Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:45am
DR Amani ketika mengetuai projek penghantaran projek penyelidikan misi sains ke angkasa lepas pada April 2014.

Misi wanita ke angkasa lepas

KUALA LUMPUR: Misi besar digalas Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, lima tahun lalu masih hangat diperkatakan hingga ke hari ini berikutan kejayaannya sebagai wanita pertama negara mengetuai projek penghantaran projek penyelidikan misi sains ke angkasa lepas.

Mengetuai program astrobiologi berkenaan keupayaan biosensor teknologi di angkasa  itu adalah hasil kepercayaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat (AS) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan SpaceX CRS-3 iaitu kapal angkasa kelima dilancarkan agensi itu.

Misi hampir sebulan yang dilancarkan pada 18 April 2014 itu, meletakkan Dr Wan Wardatul Amani, 41, sebagai teraju utama di samping 10 saintis daripada akademia, lebih 14 jurutera dan ramai pakar teknologi lain.

Mesra disapa Dr Amani, beliau kini menggalas tugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata kejayaan mengetuai projek penyelidikan itu memperlihatkan peranan penting saintis berkenaan mencari peluang berbanding mengharapkan ia datang.

Sebagai contoh, reka cipta inovasi itu tidak semestinya tertumpu pada bidang aeroangkasa saja, tetapi ia membabitkan banyak teras Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang perlu diterokai secara menyeluruh.

“Jadi sekembalinya ke tanah air, saya mengikuti misi banjir di Kelantan. Di situ, saya memperoleh ilham menghasilkan teknologi sensor untuk mengesan bakteria dalam air.

“Bagi saya inovasi saja tidak mencukupi kerana sains aeroangkasa ini sangat menarik, membabitkan teknologi sofistikated, maju dan boleh diadaptasikan, iaitu memerlukan ekosistem bagi membolehkan saintis tempatan terus berinovasi, merekacipta dan mendapat sokongan semua pihak termasuk kerajaan dan industri,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan kekurangan bakat tetapi ketiadaan ekosistem dan budaya yang membolehkan reka cipta, hasil kepakaran Indeks Harta Intelek (IP) tempatan yang sememangnya berupaya digilap dan dibangunkan teknologi di negara ini tanpa perlu pergi ke negara maju.

Mengulas mengenai misi NASA itu, Dr Amani berkata, beliau mengetuai penyelidikan mengenai kajian terperinci maklum balas sel hidupan apabila kekurangan graviti.

“Mengimbas detik bersejarah itu, ketika itu saya bertugas sebagai saintis di Purdue University, West Lafayette, Indiana. Dalam pasukan itu, saya bertanggungjawab mereka bentuk dan membina teknologi biopenderia untuk melakukan kajian mengenai kesan graviti terhadap tumbuh-tumbuhan.


DR Amani ketika mengetuai projek penghantaran projek penyelidikan misi sains ke angkasa lepas pada April 2014.

“Kemuncaknya, bahan penyelidikan satelit nano itu dilancarkan ke angkasa lepas menerusi roket Falcon 9 v1.1 SpaceX yang mengambil masa selama 196 hari, iaitu sebahagian misi menghantar muatan komersial ke ISS,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia mengetengahkan saintis, individu wanita mempunyai kecemerlangan dalam bidang STEM sebagai ikon.

“Ini penting bagi memupuk minat anak kecil untuk berjaya menerusi contoh dan teladan supaya mereka tidak hanya mengagumi selebriti atau personaliti media sosial bagi  mencetuskan inspirasi atau idola kejayaan.

“Malaysia mempunyai ramai permata menyinar, antaranya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar, Dr Amalina Che Bakri, saya serta kumpulan saintis yang saya perkenalkan, iaitu Think Tank atau dikenali Adiwira Avengers yang kurang dikenali berikutan mereka tidak diketengahkan, tetapi berhasil mencetuskan penemuan baharu, eksplorasi dunia saintis dan perubatan, sebagai pakar bertaraf dunia,” katanya.

Bagi menggalakkan pelajar dan murid di bangku sekolah meminati STEM, tanggapan bidang STEM sukar, wajar dihilangkan supaya ibu bapa kembali memberi kepercayaan anak mereka meminati bidang terbabit.

“Masyarakat perlu memahami dengan hanya penerokaan menyeluruh bidang STEM akan menghasilkan perubahan, cara hidup, kehidupan serta membangunkan negara lebih maju.

“Dengan bidang ini kita boleh berjasa kerana melaluinya kita berupaya menerokai bidang baharu, memberi ruang mencipta inovasi, peluang pekerjaan dan masa depan yang inovatif serta menjadi lebih mengenali tanpa mempercayai perkara tanpa kajian saintifik,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting, tidak putus memberikan sokongan, dorongan bagi berbakti pada nusa bangsa serta negara, berbanding pertanyaan soal peribadi seperti bila mahu berumah tangga, melahirkan anak dan seumpamanya.

“Bermula dari sekarang murid di bangku sekolah perlu didedahkan dengan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, selain pengetahuan coding kerana ia realiti untuk memahami STEM secara insklusif.

“Jangan biarkan generasi sekarang dihantui persepsi STEM bidang yang sukar hingga ibu bapa enggan membiarkan anak mereka mengikuti pengajian dalam pengkhususan itu dan menghalang minat anak kerana bimbang tiada masa depan,” katanya.

Sebaliknya, masyarakat perlu jelas, melalui penerokaan STEM akan menghasilkan perubahan, cara hidup, kehidupan dan menjadikan negara lebih maju.

“Menerusi bidang ini, kita boleh berjasa kerana melaluinya kita berupaya menerokai bidang baharu, memberi ruang mencipta inovasi, peluang pekerjaan dan masa depan yang inovatif serta menjadi lebih mengenali tanpa mempercayai perkara tanpa kajian saintifik,” katanya.


DR Amani ketika mengetuai projek penghantaran projek penyelidikan misi sains ke angkasa lepas pada April 2014.

Berita Harian X