Isnin, 15 Oktober 2018 | 9:00am
KAWAL nafsu makan untuk dapatkan berat badan ideal dan elak obesiti. Foto hiasan

Bahaya kawal selera makan

Oleh Osman Lisut

[email protected]

Kesukaran melawan nafsu makan, tidak berdisiplin melakukan riadah antara punca sebahagian besar masyarakat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Pengguna cenderung mengambil makanan tenaga melebihi keperluan menyebabkan bacaan indeks

jisim badan (BMI) mencacatkan bacaan melebihi 30.

Terlebih mengambil kalori menyebabkannya bertukar menjadi lemak yang memudaratkan kesihatan termasuk risiko penyakit berkaitan kardiovaskular, kencing manis, darah tinggi.

Setiap individu mempunyai keperluan kalori berbeza, bergantung kepada jantina, umur, berat badan semasa dan aktiviti fizikal seharian.

Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Rahman Omar, berkata dianggarkan hampir 50 peratus rakyat berhadapan masalah kesihatan serius.

Katanya, kadar tidak aktif dalam kalangan masyarakat tempatan dianggarkan sekitar 33.4 peratus.

Beliau berkata, laporan mendapati, enam daripada 10 rakyat menghadapi masalah berat badan berlebihan. Obesiti bukan sahaja masalah golongan berpendapatan tinggi, malah individu berpendapatan rendah juga tidak terkecuali.

“Kajian menunjukkan masalah berat badan bermula seawal usia prasekolah. Di Malaysia, rata-rata penduduk mempunyai akses kepada makanan sepanjang hari.

“Operasi restoran 24 jam berhampiran dengan jarak setiap 100-200 meter radius dari tempat tinggal menyumbang kepada masalah berkenaan,” katanya.


GAYA hidup sihat dan kerap beriadah membantu kualiti kehidupan sempurna dan bebas penyakit

Dr Mohd Rahman berkata, faktor luaran itu adalah sebahagian daripada penyebab, jika individu mempunyai tahap disiplin yang tinggi, mereka lebih rasional dalam menjaga kesihatan tidak terpengaruh makan berlebihan.

Jenis makanan tinggi kalori antara digemari penduduk terutamanya nasi lemak, roti canai, mi goreng dan makanan segera atau makanan ringan, selain tabiat makan waktu malam penyumbang kepada masalah ini.

“Berdasarkan keperluan asas individu, kadar makanan tenaga diperlukan dalam julat 15-25 kcal/kg sehari. Lelaki memerlukan sebanyak 2,000-2,500 kcal, manakala wanita pula antara 1,500-2,000 kcal.

“Pengambilan gula berlebihan melalui air manis dan kuih menambah masalah ini, meskipun gula bukan punca utama tingginya kadar obesiti tetapi pengambilan berlebihan memudaratkan.

“Untuk mengurangkan berat, individu harus mengambil kalori kurang daripada 500 kcal/kg sehari untuk keperluan harian,” katanya.

Secara umum, mencegah obesiti mudah, tetapi pelaksanaannya sukar kerana terpaksa mengawal pengambilan kalori melalui pemakanan dan minuman. Selain meningkatkan penggunaan tenaga menerusi aktiviti fizikal.

Beriadah secara sederhana dengan konsisten penting bagi mengelakkan kecederaan badan. Disyorkan melakukan aktiviti sederhana sekitar 150 minit seminggu (sekurang-kurang lima kali selama 30 minit).

“Aktiviti itu boleh dilakukan di tempat kerja seperti naik turun tangga atau meletak kereta jauh dari pejabat dan berjalan ke tempat kerja,” katanya.

Tugas melahirkan masyarakat sihat ini memerlukan perhatian khusus pihak berkuasa, dasar sedia ada perlu diperhalusi.

Pendidikan kesihatan seawal prasekolah perlu diperkemas dengan mendidik generasi muda mengambil sajian berhemah selain menggalakkan mereka aktif beriadah.

“Sebagai contoh di Finland, kerajaan menetapkan garis panduan khusus corak pemakanan seimbang dan sihat. Pengeluar makanan perlu peka kepada kesihatan pengguna dengan mengurangkan penggunaan gula dan garam dalam sajian.

“Mereka menggalakkan penduduk mengambil sayur-sayuran, buah-buahan, bijiran dan ikan.

“Umum mengetahui sistem pendidikan di negara itu lebih maju, sukatan pelajaran menitik beratkan sajian sihat untuk hidup lebih cergas bagi mengelakkan penyakit bahaya,” katanya.

Info:

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2016

* Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi dalam kalangan 10 negara Asean iaitu 15.6 peratus

* Brunei (14.1 peratus)

* Thailand (10 peratus)

* Indonesia (6.9 peratus)

* Filipina (6.4 peratus)

* Singapura (6.1 peratus)
* Myanmar (5.8 peratus)

* Laos (5.3 peratus)

* Kemboja (3.9 peratus)

* Vietnam (2.1 peratus).

INFO

Obesiti penyebab utama penyakit antaranya

* Darah tinggi,

* Kencing manis

* Paras kolesterol tidak normal yang seterusnya punca strok

* Sakit jantung

* Kegagalan buah pinggang

* Kadar pengambilan gula sehari disyorkan 10 sudu teh (50 gram)
* Pengguna tempatan mengambil sekitar 25 sudu teh sehari.

* Sasaran penurunan berat badan antara 5-10 peratus setahun.

* Jika berat 100 kilogram, kadar penurunan 10kg dalam setahun atau satu kilogram untuk tempoh satu bulan

Berita Harian X