Ahad, 4 Ogos 2019 | 6:37pm
Hannah (tiga dari kiri) merasmikan program Gift of Love anjuran The Breastfeeding Advocates Network (TBAN) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Atria Shopping Gallery, hari ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Kesedaran khasiat susu ibu meningkat 60 peratus

PETALING JAYA: Tahap kesedaran umum terhadap amalan penyusuan ibu secara eksklusif mencatatkan peningkatan 60 peratus pada tahun lalu berbanding 14.5 peratus pada 2009.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata peningkatan itu menunjukkan perkembangan baik dalam tempoh 10 tahun, berikutan ramai menyedari kepentingan memberikan susu ibu bagi tempoh enam bulan pertama.

Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang ketiga pada 2006 menunjukkan kira-kira 95 peratus ibu pernah memberikan bayi susu badan dan pada bulan awal kelahirannya.

"Kesedaran turut dipengaruhi kejayaan kempen kesihatan dan kesejahteraan melalui usaha program kesedaran serta inisiatif kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Gift of Love anjuran The Breastfeeding Advocates Network (TBAN) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Atria Shopping Gallery, hari ini.

Program sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dengan dimeriahkan kira-kira 133 ibu menyusu sekali gus menggalakkan golongan itu memberikan bayi mereka susu ibu selain menyokong cuti paterniti tiga hingga tujuh hari.

Yang turut hadir,  Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita ( WAO), Sumitra Visvanathan dan Pengasas TBAN, Gina Yong.

Yeoh berkata, bagaimanapun kempen penyusuan susu ibu perlu terus dilakukan berikutan ramai ibu tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai cara menyusukan bayi, tekanan sekeliling mendesak menggunakan susu formula serta ketiadaan kemudahan tempat menyusu di tempat awam.

"Kebanyakan ibu tidak mempunyai pengalaman, jadi proses penyusuan menjadi sukar lebih-lebih lagi tiada air susu dalam tempoh awal, desakan suami atau keluarga yang kasihan melihat bayi menangis kelaparan, bengkak pada payudara serta masih lemah selepas melahirkan.

"Isteri memerlukan sokongan supaya mereka boleh menyusukan bayi dan tidak mudah mengalah disebabkan halangan seperti ketiadaan sokongan, tidak mahir, malah majikan juga perlu menggalakkan penyusuan seperti menyediakan bilik laktasi, tempat awam mempunyai kemudahan khusus kerana ada wanita yang menyusukan bayinya di dalam tandas," katanya.

Katanya, kerajaan Melaka berjaya mewujudkan bilik penyusuan dan kemudahan simpanan beku di 19 agensi kerajaannya dan inisiatif itu diharap diikuti negeri lain.

Mengenai cuti paterniti, kementerian menyokong cuti berkenaan namun keputusan mengenai terserah pada Kementerian Tenaga Manusia.

"Kita menyokong penuh cuti itu diberikan kepada bapa yang menjadi bapa kali pertama berikutan mereka perlu menguruskan isteri, membawa anak ke klinik malah trend lelaki sekarang mereka dilihat menyertai isteri ke program advokasi seperti ini," katanya.

Sementara itu, Gina berkata, TBAN yang ditubuhkan 10 tahun lalu mempunyai kira-kira 140,000 ibu dan bapa yang mengikuti perkembangan kumpulan sokongan penyusuan ibu dalam talian dengan mula memperkenalkan kempen itu acara tahunan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu sedunia dari 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.

127 dibaca
Berita Harian X