Sabtu, 24 Ogos 2019 | 2:00pm
Pemilik Studio Rimba Rimbun, Anis Rozalina Ramli menunjukkan sabun buatan sendiri yang dihasilkan di Janda Baik, Pahang. - Foto Salhani Ibrahim

Adun sabun ikut kesesuaian jenis kulit

Kebanyakan produk mandian dibeli mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan alahan kulit seperti kering dan gatal.

Bukan itu saja, kandungan kimia di dalamnya boleh mengganggu sistem badan terutama hormon reproduktif selain risiko sesetengah kanser.

Antaranya parabens yang menyerupai estrogen. Sebaik disapu pada kulit, ia menyerap ke dalam salur darah dan tubuh akan menunjukkan reaksi kerana menganggap terdapat hormon estrogen berlebihan seperti menurunkan jisim otot dan meningkatkan deposit lemak.

Bagi mengelak daripada kesan sampingan akibat menggunakan sabun mandi yang tidak diketahui kandungannya, sebaiknya cuba buat sabun mandi sendiri.

Pemilik Studio Pohon Rimbun, Anis Rozalina Ramli, menunjukkan kaedah mudah membuat sabun sendiri di rumah.

“Bahan untuk membuat sabun adalah selamat dan berasaskan tumbuhan seperti minyak sayur-sayuran seperti zaitun dan minyak kelapa yang digunakan sejak berabad dulu terutama minyak zaitun yang kaya dengan vitamin E, selain berfungsi sebagai antioksida.

“Minyak kelapa bukan saja melembapkan kulit tetapi melegakan masalah kulit seperti alahan atau radang selain digunakan untuk menghasilkan buih,” katanya.


Sabun dihiasi barang permainan menarik perhatian kanak-kanak. - Foto Salhani Ibrahim

Guna pewangi selamat

Anis menggunakan pewangi yang selamat untuk kulit iaitu pati minyak tumbuh-tumbuhan semula jadi yang memiliki bahan pemulih fizikal dan emosi.

Kebanyakan sabun dihasilkan juga tidak menggunakan pewarna tetapi sesetengahnya diwarnakan menggunakan pewarna daripada bunga, buah beri, teh dan rempah atau pigmen yang selamat untuk kulit.

Katanya, terdapat dua kaedah membuat sabun iaitu ‘melt and pour’ yang mudah untuk mereka yang hendak belajar membuat sabun dan ‘cold process’ yang agak sukar kerana banyak langkah atau cara membuatnya.

“Bagi asas, gunakan sabun Three Butter Soap yang diperbuat daripada mentega koko, shea dan mangga. Mentega menghasilkan minyak jenis beku sesuai dibuat sabun.

“Asas lain menggunakan sabun kristal diperbuat daripada minyak kelapa sawit dan kelapa iaitu sabun asas paling murah,” katanya.

Bagi menambah tekstur sabun, ditambah biji popi yang berfungsi sebagai penyental kulit ketika mandi.

Langkah membuat sabun:


Potong kiub sabun asas three butter soap dan cairkan dengan kaedah rebusan berganda. - Foto Salhani Ibrahim

Masukkan pewarna hijau dan jingga. Masukkan pewarna hijau dan jingga. - Foto Salhani Ibrahim

Tuangkan ke dalam acuan dan biarkan kering selama sejam sebelum dikeluarkan. - Foto Salhani Ibrahim

449 dibaca
Berita Harian X