Sabtu, 28 Disember 2019 | 10:30am
Dr Amalina berkongsi kepakaran dengan membawa bayi yang menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, menjalani pembedahan di London, pada 10 Jun lalu.
Dr Amalina berkongsi kepakaran dengan membawa bayi yang menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, menjalani pembedahan di London, pada 10 Jun lalu.

2019 catat kejayaan cemerlang dalam bidang perubatan

BIDANG perubatan mencatat kejayaan manis dan cemerlang bukan saja di dalam negara, malah mencatat sejarah tersendiri sehingga ke peringkat global sepanjang 2019.

Kepakaran perubatan negara juga membolehkan bidang itu mencatat carta pertama dalam kategori Penjagaan Kesihatan bagi Indeks Persaraan Global Tahunan 2019, dengan skor 95 daripada 100 mata.

Kira-kira 13 hospital di negara ini memperoleh akreditasi daripada Suruhanjaya Antarabangsa Bersama (JCI) dan kebanyakan doktor di Malaysia mendapat latihan di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Australia.

Ini membolehkan komunikasi berjalan dengan lancar dan tidak menghairankan Malaysia menjadi destinasi pelancongan popular di dunia.

Kos rendah berbanding di Amerika Syarikat turut menjadi tarikan pelancong asing mendapatkan rawatan di negara ini, selain perkhidmatan mesra.

Tahun ini, sektor pelancongan kesihatan memberikan pulangan ekonomi yang lumayan dengan anggaran sebanyak RM6 bilion melalui kesan rantaian apabila pelancong kesihatan turut berbelanja melalui penginapan, aktiviti pelancongan, membeli-belah dan pengangkutan.

Pakar kita juga mengharumkan negara di peringkat antarabangsa apabila Saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik Zainal, umpamanya dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.

Hadiah turut dikenali sebagai ‘Hadiah Nobel untuk Kajian Kanser’ itu dianugerahkan kepada Dr Serena secara bersama dengan rakan penyelidikan beliau, Dr Paul Calleja dan Dr Ignacio Medina dari University of Cambridge, di University of Bern, di Switzerland, Oktober lalu.

Dr Serena dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019, kejayaannya menjalankan kajian mempercepat penafsiran holistik genom kanser.
Dr Serena dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019, kejayaannya menjalankan kajian mempercepat penafsiran holistik genom kanser.

Dr Serena adalah siswazah perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, University of Cambridge di bawah tajaan PETRONAS.

Doktor pakar yang berkhidmat di luar negara seperti Dr Nur Amalina Che Bakri tidak lokek berkongsi kepakaran dengan membawa bayi yang menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, menjalani pembedahan di London, pada 10 Jun lalu.

Kejayaan pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di sana cukup membanggakan seluruh rakyat di negara ini.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu dijalankan sekumpulan pakar bedah dan anestetik yang diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Pengasas MERCY Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dinobat sebagai pemenang bagi ASEAN Prize 2019 pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Bangkok, Thailand, pada November lalu.

Dr Jemilah dinobat pemenang bagi ASEAN Prize 2019 pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Bangkok, Thailand, November lalu.
Dr Jemilah dinobat pemenang bagi ASEAN Prize 2019 pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Bangkok, Thailand, November lalu.

Dr Jemilah adalah rakyat Malaysia pertama menerima hadiah ini dipilih berdasarkan kepada sumbangan beliau terhadap bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ASEAN.

Kejayaan pakar di dalam negara dalam inovasi perubatan juga tidak kurang hebatnya.

Pada Mei lalu, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Rosfarizan Mohamad bersama pasukan penyelidik universiti itu berjaya menghasilkan penyembuh luka diabetes menggunakan gabungan peria katak dan belimbing rosak.

Penyembuh dalam bentuk gel itu berupaya menyembuhkan luka dalam tempoh kurang 48 jam atau dua hari berbanding lebih 48 jam menggunakan penyembuh lain yang diimport dari Amerika Syarikat dan Filipina.

Prof Dr Rosfarizan menghasilkan penawar diabetes dengan menggunakan peria katak. - Arkib NSTP
Prof Dr Rosfarizan menghasilkan penawar diabetes dengan menggunakan peria katak. - Arkib NSTP

Produk penyembuh ini berasaskan penggunaan nanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria dalam buah rosak seperti belimbing.

Masalah denggi yang seakan tiada kesudahannya memberikan inspirasi kepada kumpulan penyelidik dari Unit Kaji serangga Perubatan, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan (KKM), bersama penyelidik di Universiti Glasgow (UK) dan Universiti Melbourne (Australia), menentang penularannya menggunakan bakteria Wolbachia.

Bakteria itu berjaya mengurangkan kes denggi di lokaliti hotspot di Selangor dan hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Current Biology, pada 21 November lalu, menunjukkan nyamuk berWolbachia (strain wAlbB) apabila dilepaskan ke alam sekitar berkesan mengurangkan hampir 40 peratus kes demam denggi.

Selain denggi, Wolbachia (strain wAlbB) berkesan dalam menyekat penularan virus Zika dan chikungunya yang disebarkan melalui nyamuk.

November mencatatkan satu lagi pencapaian apabila penanaman hem, sejenis tumbuhan spesies ganja bagi tujuan penyelidikan industri dibenarkan oleh kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kebenaran berkenaan berdasarkan Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ia terhad kepada pegawai awam dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Bagaimanapun, orang awam tidak dibenarkan menanam tumbuhan berkenaan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 jika berbuat demikian.

Hem ditanam bagi menghasilkan serat atau gentian untuk kegunaan industri fabrik, kosmetik dan makanan.

Bajet 2020 dibentangkan pada 11 Oktober dengan peruntukan RM60 juta bagi suntikan pneumokokal secara percuma buat semua bayi yang lahir pada 2020 antara berita gembira untuk semua ibu bapa.

Suntikan Pneumococcal atau turut dikenali sebagai Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV) diberikan bertujuan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus Pneumonia.

Berita Harian X