan pendesak iaitu kumpulan berkecuali daripada skop kerajaan secara tidak langsung memberikan keseimbangan.

Pembabitan Zuraida dalam WPL itu juga sekali gus menzahirkan perasaan kagum pemimpin dunia terutama komitmennya memperkasakan wanita Malaysia sejak era bergelar pembangkang parti politik hingga dilantik menjadi menteri kabinet.

“Ini dapat dilihat WPL akan berperanan sebagai badan advokasi sendiri dan ini sekali gus membantu kementerian berkaitan wanita mencapai agendanya.

“Selain itu, secara lazimnya polisi yang sedang dimuktamadkan memerlukan desakan daripada badan bukan kerajaan dan PBB untuk memberi tekanan supaya mempercepatkan pindaan akta atau penggubalan undang-undang,” katanya.

Usaha mengarusperdanakan gender bukan bermakna mengambil alih peranan kementerian lain, tetapi adalah jemputan terbuka kepada Ahli Parlimen yang menginginkan lebih wanita ramai pemimpin wanita di dalam arena politik.

“Bagi saya sendiri, desakan daripada badan luar penting untuk memberikan tekanan supaya mempercepatkan pindaan undang-undang, akta dan penguatkuasaan.

“Sebagai contoh Akta Gangguan Seksual hanya dapat diaplikasi di pejabat tetapi tidak menyeluruh di tempat awam seperti di dalam bas, jadi dengan adanya kumpulan pendesak ini, segala bentuk diskriminasi akan lebih diambil perhatian.

“Jadi advokasi ini akan menghilangkan stereotaip dan secara tidak langsung memberikan kefahaman mengenai hak, keberanian, keyakinan dan kesedaran kepada wanita untuk bangkit daripada ditindas,” katanya.

Berita Harian X