Rabu, 17 Julai 2019 | 10:24am
SALIHAH (kanan) memberi penerangan mengenai program Kenali Ubat Anda kepada Sharifah Che Awang di Nuri Apartment, Bukit Idaman. foto NSTP - Asraf Hamzah

Duta ubat ziarah pesakit

SELAYANG: Hujung minggu biasanya bersama keluarga, namun tidak bagi enam sukarelawan daripada Duta Prihatin Masyarakat (DPM) yang berkorban masa menziarahi pesakit di kawasan kediaman mereka.

Lima duta itu adalah pegawai farmasi Kementerian Kesihatan dan seorang Duta Kenali Ubat (DKU) baru-baru ini menziarahi pesakit di kawasan Gombak.

Program DPM bertujuan meninjau cara penyimpanan dan penggunaan ubat dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital sekitar Gombak seperti Hospital Selayang, Sungai Buloh dan klinik kesihatan Selayang Baru dan Taman Ehsan, Kepong.

Pegawai Farmasi, Salihah Aidit, berkata program dianjurkan dari semasa ke semasa bertujuan merapatkan jurang antara pesakit, duta dan pakar farmasi.

Katanya, ada masa pegawai farmasi tidak sempat memberi penjelasan mengenai ubat diberikan kepada pesakit disebabkan ramai pesakit lain.

“Justeru, melalui program ziarah ini, kami berpeluang mendekati mereka. Justeru, mereka memberi penerangan terperinci mengenai cara penyimpanan dan penggunaan ubat dengan betul,” katanya.

Beliau ditemui ketika berkunjung ke rumah pasangan, Mohd Paudzi Ismail dan isterinya, Sharifah Che Awang yang masing-masing menghidap diabetes dan hipertensi, di sini, baru-baru ini.

Katanya, peserta menjalankan tugas secara sukarela dan percuma demi kebajikan pesakit.

Ketika lawatan mereka melihat cara pesakit menyimpan ubat menggunakan model reka bentuk rumah, memeriksa tekanan darah dan gula pesakit.

Beberapa soalan diajukan bagi melihat sejauh mana pesakit memahami jenis dan fungsi ubat yang dibekalkan pihak hospital.

“Kita lihat ramai pesakit tidak menyimpan ubat dengan betul dan tetapi apa berkongsi ubat dengan ahli keluarga jika menghidapi penyakit yang sama.

“Sebagai contoh, ada pasangan suami isteri yang mengalami sakit perut berkongsi ubat dengan isteri, tetapi malangnya suami sebenarnya bukan mengalami sakit perut biasa tetapi kanser,” katanya.

Justeru, peranan DPM memberikan penjelasan berkaitan perkara dalam suasana lebih santai.

DKU pula berperanan sebagai orang tengah merapatkan jurang antara pesakit dan pakar farmasi kerana pesakit biasanya lebih selesa bercakap dengan rakan mereka.

Mohd Paudzi Ismail mengalu-alukan program lawatan seumpama itu ke rumahnya kerana berpendapat program sedemikian memberi manfaat dan maklumat kepada pesakit.

"Saya dan isteri memahami kepentingan amalan menyimpan ubat dengan betul, selain ada pihak prihatin dengan pesakit.

"Sebelum ini, saya tidak tahu cara menyimpan ubat dengan betul dan mengenal pasti ubat dibeli berdaftar atau tidak," katanya.

Mohd Paudzi yang pesara swasta diberikan bimbingan oleh DPM mengenai cara menggunakan aplikasi National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

Aplikasi bertujuan memeriksa status pendaftaran ubat-ubatan atau produk kesihatan serta notifikasi produk kosmetik.

Beliau mendakwa pernah mengalami kerosakan hati akibat termakan ubat yang tidak diketahui status pendaftarannya.

Sharifah pula mengakui dapat mempelajari pelbagai perkara baharu berkaitan ubat khususnya cara menyimpan yang betul.

Beliau mengakui selama ini tidak tahu cara mencampurkan ubatnya dan suami dalam satu bekas adalah salah.

“Saya dan suami menghidap penyakit sama iaitu kencing manis dan darah tinggi, jadi kami letak semua ubat di dalam satu bekas kerana fikir mudah untuk diambil.

“Bagaimanapun selepas diberikan penerangan oleh DPM, saya sedar ubat masing-masing perlu diletakkan secara berasingan,” katanya.

138 dibaca
Berita Harian X