Jumaat, 3 Januari 2020 | 10:06am
Nazrin Idham melayani pelanggan wanita yang menggunakan Dego Ride. - NSTP/Aizuddin Saad
Nazrin Idham melayani pelanggan wanita yang menggunakan Dego Ride. - NSTP/Aizuddin Saad

Mahu lebih ramai Dego rider wanita

KUALA LUMPUR: Penumpang wanita perkhidmatan motosikal e-hailing mahu lebih ramai penunggang wanita atau rider mendaftar supaya mereka lebih selesa menggunakan mod pengangkutan itu.

Tinjauan BH di sekitar ibu negara semalam, mendapati penumpang wanita tidak selesa menggunakan perkhidmatan itu kerana kebanyakan penunggang Dego Ride adalah lelaki.

Bagaimanapun, pembonceng wanita tetap menggunakan perkhidmatan itu berikutan tambang lebih rendah berbanding perkhidmatan e-hailing lain.

Alin Hanis Zulkifli, 23, mengakui kurang selesa menggunakan perkhidmatan penunggang lelaki itu walaupun Dego Ride dapat menjimatkan wang dan masa.

Beliau yang tinggal di Putrajaya dan bekerja di Jalan Ipoh, lazimnya menggunakan Grab untuk menaiki tren di Putrajaya Sentral ke tempat kerja dan mengakui ia memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Saya membayar RM10 untuk Grab setiap hari, namun hari ini (semalam), saya hanya membayar RM5 menggunakan Dego Ride dan dapat berjimat serta tidak terperangkap dalam kesesakan.

“Bagaimanapun, dua kali perkhidmatan Dego Ride yang digunakan membabitkan penunggang lelaki.

“Setahu saya, syarat dikenakan ialah pembonceng wanita menaiki motosikal ditunggang wanita, tetapi mungkin tiada rider perempuan sekitar rumah saya.

“Harap ramai penunggang wanita mendaftar supaya pembonceng berasa lebih selamat ketika menggunakan perkhidmatan itu,” katanya, semalam.

Sementara itu, Wan Amelia Wan Alias, 29, menggunakan perkhidmatan teksi motosikal itu sebagai ‘pengangkutan perantara’ ke tempat kerja kerana tambang berpatutan.

“Biasanya saya menaiki Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) untuk transit ke tren monorel, tetapi ketika waktu puncak, orang ramai berebut menggunakan LRT maka saya beralih menggunakan Dego Ride pagi tadi (semalam).

“Agak sukar mendapatkan perkhidmatan itu dan yang datang adalah rider lelaki, tetapi saya tiada pilihan,” katanya.

Suri rumah, Mazlini Abdullah, 53, berkata kewujudan Dego Ride menyenangkan pergerakannya ke pasar.

“Hampir setiap hari memandu ke pasar borong untuk membeli barang basah. Dego Ride ini menjimatkan wang, tenaga dan masa kerana tambangnya hanya RM4 sehala,” katanya.Sementara itu, penunggang Dego Ride, Anas Mohamad, 33, menerima enam pelanggan selepas tiga jam mengaktifkan perkhidmatan.

“Saya mencari duit tambahan menjadi rider selepas selesai kerja offshore. Mungkin disebabkan perkhidmatan masih baharu dan kekurangan penunggang, saya menerima pelanggan yang jauh contohnya di Bangsar sedangkan saya berada di Ampang,” katanya.

Seorang lagi penunggang, Nazrin Idham Razali, 30, memastikan keselamatan penumpang terjaga dan menyifatkan kerjaya itu memberi pulangan lumayan.

Beliau berharap ada undang-undang bayaran tambang secara kad bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Paling penting, saya tidak terikat dengan kerja dan ada masa bersama keluarga,” katanya.

Wartawan BH yang mencuba perkhidmatan Dego Ride semalam, menunggu hampir setengah jam sebelum rider lelaki tiba.

Kadar bayarannya berpatutan dan tiba ke lokasi dituju dengan cepat walaupun kesesakan berlaku pada waktu puncak.

Sementara itu, Dego Ride menerima sambutan memberangsangkan apabila menerima kira-kira 8,000 permohonan daripada penunggang pada hari pertama beroperasi, semalam.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, berkata pihaknya baru meluluskan 800 permohonan selepas tapisan, atas faktor keselamatan penumpang.

Berita Harian X