Khamis, 5 September 2019 | 10:10am
Hannah diberi penerangan oleh Dilion (kiri) selepas melancarkan Bengkel Heels & Wheels sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 anjuran Bosch AA di Putrajaya. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Tingkat pengetahuan selenggara kenderaan

PUTRAJAYA: Sikap ambil mudah kerja menjaga kenderaan antara punca wanita sering dimanipulasi pihak bengkel ketika menghantar kenderaan untuk diselenggara.

Sebahagian besar daripada mereka mengharapkan orang lain mengendalikan urusan berkenaan tanpa perlu bersusah menghantar sendiri ke pusat servis.

Kajian agensi permotoran Bosch Automotive Aftermarket (Bosch AA) tahun lalu, mendapati, hanya seorang daripada 1,000 responden wanita mengakui mereka mempunyai pengetahuan asas mengenai panduan menjaga kereta.

Penyelidikan secara dalam talian itu mendapati, sebahagian besar mengharapkan pihak ketiga melakukannya.

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nur Jumatul Asyikin Junaidi, 24, berkata beliau mengharapkan ibu bapa menyelenggarakan kenderaannya berikutan bimbang menjadi mangsa penipuan mekanik.

“Saya sedar kemungkinan berdepan kereta rosak ketika bersendirian sama ada panik atau ditimpa kesulitan lain, bagi mengekal keadaan itu, saya patuh kepada jadual penyelenggaraan secara berkala.

“Memandangkan kenderaan sudah melepasi tempoh jaminan, penyelenggaraan dibuat di bengkel luar berbanding pusat servis.

“Jadi saya tidak pergi ke bengkel kerana selalunya wanita mudah dimanipulasi, dikenakan caj tinggi dan ditukarkan alat ganti yang tidak perlu,” katanya.


Wanita perlu ada pengetahuan asas penjagaan kenderaan sebagai persediaan menghadapi situasi tidak dijangka. - Foto hiasan

Beliau antara 60 peserta yang mengikuti bengkel keselamatan jalan khusus untuk wanita anjuran Bosch AA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) PROTON, PETRON dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) di kementerian berkenaan, baru-baru ini.

Bengkel Heels & Wheels sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 itu bermatlamat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai panduan penyelenggaraan kenderaan secara asas.

Mereka juga dimaklumkan mengenai faktor keselamatan meletakkan bayi dan kanak-kanak dalam kerusi khas ketika memandu.

Bengkel dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dengan dihadiri Pengurus Bosch AA Malaysia; Pang Yong Kong, Ketua Setiausaha KPWKM; Datuk Junaidah Kamaruddin, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW); Datuk Saidatu Akhma Hassan dan Pengurus Pemasaran Bosch AA Malaysia, Dillion Goh.

Program bertemakan #BoschEmpowersWomen adalah kesinambungan kempen Drive to Life yang dilancarkan pada Mei lalu, bertujuan menyokong usaha kerajaan mengurangkan kemalangan jiwa, terutama dalam kalangan pemandu wanita.

Kakitangan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Norshatilla Wan Zulkifli, 34, berkata faktor keselamatan menjadi keutamaan tetapi urusan penyelenggaraan diharapkan kepada suami berikutan kesuntukan masa untuk berbuat demikian.

“Meskipun tidak mahir menyelenggarakan kenderaan, saya pelajari perkara asas seperti keadaan tayar sama ada bocor atau kurang angin, tanda bateri lemah selain tempoh servis menukar minyak enjin.

“Semua pemandu tidak mengira jantina perlu ada pengetahuan asas penyelenggaraan kenderaan. Perhatikan pada setiap tanda amaran.

“Jika ada sebarang perubahan atau ketidakselesaan ketika memandu, segera ke bengkel berhampiran sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Rakan setugasnya, Aszatul Azriq, 35, berkata pengetahuan asas membantunya menyelesaikan masalah misalnya pernah menukarkan tayar ganti tanpa bantuan pihak lain.

“Pengetahuan ini setidak-tidaknya menghilangkan kegelisahan ketika berdepan situasi kecemasan kerana mampu menyelesaikan masalah sebelum menghubungi petugas bantuan.

“Saya peka akan perubahan kenderaan, jika ada yang tidak kena saya akan merujuk mekanik bengkel. Ini bagi mengelak berlaku kerosakan dalam perjalanan,” katanya.

Sementara itu panel penceramah yang juga wakil Bosch AA, Ellissa Yeo, berkata keselamatan pemanduan perlu diterapkan termasuk mendidik orang ramai supaya faham pentingnya pengetahuan penyelenggaraan asas kenderaan.

Beliau berkata, peserta dibekalkan dengan kemahiran membaiki masalah kecil pada kenderaan jika berlaku kecemasan selain pengawalan emosi jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Kenderaan perlu berada dalam keadaan selamat bagi mengelak kemalangan yang boleh meragut nyawa. Pendedahan asas seperti komponen bateri, pengelap cermin, minyak enjin dan tayar penting bagi memastikan kenderaan dalam keadaan selamat,” katanya.

Berita Harian X