Sabtu, 21 Disember 2019 | 7:13pm
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (dua dari kiri) pada sidang media di Kuala Lumpur berkenaan penangguhan Sukan Para ASEAN Filipina dari Januari ke Mac 2020.
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (dua dari kiri) pada sidang media di Kuala Lumpur berkenaan penangguhan Sukan Para ASEAN Filipina dari Januari ke Mac 2020.

Presiden MPM kecewa Para ASEAN Filipina ditangguh

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meluahkan rasa kecewa dengan penangguhan temasya Sukan Para ASEAN di Filipina yang beralih ke Mac daripada jadual asal, pada bulan depan.

Dalam satu sidang media di sini, Megat yang masih terkejut atas alasan kekurangan dana oleh Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) berkata, pihaknya akan melakukan pertemuan dengan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) di Bangkok, Thailand minggu depan sebagai usaha mencari jalan penyelesaian berhubung isu terbaharu ini.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke temasya itu turut menyatakan betapa penangguhan yang dibuat penganjur bakal memberi kesan kepada persediaan atlet untuk mempersiapkan diri ke Sukan Paralimpik 2020 yang dijadual berlangsung di Tokyo.

Megat berkata pihaknya kini harus melihat kepentingan antara dua temasya berkenaan seandainya tuan rumah Filipina tetap dengan pendirian mereka.

"Perkara ini memang tidak adil untuk menangguhkan Sukan Para ASEAN dari Januari ke Mac," katanya.

"Ada baki kira-kira 18 hari lagi sebelum temasya bermula. Kami terkejut dengan penangguhan ini. Kami sangat hampa.

"Kami akan tunggu, apakah yang akan berlaku nanti. Selepas itu, kami akan maklumkan kemudian. Sekarang ini, kami sedih dan saya boleh rasakan apa yang atlet rasa.

"Selain itu, Mac juga bakal berlangsungnya kejohanan peringkat antarabangsa yang menawarkan mata ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Jadi kami akan melihat mana yang lebih penting.

"Bukan saja Malaysia, negara lain juga sudah membeli tiket (penerbangan) dan sebagainya. Malah ada juga antara pegawai teknikal yang sudah mengambil cuti untuk Januari. Jadi tentunya ada gangguan penyertaan dan kemungkinan ada sesetengah negara yang akan menarik diri."

Begitupun, Megat belum pasti sama ada kontinjen Malaysia akan membuat keputusan menarik diri daripada temasya berkenaan dan sebarang keputusan akan ditentukan selepas pertemuan dengan APSF dilakukan.

Berita Harian X