Selasa, 16 Julai 2019 | 3:51pm
Sebahagian peserta yang menghadiri Persidangan Kepemimpinan Wanita dalam Rel Malaysia 2019 Together Towards Tomorrow di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

'Srikandi' pecah monopoli

KUALA LUMPUR: Industri rel yang kini berkembang pesat menarik ramai wanita memilih kerjaya berkenaan sekali gus memecahkan monopoli golongan lelaki bagi turut sama menyumbang tenaga dan kepakaran dalam bidang berkaitan.

Bukan hanya industri itu berpotensi tinggi untuk diterokai, golongan srikandi berminat menyertainya kerana ia menjanjikan kepelbagaian sektor, kerjaya mencabar sesuai dengan kelayakan akademik serta kemahiran yang dimiliki.

Women in Rail (WIR) Malaysia, umpamanya berperanan penting mengetengahkan peluang kerjaya kepada golongan hawa dalam usahanya memupuk kesamaan dan kepelbagaian dalam industri rel di negara ini.

Pengasasnya, Natasha Zulkifli, 44, berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dicetuskan kira-kira tiga tahun lalu, berteraskan tiga perkara yang mahu melonjakkan kredibiliti wanita dalam industri rel ke tahap tertinggi.

Katanya, objektif WIR adalah menyediakan calon wanita berkualiti, menggalakkan pertambahan perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan serta menyemarakkan sikap, budaya dan amalan positif terhadap keseimbangan dan penyertaan jantina dalam industri rel.

“Justeru kita memberikan kesedaran dan galakan kepada pelajar sekolah mengikuti pengkhususan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi meningkatkan kepakaran bidang berkenaan serta mengisi peluang pekerjaan masa depan.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar perempuan mengikuti bidang STEM sekali gus memenuhi keperluan guna tenaga wanita bagi industri kereta api di negara ini, di samping memberi kesamarataan jantina,” katanya.


Pengasas Women in Rail (WIR) Malaysia, Natasha Zulkifli. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Justeru, WIR Malaysia baru-baru ini menganjurkan Persidangan Kepimpinan Wanita dalam Rel Malaysia 2019 Together Towards Tomorrow yang disertai 500 peserta termasuk di delegasi wanita dari 12 negara, pelajar sekolah menengah dan rakan industri berkaitan rel.

Persidangan yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menyampaikan ucaptamanya di sebuah hotel di ibu negara menyatakan industri rel negara kini bersedia bergerak pada gear tinggi menerusi pelancaran projek mega pada masa terdekat.

Natasha berkata, keseimbangan gender akan menarik lebih ramai wanita menyertai industri dan menyumbangkan kepakaran yang dipelajari ke bidang berkaitan terutama membabitkan kepakaran membabitkan rel.

“Ini adalah pendekatan kita menggalakkan pihak berkepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai strategi perniagaan sekali gus memastikan industri rel terus berkembang sebagai sektor kompetitif, inklusif dan pelbagai.

Peluang tingkat pengetahuan

Generasi pemimpin wanita terutama dalam sektor korporat adalah golongan layak diketengahkan ke hierarki tertinggi.

Eksekutif Bersekutu Kanan Varitas Architects Sdn Bhd, Azlina Ismail, berkata usaha ini akan mempertingkatkan bakat berkualiti, menggalakkan perkongsian maklumat antara negara berikutan pada masa sekarang hampir sama seimbang pembabitan lelaki dan wanita,” katanya.

Pelajar Tingkatan Tiga SMK Damansara Utama, Sofea Arisha Shahrul Effendi, berkata penyertaannya dalam persidangan itu menyuburkan daya kepimpinan, pengetahuan kerjaya, politik dan kepentingan menjawat jawatan tertinggi.

“Meskipun saya belum tamat sekolah, pendedahan ini penting kerana masa depan kita perlu direncanakan seawal mungkin supaya bidang pengkhususan kerjaya dipertimbangkan sejak awal.


Antara peserta yang hadir pada Persidangan Kepemimpinan Wanita dalam Rel Malaysia 2019 Together Towards Tomorrow di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

“Ini sekali gus membuka mata, menyaksikan sendiri kepentingan mencapai kesamarataan gender kerana dengan pembabitan ramai golongan hawa, mudah untuk menukarkan dasar dan polisi sedia ada,” katanya.

Pengurus Besar YTL Construction, Mutiara Zainal Farid, berkata pengalamannya lebih 20 tahun menyaksikan betapa pentingnya wanita berada di barisan kepimpinan sekali gus meningkatkan bilangan profesional.

“Industri rel ini memerlukan lebih ramai wanita muda untuk memperkasakan lagi industri, menjadikan bidang ini berdaya saing dan memenuhi keperluan kepakaran dari tenaga pakar wanita.

“Seiring perkembangan rancak industri kereta api negara, banyak peluang pekerjaan baharu dan ini harus diambil oleh wanita untuk turut serta dalam industri ini, katanya.

Berita Harian X