Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:34am
SASARAN lebih ramai anggota Jabatan Bomba wanita bantu memperkukuhkan pasukan itu secara menyeluruh, terutama mengikut keperluan bantuan kepada golongan hawa. - foto Salhani Ibrahim

Sasaran 30 peratus wanita dalam KPKT

PUTRAJAYA: Portfolio Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digalas menterinya, Zuraida Kamaruddin membawa iltizam tinggi ke arah mewujudkan masyarakat berdaya saing dan institusi kekeluargaan yang mantap.

Sejajar dengan pelantikannya, beliau berhasrat meningkatkan keupayaan dan memperkasakan kakitangannya, termasuk wanita ke tahap lebih tinggi.

“Justeru, apabila saya dilantik dalam portfolio ini, pelbagai perspektif dapat dilihat termasuk meningkatkan keupayaan dan memperkasakan kakitangan wanita serta lain-lain berhubungkait keperluan golongan itu.

“Dengan kuasa saya di kementerian ini berupaya menggubal keputusan, malah banyak aspek sudah ditambah baik, misalnya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melantik 30 peratus ahli majlis kalangan wanita untuk pelantikan akan datang,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, polisi itu boleh dilaksanakan pada pelantikan ahli majlis baharu yang setiap pelantikannya dibuat dalam tempoh dua tahun dan akan membuat penilaian semula mana-mana yang berkaitan.

ANTARA tugas anggota bomba wanita perlu dilaksanakan. - Foto Salhani Ibrahim.

Katanya, menerusi polisi itu, sekurang-kurangnya lapan daripada 24 ahli majlis adalah wanita dan ia termasuk dalam syarat Sistem Penarafan Bintang PBT yang ditetapkan kementerian.

“Saya yakin dengan pembabitan lebih ramai wanita di dalam kementerian ini, kita dapat memberi lebih peluang kepada golongan itu berada di barisan kepemimpinan,” katanya.

Beliau juga mengarahkan calon wanita yang menyertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikecualikan daripada ujian kelayakan fizikal seperti memanjat tali ramai yang gagal melepasi kriteria itu.

“Ketika ini hanya ada 1.42 peratus atau kira-kira 200 anggota bomba wanita daripada 14,000 anggota keseluruhan. Sekiranya calon yang berminat tidak melepasi ujian, semakin berkurangan pengambilan anggota baharu,” katanya.

Zuraida berkata, kementerian menyasarkan pertambahan kakitangan bomba wanita sehingga 15 peratus menjelang 2020.

Lantas, syarat dan kriteria kemasukan sebagai anggota bomba dan penyelamat, terutama bagi golongan hawa perlu dilonggarkan.

“Sekarang pembabitan bomba wanita memang tidak memberangsangkan, terutama dari segi latihan kaunseling, pengendalian emosi, pengurusan rumah tangga serta kes kebakaran di kawasan dapur.

“Kita berasakan perlu anggota untuk memberi tunjuk ajar kepada suri rumah misalnya langkah keselamatan kebakaran di rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, ujian kelayakan fizikal kepada wanita wajar diberi kelonggaran kerana ramai wanita layak menganggotai bomba tetapi disebabkan ujian memanjat tali mereka gagal, mereka gagal mendapat peluang pekerjaan.

Zuraida Kamaruddin - foto Owee Ah Chun.

“Itu antara punca wanita gagal walaupun semua kriteria lain mereka berjaya, justeru saya mengarahkan panel penilai mengecualikan wanita daripada ujian fizikal itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengulas usaha mempertimbangkan kenaikan gaji petugas JPBP tanpa mengira gender.

Katanya, tangga gaji pasukan bomba paling rendah berbanding badan beruniform lain meskipun mereka mempunyai tanggungjawab berat dan penting kepada negara.

“Saya akan usahakan ini untuk meningkatkan motivasi, integriti dan bersesuaian dengan kos sara hidup,” katanya.

Menerusi Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lalu, sekali gus membuktikan kerajaan komited mewujudkan masyarakat berdaya saing dan memiliki satu perasaan kebersatuan.

Harapan itu. bagaimanapun memerlukan perancangan menyeluruh, termasuk membabitkan wanita, terutama wanita berpendapatan rendah (B40) meningkatkan kualiti hidup dan institusi kekeluargaan kerana insan itu bertanggungjawab menguruskan rumah tangga dan keseimbangan kerjaya.

Katanya, tumpuan itu penting bagi membolehkan masyarakat hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang termasuk berkongsi peranan aktif dalam penjagaan kebersihan kawasan, keselamatan awam, kesedaran sivik, kemahiran sosial serta sahsiah tinggi.

“Begitu juga melalui DKN kementerian akan memastikan tiada kemiskinan bandar, selain mengubah sikap menjadikan masyarakat bertanggungjawab menjaga harta, perumahan, pengurusan sampah, kewangan dan menyelesaikan masalah sosial dalam komuniti kejiranan,” katanya.

Beliau percaya dengan perubahan mentaliti masyarakat itu akan menjadikan institusi kekeluargaan yang lebih gemilang, sekali gus menghapuskan budaya vandalisme serta bertanggungjawab dan saling menjaga kemudahan secara bersama.

Berita Harian X