Jumaat, 10 April 2020 | 12:21pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Aduan keganasan rumah tangga meningkat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerima sebanyak 14 peratus peningkatan bilangan panggilan dan aduan menerusi WhatsApp berhubung kes keganasan rumah tangga membabitkan wanita.

Pertambahan aduan itu berikutan mangsa dan pelaku mempunyai lebih banyak masa berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Advokasi dan Komunikasi WAO, Tan Heang Lee, berkata data yang diterima dari 1 hingga 17 Mac menunjukkan secara purata harian, pihaknya menerima kira-kira 10.5 panggilan dan WhatsApp setiap hari.

“Bagaimanapun, data dari tempoh 18 hingga 31 Mac ketika pelaksanaan Fasa 1 PKP, kami menerima purata 12 panggilan dan WhatsApp sehari.

“Ini bermakna secara keseluruhan, panggilan dan WhatsApp kepada Talian Bantuan WAO meningkat sebanyak 14 peratus sepanjang PKP dilaksanakan yang membabitkan aduan dan pertanyaan daripada pemanggil wanita,” katanya kepada BH Online.

Jika dilihat senario sama berlaku pada peringkat global, termasuk Perancis yang melaksanakan perintah berkurang di negaranya.

Heang Lee berkata, peningkatan kes itu disebabkan ketidaktentuan pandemik penyakit sedang negara tempuhi, iaitu kawalan pergerakan, kebimbangan kesihatan dan kewangan memberi kesan terhadap kemahuan untuk mengekalkan kuasa serta mengawal seseorang.

“Keganasan rumah tangga adalah berasaskan kuasa dan kawalan dan faktor ini meningkatkan risiko keganasan rumah tangga.

“Berikutan masih dalam tempoh PKP ini, mangsa akan terkurung bersama pendera dan menyukarkan mereka untuk cuba mendapatkan bantuan disebabkan pergerakan dan gerak-geri diawasi sepanjang masa.

“Begitu juga dengan mangsa yang tidak dapat bekerja sepanjang PKP pula, mereka juga mungkin terpaksa bergantung dari segi kewangan daripada si pendera,” katanya.

Beliau berkata, krisis itu turut memberi kesan kepada wanita yang berjaya keluar daripada belenggu keganasan rumah tangga.

“Daripada 20 bekas penghuni rumah perlindungan WAO, 30 peratus tidak dapat bekerja disebabkan PKP, 25 peratus masih mencari kerja, manakala 5 peratus dipotong gaji disebabkan PKP.

“Usaha membina kehidupan semula selepas penderaan adalah amat mencabar dalam keadaan biasa, apatah lagi dalam keadaan pandemik, di samping kewangan,” katanya.

Beliau berkata, keganasan rumah tangga adalah berasaskan ketidakseimbangan kuasa antara pasangan dan keinginan pendera untuk mengawal mangsa.

“Dalam usaha menangani keganasan rumah tangga, tiada sesiapa berhak melakukan keganasan terhadap seseorang, tiada sebarang alasan untuk penderaan dan pasangan perlulah saling menghormati.

Beliau berkata, wanita yang menjadi mangsa boleh menghubungi Talian Bantuan WAO di 03-7956 3488 atau menghantar WhatsApp kepada 018 988 8058.

“Talian Bantuan WAO beroperasi 24 jam sepanjang PKP. Anda juga boleh hubungi Talian Nur di 15999. Jika anda berada dalam kecemasan, hubungi 999 atau pergi ke balai polis berdekatan.

“Memandangkan risiko keganasan rumah tangga meningkat ketika PKP, jiran perlu sentiasa peka. Jika kenalan anda mengalami keganasan rumah tangga, kongsi talian bantuan WAO dengan mereka dan nasihat mereka supaya menghubungi WAO.

“Jika anda mendengar jiran bergaduh dan mengesyaki sebarang keganasan rumah tangga berlaku, tekan loceng di rumah mereka. Ini akan menghantar mesej bahawa jiran tetangga sedang memerhati mereka,” katanya.

Senario sama sahaja di luar negara. Jika dilihat di United Kingdom (UK), polis di negara terbabit menerima peningkatan 32 peratus aduan berkaitan keganasan rumah tangga dengan kes paling tinggi dilaporkan di Paris, iaitu 36 peratus panggilan aduan.

Jumlah terkumpul aduan pula sebanyak 225,000 kes yang mana Perancis mengumumkan perintah berkurung selama 15 hari bermula 17 Mac, susulan penularan COVID-19.

Berita Harian X