Jumaat, 3 Januari 2020 | 10:07am
Mun Ching bersama produk dihasilkan oleh usahawan yang dijual di Destination: Good, REXKL, Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Mun Ching bersama produk dihasilkan oleh usahawan yang dijual di Destination: Good, REXKL, Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah

Yayasan AirAsia bantu pasar produk gaya hidup

KUALA LUMPUR: Hampir 500 produk gaya hidup berkonsepkan alam semula jadi hasil kerja tangan 30 usahawan dari rantau Asia Tenggara yang berdaftar di bawah Yayasan AirAsia dijual di Destination: Good, REXKL, di ibu kota bertujuan mengembangkan dan mempromosi perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching, berkata jualan produk menerusi yayasan itu juga bertujuan membantu meningkatkan jualan yang memberi manfaat kepada usahawan dan komuniti setempat.

Katanya, sebanyak 40 peratus daripada perusahaan sosial terbabit terdiri daripada usahawan tempatan, manakala selebihnya dari Thailand, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

“Keusahawanan sosial dipilih berdasarkan objektif yang diketengahkan mereka terutama bermatlamat membawa semula kebaikan kepada lebih ramai komuniti seperti golongan kurang upaya, orang miskin, Orang Asli dan sebagainya menerusi hasil jualan berkenaan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, Destination: Good sebelum ini dibuka di klia2 selama enam bulan kemudian dibuka, di REXKL sebagai platform pertama mengetengahkan produk dan pelbagai barangan gaya hidup.

Antara jenama anak tempatan yang termasuk dalam yayasan itu ialah Athena yang mengetengahkan fabrik tuala wanita kitar semula, Batik Boutique (produk fesyen dan aksesori semula jadi), Bario Asal (aksesori bercetak dari Sarawak) dan Eat, Shoots & Roots (jualan benih pokok untuk tanaman di rumah serta Tembaga Terengganu (barangan hiasan warisan tembaga dari Terengganu).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 24 perusahaan sosial memperoleh geran dan dana daripada yayasan berkenaan bagi membangunkan produk mereka.

“Sebelum ini, dana hanya digunakan untuk menjalani latihan perniagaan atau membeli peralatan diperlukan untuk menghasilkan produk, tetapi kini dengan adanya platform itu perusahaan sosial berpeluang mengetengahkan dan memasarkan produk mereka ke peringkat lebih baik.

“Hasrat utama yayasan pada awalnya mahu menyokong usahawan di seluruh Asia. Pemberian geran untuk dana kepada perusahaan sosial sebagai usaha bagi membantu menambah baik dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Mun Ching berkata, semua usahawan sosial ini berbakat dan berupaya menghasilkan sesuatu yang unik, menarik, kreatif dan berinovasi dari segi rekaan dan pembuatannya.

“Produk ditonjolkan mesti melalui beberapa kriteria iaitu tidak menggunakan plastik, sebaliknya memberi keutamaan kepada perusahaan sosial yang menggunakan bahan kitar semula dan alam semula jadi.

“Malah, paling penting ialah keusahawanan sosial mampu mempertahankan kelestarian pengeluaran produk dan membawa matlamat memberi semula kebaikan kepada penduduk masyarakat.

Yayasan AirAsia turut memberi peluang kepada pelarian Afghanistan yang menetap di Malaysia menerusi jenama Nazanin dengan mengetengahkan koleksi beg buatan tangan dengan reka bentuk kontemporari.

“Kita memberi peluang kepada jenama Nazanin bagi membantu mendapatkan mata pencarian menerusi kreativiti dan kebolehan mereka,” katanya.

Jenama Helping Hands Penan menampilkan koleksi beg menggunakan rotan hasil kerja tangan wanita orang asli Penan dari Pantai Timur.

Katanya, ia sebagai lambang seni budaya masyarakat orang asli Penan, iaitu hasil jualan aksesori buatan tangan itu dapat membantu meningkatkan kestabilan ekonomi serta membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Berita Harian X