Khamis, 16 Januari 2020 | 2:05pm
MUSTAPAH ditemani isteri di KPJ Tawakkal, Jalan Pahang aktif melakukan pelbagai urusan meskipun derita kanser prostat. - NSTP/Saifullizan Tamadi
MUSTAPAH ditemani isteri di KPJ Tawakkal, Jalan Pahang aktif melakukan pelbagai urusan meskipun derita kanser prostat. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pusat jagaan hospital swasta, ibarat rumah kedua

KUALA LUMPUR: Enggan menyusahkan sesiapa warga emas, Mustapah Dorani, 80, memilih tinggal di pusat penjagaan di hospital swasta, sejak dua tahun lalu kerana mahu keperluan perubatannya terjaga yang mempunyai kepakaran dan kakitangan terlatih.

Mustapah yang menjalani pelbagai rawatan perubatan, termasuk penyakit prostat menjadikan Senior Living Care KPJ Tawakkal Healthcare, Jalan Pahang di sini, sebagai rumah keduanya kerana tidak lagi berdaya berjalan lantaran hidupnya hanya bergantung bantuan kerusi roda.

Bapa kepada tiga cahaya mata lelaki berkata, hidupnya juga sentiasa sibuk dengan menjadi bilik di pusat itu umpama pejabat bagi menjalankan pelbagai urusannya yang masih aktif sebagai pemaju perumahan, selain rutin hariannya dibantu kakitangan profesional pusat penjagaan terbabit.

Beliau yang juga menderita kanser prostat sebelum ini melalui prosedur menebuk saluran kencing berikutan pernah jatuh ketika berada di Melaka dua tahun lalu.

“Disebabkan komplikasi kesihatan dan kanser, keadaan saya tidak lagi berdaya hingga semakin hilang kudrat dan memikirkan pusat penjagaan ini tempat sesuai untuk didiami.

“Setiap luka di abdomen perlu dicuci berikutan itu saya selesa menggunakan khidmat penjagaan berbayar berbanding berulang alik dari Taman Jaya, Cheras untuk urusan mencuci luka serta keperluan kesihatan lain,” katanya.

Pusat penjagaan itu mempunyai 30 kakitangan disifatkan ramah, cekap dan terlatih membuatkan selesa menggunakan khidmat lebih dua tahun biarpun perlu membayar ribuan ringgit setiap bulan.

“Dengan kemudahan bilik seorang, isteri dapat datang menjenguk saya setiap hari dan sesiapa sahaja bebas menjenguk. Malah saya sendiri mengatur letak bilik sebagai mini pejabat kerana hingga sekarang saya masih bekerja sebagai pemaju projek pembinaan yang sedang dibina di Sentul.

“Tinggal di sini adalah keputusan saya kerana tiga anak saya sibuk dengan kerjaya masing-masing kerana ketiga-tiga mereka adalah juruterbang, jurutera dan pengurus yang banyak masa berada di luar negara, sementara isteri pula tidak tahan tidur dengan setiap masa dengan pendingin udara,” katanya.

Beliau juga mengadakan pelbagai aktiviti bersama pesakit lain yang turut ditempatkan di pusat berkenaan, selain menganggap mereka sebagai sebuah keluarga.

Mustapah selesa tinggal di di KPJ Tawakkal, Jalan Pahang. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Mustapah selesa tinggal di di KPJ Tawakkal, Jalan Pahang. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Katanya, ramai pesakit tinggal di sini dan semuanya gembira dijaga dengan baik dan rapi di samping menjalani rawatan secara sistematik.

Sementara itu, isteri Mustapah, Mohani Kasian, 74, tidak mengabaikan tanggungjawabnya melawat setiap hari dan sesekali tidur di bilik hospital.

“Sebelum ini, suami ada menggajikan jururawat peribadi, tetapi tidak lama, Dia tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang disifatkan tidak setimpal dengan bayaran. Jadi, dia memilih tinggal di pusat penjagaan supaya keperluan perubatan terjaga,” katanya.

Info

Pusat penjagaan 24 jam

• Mempunyai pilihan penjagaan rendah, sederhana dan tinggi

• Mempunyai penjagaan harian, sementara dan tempoh panjang.

• Dilengkapi kemudahan riadah, lawatan doktor berkala.

• Rawatan terapi rehabilitasi.

Berita Harian X