Selasa, 29 Januari 2019 | 10:43am
Harish Kumar Setiausaha MASA.

Pesakit kronik akui penggunaan marijuana lebih berkesan

Kuala Lumpur: Kira-kira 29.3 peratus daripada 1,367 penghidap pelbagai penyakit kronik mendakwa penggunaan marijuana atau kanabis berkesan mengurangkan kesakitan dialami.

Antara pesakit yang menggunakan kanabis meliputi mereka yang menghidap kanser, sakit kronik, autisme dan epilepsi (sawan). Keputusan itu adalah hasil kajian secara dalam talian oleh Malaysia Society of Awareness (MASA), pada 20 Disember lalu.

Penyelidikan mendapati 55.8 peratus daripada 2,000 responden dalam kalangan pesakit kronik dan pengguna sosial menganggap penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan lebih selamat berbanding pengambilan gula berlebihan.

Hasil kajian berkenaan dipaparkan di laman Facebook rasmi MASA, iaitu MalaysiaMedicalMarijuana.

Setiausaha MASA, Harish Kumar Thanabalan, berkata menerusi kajian kukuh dan ilmu berkaitannya, masyarakat di negara ini dipercayai boleh menerima penggunaannya kerana lebih selamat berbanding mereka yang menghisap rokok, minum arak dan mengambil gula berlebihan.

“Kanabis mengandungi bahan aktif Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) yang mengakibatkan perubahan frekuensi minda daripada Beta ke Alpha.

Tindak balas semula jadi

“Ini adalah tindak balas semula jadi yang dikatakan membawa rasa khayal. Bagaimanapun, penggunaannya harus dikaji dengan lebih terperinci kerana tidak membawa kemudaratan atau hilang kawalan seperti mabuk akibat arak,” katanya.

Beliau mengulas laporan BH mengenai penyelidikan Neurosains UPM yang mendapati penggunaan marijuana atau kanabis mampu merangsang pembentukan saraf otak yang mati.

Katanya, kanabis mengandungi bahan aktif Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) mengakibatkan perubahan frekuensi minda daripada Beta kepada Alpha.

Kajian diketuai Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas menjelaskan kanabis pada dos rendah memberi kebaikan dari sudut kesihatan tetapi boleh mendatangkan kesan mudarat jika diambil melebihi 2 mg/kg (miligram).

Harish Kumar berkata, tumbuhan kanabis juga mengandungi Cannabinoids (CBDs) yang turut bertindak balas secara semula jadi pada sistem Endo-cannabinoid yang ramai pakar perubatan di Malaysia tidak mengenali.

Ramai pesakit tenat terpaksa keluar negara untuk mendapatkan perubatan yang dikatakan boleh menyelamatkan nyawa mereka.

“Bagi yang tidak berkemampuan, mereka hanya mampu menahan kesakitan dan penderitaan walaupun mengetahui mengenai rakan atau orang lain di negara luar yang sembuh menggunakan perubatan kanabis kerana penggunaannya haram di Malaysia serta boleh membawa kepada kes jenayah yang berat,” katanya.

Gubal undang-undang baharu

Justeru, bagi memastikan ia tidak disalahgunakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membenarkan undang-undang untuk menentukan pengimport perubatan kanabis dan diselia secara ketat.

Katanya, pengimport hanya boleh mengedarkan kanabis untuk tujuan perubatan kepada hospital, klinik dan fasiliti perubatan lain supaya disalurkan kepada pesakit melalui pakar terbabit.

Pada masa sama, kerajaan seharusnya menyediakan rang undang-undang baharu bagi tumbuhan kanabis untuk memastikan penjanaan perubatan di negara ini bagi mengurangkan kos kepada pesakit.

“Kawalan dari segi jenis baka dan kandungan THC juga harus diambil kira untuk memastikan tiada tumbuhan yang terlalu tinggi dari segi kandungan bahan kimia aktif diedarkan kepada pesakit, terutama generasi muda,” katanya.

Justeru, MASA berharap manfaat tumbuhan kanabis dan perubatan tumbuhan berkaitan dapat digunakan dalam bidang perubatan di negara ini, tidak lama lagi.

Berita Harian X