Sabtu, 10 November 2018 | 10:52am
ELAK kehamilan tanpa persediaan, hindari pengguguran tidak selamat. - Foto hiasan
ELAK kehamilan tanpa persediaan, hindari pengguguran tidak selamat. - Foto hiasan

Bincang perancang keluarga secara terbuka

PERBINCANGAN mengenai kesihatan reproduktif masih dianggap sesuatu yang sulit dan tidak boleh diperkatakan secara terbuka.

Lazim beranggapan topik sedemikian terlalu peribadi hingga menyebabkan individu bermasalah tidak bersedia berkongsi dengan pakar untuk kebaikan bersama.

Kesannya berlaku kekeliruan hingga membawa risiko kepada kesihatan bayi dan kehamilan tidak selamat.

Kurangnya perbincangan secara ilmiah juga menyebabkan ramai tidak mengetahui kaedah pencegahan kehamilan secara sihat.

Dianggarkan 830 wanita di seluruh dunia terutama di negara sedang membangun mati setiap hari atau 34 kematian setiap jam kesan komplikasi ketika mengandung dan saat kelahiran.

Risiko kematian

Ahli Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr John Teo, berkata penting bagi setiap wanita belajar dan memahami mengenai kontraseptif atau perancang keluarga secara berkesan.

AHLI Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr John Teo. - NSTP/Aziah Azmee
AHLI Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr John Teo. - NSTP/Aziah Azmee

Katanya, pendidikan bertujuan mengelak berlakunya pengguguran dan risiko kematian pada saat kelahiran, selain pengetahuan perlu dikongsi menerusi perbincangan terbuka dengan pakar.

Perbincangan turut mengambil kira faktor kelahiran tidak dirancang atau tidak diingini sehingga ada yang mengambil keputusan menggugurkan kandungan secara tidak selamat hingga menjejaskan keselamatan ibu.

Laporan Jabatan Perancangan dan Pusat Maklumat Kesihatan Kementerian pada 2016, melaporkan kematian dalam kalangan ibu hamil meningkat 29.1 bagi setiap 100,000 kelahiran (148 ibu daripada 508,203 kelahiran) berbanding 2012, hanya 25.6 setiap 100,000 kelahiran.

“Justeru, bagi mencapai matlamat pembangunan dan kelangsungan hidup, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan jumlah kematian ibu kurang daripada 70 untuk 100,000 kelahiran, menjelang 2030.

“Dianggarkan 29 peratus kematian ibu dapat dielakkan menerusi keperluan kontraseptif dan 13 peratus pula melalui akses pengguguran secara selamat,” katanya.

Kaedah cegah kehamilan

Beliau yang juga perunding Obstetrik dan Ginekologi, berkata tiada statistik tepat mengenai keguguran di negara ini, namun dianggarkan 14 peratus kehamilan berakhir dengan keguguran.

Sejak 20 tahun lalu, amalan kontraseptif di negara ini kekal pada tahap sama, dianggarkan 55 peratus wanita menggunakan semua kaedah manakala 35 peratus pula memilih prosedur rawatan moden.

Laporan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima pada 2014, mendapati secara purata 40 hingga 60 peratus orang muda mempunyai pengetahuan mengenai reproduktif asas.

Mengulas perancangan keluarga dan kesihatan seksual serta reproduktif, Dr Teo, berkata usaha mengetengahkan isu itu agak mencabar dan sukar kerana masih ramai wanita malu berbicara mengenai topik intim berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif.

“Pencapaian wanita di negara ini semakin maju dalam pelbagai sektor kerjaya.

“Mereka berperanan sebagai membuat keputusan merancang keluarga.

“Namun masing-masing tidak mendapat maklumat tepat memilih kaedah perancang keluarga terbaik untuk tujuan itu,” katanya.

APLIKASI ‘Ask Maya’ melalui telefon pintar pada pelancaran Chatbox ‘Ask Maya’. - NSTP/Aziah Azmee
APLIKASI ‘Ask Maya’ melalui telefon pintar pada pelancaran Chatbox ‘Ask Maya’. - NSTP/Aziah Azmee

Kongsi pengetahuan

Membantu memperkasakan wanita dalam membuat keputusan tepat untuk kesihatan seksual dan reproduktif syarikat farmaseutikal terkemuka, Bayer Co. (Malaysia) mengambil inisiatif memperkenalkan chatbot ‘Ask Maya’.

Pengarah Urusan Bayer, Jennifer Yong, berkata ‘Ask Maya’ bertujuan memperkasakan wanita dengan pengetahuan berkaitan amalan perancang keluarga yang sesuai dan selamat.

Penubuhan chatbot kata beliau, seiring teknologi moden membantu wanita mengakses maklumat secara cepat dan tepat.

“Kita mahu memperkasakan wanita bagi memastikan setiap kehamilan dikehendaki, selamat dan potensi setiap wanita dipenuhi menerusi kemudahan teknologi digital di hujung jari.

“Ask Maya’ menawarkan khidmat komunikasi interaksi positif bagi perancangan keluarga dalam konteks masa kini,” katanya.

Chatbot menyalurkan maklumat kaedah perancang keluarga secara tepat dengan mendidik cara penggunaan pil kontraseptif, kondom serta perantiperubatan yang berada di pasaran.

“Dilengkapi soalan lazim yang sering diajukan selain peringatan pengambilan pil dan kalendar serta menyarankan pengguna mendapatkan nasihat doktor,” katanya.

Berita Harian X