Khamis, 18 Julai 2019 | 10:55am
Pensyarah dan pelajar bersama penduduk di depan telaga yang dibina sempena Projek Travelog AD: Cambodia ‘Dekat Di Hati’ di sekitar Kampung Cham, Phnom Penh.

Pensyarah, pelajar UiTM bina perigi di Kemboja bekal air bersih

[email protected]

Shah Alam: Sekumpulan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Reka (FSR) dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Puncak Alam, membantu golongan miskin di Kemboja menerusi Projek Travelog AD: Cambodia ‘Dekat Di Hati’ bagi memberi bantuan air bersih kepada penduduk di negara itu.

Terus komited melebarkan kepakaran dan hubungan khidmat kemasyarakatan ke peringkat antarabangsa, program itu kali ke-3 membabitkan khidmat dan tenaga kerja pensyarah dan pelajar FSSR dengan kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kebajikan dan Komuniti, FSSR Shah Alam dan Puncak Alam.

Ketua Projek, Noriza Arzain, berkata program itu memperlihatkan keprihatinan peserta terhadap penduduk Muslim di negara itu yang mengalami kesukaran mendapat bekalan air bersih terutama di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, kekurangan bekalan air bersih menjadi kritikal dalam kalangan penduduk Islam di sana, dengan lebih 50 peratus penduduk masih tidak dilengkapi keperluan berkenaan.

“Penduduk menggunakan air tidak bersih untuk aktiviti harian termasuk memasak dan minum. Justeru, projek ini diharap membantu menerusi derma. Sumbangan itu akan diwakafkan di sana,” katanya.

Projek Travelog AD: Cambodia ‘Dekat DiHati’ awalnya dianjurkan pada 23 hingga 25 Februari tahun lalu di sekitar Kampung Cham, Phnom Penh.

“Hasil sumbangan dana individu, badan bukan kerajaan (NGO), swasta serta kutipan masjid, 17 wakaf perigi jenis pam dibina sebagai sumber air untuk kegunaan penduduk.

“Kami turut mengutip sumbangan pakaian, makanan dan keperluan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengutip dana bagi menampung pembinaan 16 wakaf perigi pam menerusi Travelog AD: UiTM 2.0 pada September tahun lalu.

“Pada kembara amal kedua lalu, kami berdepan masalah mangsa banjir. Kami berkesempatan memberi sumbangan pakaian dan makanan kepada mereka.

Beliau berkata, lebih banyak program amal akan dijalankan dan pihaknya merancang mengadakan Travelog AD 3.0 pada Ogos ini dan bercadang membina 10 telaga lagi di sana.

Maklumat lanjut mengenainya boleh layari [email protected] atau laman Facebook Adtravelog.

Berita Harian X