Sabtu, 24 November 2018 | 12:43pm

Pneumonia pembunuh utama kanak-kanak

Pemberian susu badan kepada bayi sebaik dilahirkan, penjagaan kebersihan dan pastikan bayi mendapat vaksin seperti disaran pakar antara pencegahan berkesan mengelak jangkitan pneumonia sekali gus menghindari kematian pada usia bawah lima tahun.

Pakar Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata pneumonia gangguan paru-paru serius, menyebabkan kantung udara (alveoli) dipenuhi cecair menyebabkan pesakit menderita sukar bernafas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pendidikan Masyarakat Immunise4Life (IFL) menambah, bakteria penyebab pneumonia memasuki aliran darah dan merebak ke seluruh badan dan menyebabkan organ gagal berfungsi.

“Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumonia menyebabkan 16 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun. Pada 2016, penyakit ini meragut nyawa seramai 880,000 kanak-kanak di seluruh dunia tahun ini.

“Bermula tahun ini juga, pneumonia menjadi punca kematian ketiga tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian pada forum Memerangi Pneumonia Dalam Kalangan Kanak-Kanak Di Malaysia: Apa Langkah Seterusnya? di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pencegahan semula jadi

Forum turut dihadiri Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pakar Kesihatan Awam yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Aminah Bee Mohd Kassim.

Katanya, inisiatif berkesan melindungi anak seusia lima tahun ke bawah daripada jangkitan penyakit yang membawa maut itu adalah dengan kaedah semula jadi.


PETALING JAYA 14 NOVEMBER 2018. From left, Chief Senior Assistant Director Family Health Development Division Ministry of Health, Dr Aminah Bee Mohd Kassim, Head of Paediatrics Hospital Kuala Lumpur, Dr Hishamshah Mohd Ibrahim and Technical Committee Chairman Immunise4Life Programme, Datuk Dr Zulkifli Ismail during media dialogue Combatting childhood pneumonia in Malaysia: What’s next in conjunction with World Pneumonia Day at Eastin Hotel. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Prosedur rawatan menjadi sukar

Sementara itu, Dr Hishamshah berkata, merawat pneumonia ke atas kanak-kanak seusia dua tahun menjadi kompleks.

“Penyakit melarat dengan cepat dan pesakit memerlukan oksigen dan drip intarvena untuk menghantar ubat antibiotik yang kuat. Mungkin juga pembedahan dilakukan untuk menyalirkan cecair keluar dari paru-paru.

“Jika berlaku kegagalan paru-paru, pakar perlu menyambungkan anak-anak kecil ini dengan mesin ventilator bagi memudahkan mereka bernafas,” katanya.

Sementara itu, Dr Aminah, berkata organisma yang menyebabkan pneumonia boleh merebak melalui titisan bawaan udara yang dihembus individu lain yang dijangkiti apabila mereka batuk dan bersin.

Menurutnya, kerajaan kini memberikan vaksin Hib, Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan DTaP secara percuma untuk bayi menerusi Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin ini memberikan perlindungan terhadap Haemophilus influenzae jenis b, campak dan pertusis (batuk kokol).

INFO: Penyakit Pneumonia

→ Sehingga Oktober lalu, sebanyak 142 (daripada 195) negara menawarkan vaksinasi pneumokukus percuma melalui program imunisasi di negara masing-masing. Lebih 115 negara sudah mengambil pilihan menyediakan PCV13 yang memberikan perlindungan terhadap 13 jenis bakteria pneumokokus ini.

→ PCV sesuai untuk kanak-kanak berusia dua bulan ke atas dan diberikan tiga hingga empat dos pada usia dua, empat, enam dan 12 hingga 15 bulan.

Berita Harian X