Sabtu, 15 Disember 2018 | 1:34pm

Rizab ovari merosot seawal usia 30-an

Kehadiran zuriat melengkapkan institusi perkahwinan, namun ada yang cepat menimang cahaya mata sebaik sahaja mendirikan rumah tangga, sebaliknya sesetengah sukar disebabkan pelbagai faktor.

Tahap kesuburan wanita menjadi pengukur terhadap cepat atau lambat. Jadi bagi yang sudah lama berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata, pasti menggusarkan.

Hakikatnya, wanita dilahirkan bersama dua juta ovum sepanjang hayat dan kuantiti sel telur untuk kehamilan, namun ia akan berkurangan mengikut pertambahan usia.

Kini dianggarkan ramai wanita berumur awal 30 tahun berhadapan masalah kesuburan sedangkan pada usia berkenaan secara fizikal mereka tidak sepatutnya berada pada situasi itu.

Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr Eeson Sinthamony, berkata walaupun kadar penyusutan kesuburan berbeza mengikut individu, namun wanita mengalami kemerosotan rizab ovari.

Katanya, ‘rizab ovari’ merujuk kepada bilangan telur yang ada di dalam badan mereka yang boleh disenyawakan dan dikenali sebagai ‘kiraan telur’.

“Setiap wanita dikurniakan kira-kira dua juta telur meliputi semua telur yang ada sepanjang hayat mereka, selepas peningkatan ketara ketika usia baligh.

“Angka itu merosot mengikut perjalanan usia kerana setiap wanita kehilangan jumlah telur setiap bulan. Selepas kedatangan haid, telur keluar menyebabkan kuantitinya semakin mengecil.

“Potensi wanita untuk mengandung bagaimanapun berakhir 10 tahun lebih awal sebelum mencapai menopaus. Kadar ini konsisten tanpa mengira usia.

“Kira-kira 10 peratus wanita akan mengalami penurunan fungsi ovari lebih awal hingga pada pertengahan usia 30-an,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kaitan sistem pembiakan

Beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) mendapati usia minimum wanita yang melahirkan anak pertama meningkat 27.7 tahun pada 2016 berbanding 26.6 tahun, pada tahun sebelumnya.

Dianggarkan 50 juta pasangan di seluruh dunia mengalami masalah kemandulan. Kira-kira 15 peratus wanita pada usia berkenaan boleh melahirkan anak pula mengalami masalah kesuburan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan masalah kesuburan adalah penyakit kemandulan berkaitan sistem pembiakan.

Penyakit ini ditakrifkan sebagai kegagalan untuk hamil selepas lebih 12 bulan melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.

Senario ini menunjukkan satu daripada 10 pasangan mengalami masalah berkenaan.

Kemandulan sekunder merujuk kepada wanita yang sudah mempunyai anak berbanding kemandulan utama membabitkan wanita belum pernah melahirkan anak.

Fahami bacaan badan

Dr Eeson berkata, wanita muda perlu faham ada banyak cara merancang masa depan dan seharusnya mengetahui keadaan badannya sekarang.

“Wanita yang mahu mendapatkan anak perlu merancang lebih awal dan memahami bacaan badan dengan baik,” katanya.

Bagi membantu wanita mendapatkan anak pada usia lewat, ada ujian untuk mengetahui tahap kesuburan iaitu menerusi Hormon Anti-Müllerian (AMH) dan prosedur pembekuan telur.

Katanya, ujian AMH dapat menunjukkan tahap kesuburan wanita. Paras darah digunakan sebagai penanda rizab ovari wanita (baki bekalan telur yang ada untuk persenyawaan).

Ujian itu berfungsi mengenal pasti bilangan tahun kesuburan seseorang untuk membolehkan doktor memberi nasihat bagi merancang kehamilan.

AMH mampu mengukur dan memberikan wanita petunjuk mengenai baki telur dan kesuburan dan pada masa sama memberikan gambaran mengenai masa paling sesuai mereka mendapatkan anak.

“Penilaian ini menjadi faktor penting wanita merancang hamil atau mengetahui sama ada mengalami masalah kesuburan.

“Sebagai contoh, jika wanita mahu menjadi ibu pada masa depan, ujian AMH menunjukkan kiraan telur pada julat rendah. Wanita berkenaan boleh mempertimbangkan membekukan telur supaya masih mempunyai pilihan untuk disenyawakan kemudian,” katanya.

Sebelum adanya AMH, ujian kemandulan wanita konvensional hanya membabitkan prosedur iaitu ultrabunyi trans-vaginal bersifat invasif.

Namun, Dr Eeson berkata, ujian AMH jauh lebih mudah, mengurangkan ketidakselesaan, masa menunggu dan kekeliruan kerana boleh dilakukan pada bila-bila masa.

INFO:

*27.7 tahun

Purata wanita di Malaysia menjadi ibu pada usia lewat :

* 10 peratus

Wanita pada usia awal 30-an mempunyai tahap kesuburan yang rendah

* 2 juta

kiraan telur setiap wanita dilahirkan.

* angka telur semakin merosot sepanjang hayat

* 50 juta

pasangan di seluruh dunia mengalami kemandulan

* 15 peratus

wanita usia muda alami masalah kesuburan

Berita Harian X