Isnin, 6 Januari 2020 | 9:55am
ANTARA pemandangan di Antartika, Kutub Selatan. NSTP.
ANTARA pemandangan di Antartika, Kutub Selatan. NSTP.

Salah guna dana untuk kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menapis program badan bukan kerajaan (NGO) wanita supaya sebarang sokongan atau penyaluran dana diterima oleh pihak yang tepat bagi mengelak disalah guna untuk kepentingan agenda peribadi.

Presiden Pertubuhan Wanita Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor (PERNITA), Noor Harnanie Buang, berkata peruntukan dana lebih elok diberi kepada NGO yang benar-benar melakukan program memperkasakan wanita menerusi pemantauan ketat.

Katanya, ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sewajarnya dana yang ada perlu diagihkan untuk melaksanakan program yang lebih penting dalam memperkasakan wanita mengikut keperluan golongan sasar.

“Banyak program jauh lebih bermanfaat untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman wanita dalam pelbagai bidang khususnya memantapkan ekonomi keluarga dan mengubah nasib mereka.

“Ini bagi mengelakkan dana berkenaan disalurkan kepada pertubuhan, kumpulan atau individu yang melakukan program seperti melepaskan batok di tangga atau untuk kepuasan sendiri demi membawa agenda peribadi.

“Dalam keadaan suasana ekonomi yang tidak berapa baik, menerusi dana berkenaan pasti dapat membantu melaksanakan banyak program dalam memperkasakan serta membantu golongan sasar meningkatkan pengetahuan terutama bidang ekonomi keluarga serta mengubah nasib mereka ke arah lebih baik.

“Antara program yang harus ditekankan NGO wanita dalam era digital ini adalah program keusahawanan bagi membantu mempertingkatkan kemahiran dan penggunaan teknologi maklumat.

“Program penting sahsiah diri bagi membentuk keyakinan wanita untuk berusaha memperoleh pendapatan sendiri, selain melahirkan lebih ramai pemimpin dan jawatan utama membabitkan golongan itu,” katanya.

SESI perkongsian bersama peserta Projek Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA), Dr Sharifah Mazlina.
SESI perkongsian bersama peserta Projek Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA), Dr Sharifah Mazlina.

Beliau mengulas kenyataan pengkritik sosiopolitik yang juga aktivis Mariam Mokhtar menerusi sebuah portal, baru-baru ini yang berpendapat wang pembayar cukai yang dibayar setiap tahun lebih baik disalurkan kepada program memperkasakan wanita yang dilihat lebih relevan berbanding memberikannya untuk memenuhi misi tertentu.

Ia rentetan empat individu Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) yang diketuai Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir berlepas ke Antartika bagi meneruskan misi untuk membawa pulang kapsul yang pernah ditanam 15 tahun lalu dengan kos mencecah sehingga RM4.33 juta.

Ekspedisi itu membawa tiga pelapis baharu terpilih yang juga bakal ratu ais negara iaitu ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31; anggota Tentera Darat Malaysia, Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34; dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33 tahun, selepas berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan.

Selain AWETA yang pernah berusaha mendapatkan peruntukan dana adalah pelari solo negara, Mej (K), Dr Suwaibah Muhammad Nasir dilaporkan memerlukan dana RM4 juta bagi melengkapkan Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia sebagai bantuan menampung kos sepanjang perjalanan.

Noor Harnanie berkata, misi seperti itu tidak seharusnya diketepikan dan dana diberikan dalam jumlah kecil berikutan kerana impaknya tidak begitu meluas sebaliknya hanya pada individu berkenaan saja.

Katanya, PERNITA menyarankan supaya kerajaan mewujudkan biro khas untuk mengetuai program memperkasakan wanita supaya dana yang disalurkan dapat memberi manfaat serta maklum balas lebih baik kepada masyarakat.

“Dana yang disediakan bagaimanapun disarankan diberikan kepada pihak yang lebih berhak dan tepat seperti PERNITA yang turut menjalani program memperkasakan wanita.

“Namun, apabila tiada peruntukan, PERNITA terpaksa bergerak mencari dana bagi menggerakkan program tanggungjawab sosial kemasyarakatan (CSR) sendiri.

“Justeru, sempena Wawasan 2020, PERNITA juga berharap supaya dapat menjadi salah satu NGO yang diberi mandat dalam memartabatkan wanita selaras dengan misi memperkasakan dan membawa wanita ke era milenium,” katanya.

NOOR Harnanie Buang - Banyak program jauh lebih bermanfaat untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman wanita.
NOOR Harnanie Buang - Banyak program jauh lebih bermanfaat untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman wanita.

Berita Harian X