Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:16am
Wan Norfadhilah ketika program sukarelawan di Bangladesh.

'Kediaman seperti reban ayam'

KUALA LUMPUR: Menyaksikan kehidupan serba daif masyarakat Islam di beberapa negara bergolak begitu menyentuh hati dan sanubari sukarelawan, Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim, yang aktif menjalankan pelbagai program membantu golongan terbabit.

Kehidupan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ disaksikan sendiri ketika beliau menjalankan kerja kemanusiaan di Syria lima tahun lalu menyayat hati anak muda ini sehingga kini.

Wan Noor Fadhilah, 29, berkata kesusahan menimpa penduduk di kem penempatan di sempadan antara dua negara Syria dan Kutupalong, Jordan itu membakar semangat beliau terus berkhidmat sebagai sukarelawan setiap kali menyambut Aidiladha.

Katanya, masih ramai penduduk dunia belum menikmati kehidupan lebih baik apatah lagi ada yang tidak berpeluang menjamah daging korban seperti orang lain berikutan konflik di negara berkenaan.

“Kehidupan serba daif di kem selain lokasinya jauh dari bandar, memaksa penduduk menjadi kreatif dalam meneruskan kelangsungan hidup meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

“Sekalipun ada yang tinggal di dalam rumah, namun kedaifan tidak dapat digambarkan. Tinggal di ruang kecil, dapur dan bilik air serta ruang tamu di situlah segala-galanya bagi mereka.

“Kediaman seperti reban ayam atau kandang haiwan, bukan menghina keadaan tapi itulah keadaan sebenar kehidupan mereka sekeluarga,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Anak kelahiran Kota Bharu ini berkata, sedih melihat kehidupan penduduk adalah sebahagian daripada nikmat Allah SWT kepadanya.

Namun, tidak dapat menahan sedih, genangan air mata akhirnya tumpah sebaik melihat insan serba miskin ini bersungguh menjamu tetamu dengan sajian terbaik yang mereka ada ketika itu.

“Masih segar dalam ingatan, seorang wanita mengagihkan daging korban di Cox’s Bazar, Bangladesh tahun lalu. Walaupun keadaan rumah kecil, kami dipelawa masuk dan dilarang membuka kasut walaupun kaki berlumpur.

“Wanita itu dengan bangga menjamu dengan sajian enak, dimakan bersama roti walaupun mengetahui mereka sendiri hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Ketika itu perasaan bercampur-baur, ketika menikmati sajian ringkas itu, kami terharu. Sedih dan gembira kerana dapat rasakan keikhlasan wanita itu ketika menyediakan hidangan,” katanya.

Berkongsi pengalaman itu, Wan Noor Fadhilah, berkata sukar baginya untuk memenuhi permintaan mereka yang berkeperluan kerana sumbangan yang diberi terlalu sedikit malah tidak mencukupi.


Wan Norfadhilah ketika program sukarelawan di Bangladesh.

Beliau berkata, sebelum menjadi sukarelawan program ibadat korban ke luar negara seperti Turki dan Bangladesh, dia pernah aktif mengendalikan perkhidmatan di rumah perlindungan wanita, ketika berada tahun akhir pengajian di universiti.

Katanya, tugas sukarelawan memerlukan komitmen yang tinggi. Tidak dinafikan memang penat tetapi saya gembira kerana dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan.

“Malah, pengalaman memberi bantuan menyedarkan dirinya betapa untungnya diri berbanding mereka yang kurang bernasib baik.

“Melihat mereka mendapat bantuan mengukir senyuman kerana bersyukur dan gembira, sudah memadai baginya. Kegembiraan mereka menyuntik semangat saya untuk terus menjalankan bantuan kemanusiaan.

“Pengalaman ini membuka matanya melihat keadaan dunia pada perspektif lebih luas. Tugasan ini mengajar saya erti syukur dan sentiasa berkongsi rezeki. Biarlah kita seperti pepatah, ‘harimau mati meninggalkan belang, kita mati meninggalkan nama’,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Projek dan Hal Ehwal Kemanusiaan, Muslim Volunteer Malaysia ( MVM), Nusrah Rabiha Yunus, 25, pula mencintai bidang sukarelawan kemanusiaan selepas terbabit secara tidak langsung misi korban di Surau Al-Istiqamah, Bangi, tahun lalu.

“Kebiasaannya tugas sebagai sukarelawan wanita dalam program qurban agak terbatas kerana kadang kala tugasan yang diberikan selalu di bahagian rewang dan juga memasak sahaja.

“Bagaimanapun, saya merasa pengalaman pertama yang cukup berbeza di Masjid di Bangi apabila diberi peluang membantu memotong daging di lapah dan menimbang seterusnya membungkus daging untuk diedarkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tugasan ini agak memenatkan tetapi Nusrah Rabiha seronok kerana ia sebahagian daripada ibadah.

“Kecintaan ini membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk menyertai ibadah qurban di kem pelarian Rohingya di Bangladesh kali ini dan mahu melihat sendiri realiti kehidupan dan kedaifan pelarian etnik Rohingya di sana,” katanya.

Nusrah Rubiha berkata, apabila melihat penerima daging qurban tersenyum menerimanya, penat lelahnya terbalas. Malah, menyertai program sebegini bagaikan satu latihan untuk membentuk dirinya menjadi insan yang sentiasa bersyukur.

"Tidak semua orang bernasib baik dan selalu dapat peluang makan daging. Jika kita rasa susah, sebenarnya adalah orang lebih susah dari kita.

"Menyertai program sukarelawan ibadah qurban secara tidak langsung mengubah sisi keperibadian saya kerana dapat berbakti dari sudut masa, tenaga dan sokongan moral kepada penerima.

"Saya akui lebih matang, berfikiran terbuka, malah bersemangat untuk terus bergiat aktif membantu mereka yang tidak bernasib baik di kala ramai anak muda kurang berminat dalam tugasan sebegini," katanya.


NUSRAH Rabiha ketika misi majlis korban di Bangi.

Berita Harian X