Khamis, 23 Januari 2020 | 12:34pm
Lilis Surianty bersama penduduk Al-Fatah selepas majlis pelancaran projek air telaga di Al-Fatah 1, Karari Locality, Omdurman tahun lalu.
Lilis Surianty bersama penduduk Al-Fatah selepas majlis pelancaran projek air telaga di Al-Fatah 1, Karari Locality, Omdurman tahun lalu.

Misi besar Perwakilan Khartoum

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) Malaysia di Khartoum, Sudan berhasrat meningkatkan hubungan antarabangsa bagi kedua-dua negara itu, termasuk menjayakan hal berkaitan isu kewanitaan.

Pengerusi Perwakilannya, Lilis Surianty Mior Aziz, berkata pelbagai perkara diharap mempereratkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan nilai perdagangan kedua-dua negara yang ketika ini sangat terhad, iaitu RM259.5 juta atau AS$64 juta.

Bagi menyokong hasrat itu, program Bazar Malaysia, Bazar Ramadan, Minggu Malaysia, projek air telaga, misi bantuan banjir dan sumbangan amal serta pemberian al-Quran bagi rumah tahfiz di negara itu antara aktiviti utama dirancang tahun ini.

“Ketika ini, Sudan di bawah pemerintahan kerajaan baharu (100 hari memerintah), kita berharap ia berhasil membawakan lebih banyak program, berbanding 15 aktiviti Perwakilan Khartoum dijayakan sejak September 2018.

“Aktiviti itu membabitkan seni kebudayaan, keagamaan, kebajikan, keusahawanan, sukan, lawatan dan riadah.

Perwakilan memberi sumbangan kepada pelajar tahfiz di Khartoum.
Perwakilan memberi sumbangan kepada pelajar tahfiz di Khartoum.

“Sebenarnya, peranan wanita di luar negara pada abad ke-21 adalah relevan dan perlu diiktiraf berikutan persatuan mempunyai peranan penting mendokong aktiviti Kedutaan Besar Malaysia,” katanya.

Mengulas peranan wanita, Lilis Surianty berkata, kredibiliti golongan hawa dilihat menonjol menerusi peranan pegawai diplomatik yang semakin besar dan kritikal dalam menangani kes konsular seperti kematian, kecederaan, mangsa pemerdagangan manusia dan lain-lain membabitkan pelancong dari Malaysia.

“Dalam aspek lain, rakyat Malaysia berpeluang bermastautin di luar negara juga perlu memainkan peranan berikutan kedutaan mempunyai pegawai terhad berbanding bilangan rakyat mengembara ke seluruh dunia.

“Justeru, menjadi tanggungjawab warga Malaysia yang mahu melancong supaya mengambil tahu maklumat dan mempersiapkan diri seperti membeli insuran perjalanan bersesuaian dan mengetahui perkhidmatan yang boleh dibantu oleh kedutaan dan perkara tidak boleh dilakukan,” katanya.

Lilis Surianty berkata, meskipun persatuannya hanya mempunyai tiga ahli, banyak aktiviti dilaksanakan sekali gus membolehkan pegawai bergiat aktif dan menyesuaikan diri.

“Justeru, aktiviti berpersatuan ini penting kepada kestabilan mental dan fizikal dalam membina sahsiah diri. Dari aspek lain, ikatan silaturahim dapat dipereratkan dalam kalangan ahli, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Sudan.

“Penganjuran aktiviti dan kekerapan pertemuan secara langsung dapat membantu ahli baharu menyesuaikan diri di penempatan serta mengelakkan mereka daripada tertekan hingga memberi kesan kepada keluarga,” katanya.

Dr Muna (dua dari kanan) hadir melawat bazar amal tahunan di hotel Al-Salam Rotana, Khartoum.
Dr Muna (dua dari kanan) hadir melawat bazar amal tahunan di hotel Al-Salam Rotana, Khartoum.

Katanya, semua program itu dijayakan dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

Peranan digalasnya sebagai pengerusi membuka peluang kepada Lilis Surianty apabila beliau dijemput dan berjumpa bagi sesi dailog dengan isteri Perdana Menteri Sudan, Dr Muna Abdalla.

“Saya bukan hanya isteri dan ibu, tetapi bertanggungjawab menyampaikan maklumat terkini kepada ahli, juga menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, berdikari dan proaktif dalam merealisasikan semua yang dipertanggungjawab ketika berada di penempatan.

“Disiplin dan pengurusan masa kriteria penting dan wanita tidak boleh hanya dilihat kedudukannya di dapur sahaja kerana ia sudah tidak relevan dan boleh diguna pakai,” katanya.

Katanya, ketika krisis politik di Sudan pada April hingga Ogos lalu, Rumah Malaysia dijadikan tempat berlindung (safe haven) bagi 109 rakyat Malaysia, termasuk 99 pelajar dalam tempoh lebih daripada sebulan.

“Ketika situasi kecemasan, semua ahli Perwakilan dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan dari segi kesihatan, kebersihan dan makanan kepada semua berlindung, selain menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Kecemasan.

“Cabaran getir dihadapi ketika itu terputusnya hubungan dengan dunia luar apabila talian internet dipotong selama 40 hari.

“Di samping itu, menjadi tugas Perwakilan memantau dan membantu pelajar dijangkiti malaria, buah pinggang, jangkitan kaki dan gastrik dalam mendapatkan bekalan ubat terhad dengan pergerakan terbatas,” katanya.

Perwakilan bersama Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil ketika meninjau industri kulit di sebuah kilang di Sudan.
Perwakilan bersama Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil ketika meninjau industri kulit di sebuah kilang di Sudan.

Pada ada masa itu, kebanyakan kedutaan asing seperti di Eropah, Asia dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar semua kakitangan non-essential, termasuk keluarga ke negara asal atau negara ketiga.

“Hanya selepas Transitional Military Council (TMC) dan Forces of Freedom and Change (FFC) menandatangani persetujuan perlembagaan pada 17 Ogos lalu, kebanyakan kakitangan dan keluarga dibenarkan balik ke Sudan.

“Pada masa itu, semua isteri dan keluarga pegawai dan kakitangan kedutaan mengambil keputusan terus tinggal di Sudan untuk menyokong Kedutaan Besar Malaysia,” katanya.

Berita Harian X