Sabtu, 29 Disember 2018 | 1:54pm
Kira-kira lima peratus kanak-kanak mengalami bronkiolitis sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. - Foto hiasan

Batuk berterusan petanda bronkitis

BATUK yang sukar diubati dan berterusan lebih tiga bulan adalah antara petanda utama paru-paru mengalami radang akibat jangkitan virus.

Dikenali sebagai bronkitis atau flu dada, penyakit berlaku kepada semua peringkat usia dan antara yang kerap ditemui dalam kalangan kanak-kanak dewasa.

Kira-kira lima peratus bronkitis membabitkan orang dewasa, manakala enam peratus kanak-kanak mengalaminya sekurang-kurangnya satu episod dalam setahun.

Pakar Pediatrik Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr Diana Osman, berkata bronkitis berlaku apabila tiub bronkial yang membawa udara di dalam paru-paru mengalami jangkitan dan bengkak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pesakit mengalami batuk berterusan dan mengeluarkan kahak dan boleh menjadi akut (sesuatu yang baharu berlaku) dan kronik.


Pakar Pediatrik Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr Diana Osman. - NSTP/Owee Ah Chun

“Bronkitis kronik menyebabkan pesakit mengalami batuk berterusan sehingga lebih tiga bulan yang sukar diubati walaupun sudah menggunakan pelbagai cara,” katanya.

Sekiranya keadaan berterusan, boleh menyebabkan kerosakan kekal pada bahagian paru-paru dan lebih teruk menular kepada penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) khususnya dalam kalangan warga emas dan perokok.

Virus mudah merebak

Selain batuk berterusan, gejala lain mengeluarkan kahak sama ada berwarna jernih, putih, kuning dan hijau malah ada yang mengeluarkan darah.

Pesakit mengalami keletihan, rasa tidak sedap badan, kadangkala berasa seperti demam, sukar bernafas dan dada terasa ketat disusuli dengan nafas berbunyi.

“Jangkitan berlangsung beberapa hari hingga mencecah 10 hari dan berterusan sehingga tiga bulan manakala batuk boleh berlaku sehingga beberapa minggu tanpa sebarang gejala.

“Bronkitis berlaku akibat virus yang tersebar di udara menerusi pesakit batuk atau sentuhan dengan pesakit,” katanya.

Apabila pesakit batuk dan tidak menutup mulut, virus tersebar ke semua tempat, lantai, meja atau kerusi di sekitarnya.

Sekiranya kawasan tercemar dengan virus berkenaan dibiarkan tanpa dibersihkan dan disentuh individu lain, virus berkenaan menjangkiti individu terbabit. Punca lain berlaku bronkitis adalah asap rokok, asap dari kilang atau industri.

Ancam kanak-kanak

Justeru, gemar melepak di kedai makan yang dipenuhi perokok, individu berisiko mendapatkan bronkitis juga adalah tinggi.

Bagi mencegah jangkitan, pastikan anda mengamalkan membasuh tangan, membersihkan dan mengelap permainan anak selain mengambil vaksin untuk mencegahnya.

“Satu lagi penyakit yang boleh mengancam kanak-kanak adalah bronkilitis yang mana gejalanya sama seperti bronkitis.

“Bronkilitis berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil apabila radang di bahagian bronkio iaitu laluan udara kecil di dalam paru-paru,” katanya.

Kanak-kanak biasanya mengalami batuk, batuk kering iaitu tanpa kahak, batuk berkahak dan nafas berbunyi.

Mereka juga mengalami demam, hidung tersumbat dan lebih serius apabila sukar bernafas yang mana, boleh dilihat menerusi tulang rusuknya yang kembang dan kempis ketika bernafas.

Bronkilitis menyebabkan kanak-kanak hilang selera makan dan menjadi dehidrasi.

Dr Diana menasihatkan ibu bapa supaya tidak mementingkan diri dengan menghantar anak ke taska apabila mengalami semua gejala disebutkan kerana ia boleh menjangkiti kanak-kanak lain.

Info

Rawatan bronkitis:

- Oksigen

- Ubat parasetamol sekiranya demam

- Menyedut kahak

Faktor risiko:

- Terdedah kepada udara tercemar seperti asap rokok, asap industri, pencemaran alam

- Dilahirkan pramatang

- Tidak mengambil vaksin

Punca Bronkitis:

- Virus yang menyebabkan demam atau selsema

- Kadang kala disebabkan bakteria

Punca Bronkiolitis:

- Jangkitan viral disebabkan respiratory syncytial virus (RSV).

- Virus lain:

- Rhinovirus (virus biasa demam selsema), influenza (flu) adenovirus dan coronavirus

Berita Harian X