Khamis, 24 Januari 2019 | 8:48am
Sohella (berdiri dua dari kiri) bersama-sama peserta program Kerjaya Mobile Facial Spa di Muar, baru-baru ini. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

'Mobile Facial Spa' bantu wanita jana pendapatan

MUAR: Mudah, fleksibel dan mampu menjana pendapatan lumayan antara program keusahawanan anjuran Wanita Keadilan Muar, bagi meningkatkan ekonomi rumah tangga golongan berkenaan di kawasan Parlimen terbabit.

Justeru, Wanita Keadilan Muar dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Mahadini Kausar Beauty (MK Beauty), menganjurkan Program Kerjaya Mobile Facial Spa bagi memberi pendedahan kepada golongan wanita, mengenai perniagaan yang memberi pendapatan tambahan.

Ketua Wanita Keadilan Muar, Datin Sohella Mahmood, berkata Program Kerjaya Mobile Facial Spa ini antara program dilaksanakan pihaknya, untuk membantu wanita di kawasan ini sama ada berkerjaya atau suri rumah.

Katanya, ia bertujuan merangsang wanita di kawasan ini menceburi bidang keusahawanan, dengan sasaran utama meningkatkan pendapatan dan memperkasa ekonomi rumah tangga.

“Bagi tujuan itu, program keusahawanan yang boleh diceburi oleh mereka berkaitan bidang spa bergerak.

“Ia dilihat mempunyai potensi besar untuk diusahakan oleh wanita di sini.

Lebih fleksibel

“Peluang keusahawan ini juga dilihat lebih fleksibel kerana ia tidak mengganggu masa wanita, yang mungkin terikat dengan kerjaya atau urusan keluarga lain. Perniagaan jenis ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, bergantung kepada tempahan pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Program Kerjaya Mobile Facial Spa di Kompleks Peladang Sungai Sudah, di sini.

Yang turut hadir, Pengasas MK Beauty, Normala Kahar dan Pengasas Bersama MK Beauty, Zulhilmi Ahmad.

Sohella berkata, peluang menceburi bidang keusahawanan ini terbuka kepada wanita yang mempunyai minat, rajin dan mahu memajukan diri.

“Kita berharap program ini membolehkan mereka memajukan diri tanpa bergantung kepada pendapatan suami.

“Wanita Keadilan Muar hanya sebagai pembuka jalan dan akan membantu peserta memajukan diri.

“Selain spa bergerak, kami juga terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin membantu kami melaksanakan pelbagai program keusahawanan di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Zulhilmi berkata, pihaknya beruntung kerana dapat berkolaborasi menjayakan program ini, yang secara tidak langsung dapat memperkasa ekonomi rumah tangga wanita di kawasan ini.

“Objektif kami memberi fokus kepada wanita, sama ada bekerja atau tidak dengan membantu menambah pendapatan mereka.

“Bidang ini masih baharu dan kebanyakan perniagaan boleh dilaksanakan secara dalam talian.

“Selain itu, program keusahawanan ini mampu menjana pendapatan lumayan, iaitu sekitar RM400 sehari bergantung kepada tempahan pelanggan dan paling penting perniagaan ini fleksibel dan mudah.

“Kami di MK Beauty akan memberi latihan kepada peserta dan paling penting peserta juga akan menerima sijil latihan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai sistem pemantauan bagi memastikan peserta yang menyertai program ini dilatih sehingga berjaya memulakan perniagaan sendiri.

Berita Harian X