Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:06pm
JAKET emas yang dibuka pada harga permulaan RM400,000 untuk bidaan antara barangan yang mencuri perhatian ramai. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Jaket emas RM400,000 ilham pereka tempatan

KUALA LUMPUR: Jaket emas yang dibuka pada harga permulaan RM400,000 untuk bidaan antara barangan yang mencuri perhatian ramai pada Festival Barangan Kemas Antarabangsa, Malaysia 2019 (MIJF2019).

Festival julung kali diadakan di negara ini berlangsung di Dewan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga Isnin ini, memperagakan barangan daripada 100 syarikat barangan kemas antarabangsa mengambil bahagian.


Isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson merasmikan Festival Barangan Kemas Antarabangsa, Malaysia 2019 (MIJF2019) di Pusat konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad


Cik Puan Sofie Louise Johansson melihat antara barangan kemas yang dipamerkan di Festival Barangan Kemas Antarabangsa, Malaysia 2019 (MIJF2019) di Pusat konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Ketua Jualan dan Pemasaran, Global Gemological Laboratory Sdn Bhd, Khaw Jian Luen, berkata jaket seberat 1.3 kilogram (KG) itu menggunakan emas 21 karat.

"Jaket diilhamkan 10 pereka barangan kemas profesional warga tempatan dengan menampilkan seni rekaan kreatif. Selain itu, loket zamrud 126 karat dibawa dari Russia antara barangan kemas paling mahal dibuka untuk dibida bermula harga RM650,000.

"Semua 62 barangan kemas dan 10 lukisan antara yang dijual pada acara bidaan yang akan berlangsung pada Ahad ini bermula jam 2 petang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Pembukaan MIJF yang disempurnakan isteri Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Muhammad Faiz Putra, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Barangan kemas yang akan dibida menampilkan ciri rekaan klasik, moden dan kontemporari seni dari seluruh dunia seperti beberapa negara dari benua Eropah termasuk Itali, Indonesia, Filipina, Vietnam, China, Thailand, Zambia dan Madagascar serta Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif, Elite Expo Sdn. Bhd., Johnson Lim (kiri) menerangkan kepada Isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson antara barangan kemas yang dipamerkan di Pusat konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Sementara itu, lebih 100 lot jualan dan pameran pelbagai negara menjual logam berharga dan batu permata iaitu emas, perak, platinum, berlian dan mutiara, dibuka bermula jam 11 pagi hingga 7 malam.

609 dibaca
Berita Harian X