Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:52pm
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan. - Foto Saifullizan Tamadi

Belanjawan 2020 mesra wanita

Kuala Lumpur: Belanjawan 2020 disifatkan mesra kepada kelompok wanita memandangkan peruntukan kali ini banyak memberi tumpuan terhadap golongan itu untuk kembali ke pasaran kerja.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, berkata belanjawan itu banyak memberi tumpuan menyelesaikan isu wanita dan pekerjaan.

Katanya, selama bertahun-tahun ini kita tahu kerajaan komited meningkatkan semula penyertaan tenaga kerja wanita yang sekali gus penting dalam membina ekonomi mapan teguh selain memastikan hak kesaksamaan gender itu dipenuhi.

"Dalam Belanjawan 2020 kerajaan meletakkan komitmen  kewangan untuk mencapai matlamat ini yang banyak dirangka menerusi wanit dan pekerjaan wanita yang mana bertujuan menggalakkan dan membolehkan golongan berkenaan kembali bekerja.

“Peruntukan RM30 juta bagi kemudahan penjagaan kanak-kanak, terutamanya di sekolah dan hospital adalah peruntukan besar dan bertepatan pada masanya," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Sumitra berkata, dengan adanya akses kepada kemudahan penjagaan kanak-kanak akan membolehkan lebih ramai wanita mengambil bahagian dalam tenaga kerja.

"Ketika ini, kira-kira 2,563,800 wanita negara ini tidak bekerja berikutan mereka tiada pilihan selain terpaksa akur bagi menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah dan mengambil komitmen menguruskan rumah tangga serta keluarga.

“Faktor ibu tidak bekerja kerana kos penjagaan anak mahal, memaksa mereka menjaga sendiri.

"Apabila kerajaan memperuntukkan dana awam bagi kategori penjagaan kanak-kanak yang menjadi bebanan kritikal kepada ibu bapa yang kebanyakan daripada golongan berpendapatan rendah.

"Beban kos penjagaan tinggi itu dapat dilihat apabila hanya kira-kira 6.9 peratus dari bayi baru lahir hingga berusia empat tahun didaftarkan dalam penjagaan kanak-kanak menurut laporan Bank Dunia pada 2017," katanya.

Katanya, WAO yakin dengan tumpuan positif daripada kerajaan itu memberikan lebih manfaat kepada golongan ibu bapa serta keluarga yang keluarga berpendapatan rendah.

“WAO gembira apabila kerajaan begitu bersungguh dalam agenda memperkasakan golongan suri menerusi beberapa pindaan Akta Pekerjaan seperti diumumkan antaranya memanjangkan tempoh cuti bersalin, perlindungan gangguan seksual lebih baik, dan melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan gender, bangsa, dan agama.

"Kita berharap keseluruhan pindaan itu dapat dibuat membabitkan cuti paterniti berbayar yang diharapkan diberikan sekurang-kurangnya tujuh hari. 

"Berharap kerajaan berupaya memastikan penghapusan diskriminasi termasuk diskriminasi terhadap pencari kerja, bukan hanya pekerja menerusi penambahbaikan pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak," katanya.

WAO berharap kerajaan dapat meningkatkan bilangan pegawai barisan hadapan yang mengendalikan kes kebajikan dan kes penderaan. 

"Mereka ini termasuk pegawai kebajikan, pekerja penjagaan kesihatan, kaunselor dan pegawai polis berikutan ketika ini begitu terbatas kumpulan sokongan terbabit.

"Sebagai pertubuhan yang dekat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila kerajaan mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada 67 institusi terbabit kita sangat menyokongnya,” katanya.

Berita Harian X