Isnin, 18 September 2017 | 5:08pm

Tutorial video ganti 'cikgu' ajar solekan

KUALA LUMPUR: Tutorial solekan di laman sosial khususnya facebook, Youtube dan Instagram menjadi platform baharu pada ramai jurusolek muda mengajar pelayar internet teknik tata rias wajah.

Tutorial solekan ini kerap dikunjungi pelayar laman sosial untuk mempelajari kaedah mudah bersolek tanpa sebarang bayaran.

Ia membantu jurusolek terbabit meraih jumlah pengikut yang tinggi apabila sesi tutorial terbabit dikongsi dengan pelayar lain.

Bagi jurusolek profesional, Aisya Zulaikha Has Tuah yang sudah lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang itu dan mempunyai 100,000 pengikut Facebook melihat aliran tutorial solekan di laman sosial sejajar dengan kepesatan dunia siber.


JURUSOLEK profesional, Aisya Zulaikha (kiri) bersama model. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Beliau bersiaran langsung di Facebook, jam 5 petang dan selepas jam 9 malam untuk mengajar tutorial mekap.

"Saya berpeluang berkongsi panduan dan kemahiran solekan dengan pengikut dan lebih menarik jika ramai yang berkongsi dengan rakan lain.

Jurusolek perlu lebih kreatif memaut perhatian ramai dengan mengadakan peraduan untuk menambah pengikut ketika siaran langsung supaya ada interaksi dan aktiviti sepanjang tutorial berlangsung.

"Dahulu jurusolek dapat pelanggan datang di rumah atau butik, dengan laman sosial ia menjadi lebih kreatif dan berkesan untuk tatapan semua pelayar," katanya.

Lambakan jurusolek profesional dengan ribuan pengikut juga menjadi penanda aras kerjaya jurusolek bukan lagi picisan.

"Sebelum ini mungkin ada memperlekeh kerjaya jurusolek, tetapi dengan kemajuan dibawa dalam profesion ini, saya melihat ia satu kebangkitan dalam landskap kerjaya ini yang dimonopoli wanita daripada pelbagai latar belakang.

"Sesiapa sahaja ada bakat boleh menggunakan medium ini untuk menonjolkan diri dan menjadikan ia sebagai sumber rezeki," katanya.

Jurusolek artis, Mira Amira Mohd Zaiton, 22, berkata beliau sudah lima tahun menceburi bidang itu secara sepenuh masa yang dimulakan sejak berusia 18 tahun.


MIRA Amira menyolek model. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau tidak mempunyai kelulusan formal dalam bidang solekan, sebaliknya bermula belajar bersolek menerusi laman sosial sahaja dan kemudian mengembangkan minat berkenaan sehingga mahir.

Beliau mampu meraih pendapatan empat angka setiap bulan apabila menerima banyak projek menyolekkan pengantin untuk majlis perkahwinan, peragaan fesyen dan penggambaran iklan.

"Seperti dunia fesyen yang pantas berkembang, tempias dunia solekan juga sama. Kita perlu peka mengikuti aliran dan teknik solekan yang bagaimana menjadi ikutan dan sesetengahnya jadi viral.

"Jurusolek tidak boleh cepat berpuas hati dengan kemahiran dimiliki, tetapi perlu sentiasa mencuba teknik baharu yang diperkenalkan supaya mereka tidak ketinggalan," katanya.

Mira Amira mengakui, Facebook dan YouTube adalah platform terbaik individu belajar bersolek kerana ia bukan mudah dipelajari dan diikuti.

Katanya, mempelajari teknik solekan menerusi internet yang boleh didapati secara percuma dan boleh diikuti pada bila-bila masa, justeru sekarang ramai jurusolek berkongsi kaedah tata rias wajah untuk pengikutnya.

"Saya suka tengok orang cantik dan minat bidang solekan. Justeru, dahulu apabila ada tutorial solekan di internet, saya belajar.

"Saya dapati tutorial solekan mudah diikuti dan dipelajari. Malah, apabila kita sudah berjinak dengan dunia solekan, sedikit demi sedikit kita membina kenalan dan jaringan dalam bidang ini," katanya.


TEKNIK solekan Indonesian Doll kini jadi viral. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PERALATAN mekap digunakan jurusolek. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau berkata, keyakinan orang ramai terhadap khidmat ditawarkan, apatah melihatkan usianya yang masih muda, Mira Amira memberitahu, beliau mempraktikkan berkongsi semua hasil kerjanya di media sosial.

Apabila orang melihat hasil dan komen yang positif, secara tidak langsung pelanggan baharu yakin bakat dimiliki.

"Peranan media sosial cukup besar dalam mempromosi bakat kita miliki, apatah lagi dalam industri kreatif seperti solekan.

"Diri kita dan hasil solekan adalah produk seorang jurusolek. Justeru, gunakan kemudahan tersedia di medan sosial sebaik mungkin dalam usaha menjana pendapatan lumayan," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X