Rabu, 13 Februari 2019 | 10:52am

Sarapan berkhasiat jamin otak cergas

Sekiranya guru kelas mengadu anak anda sering mengantuk dan kurang tumpuan ketika di dalam kelas, ia mungkin petanda mereka tidak mengambil sarapan atau sarapan kurang berkhasiat.

Lebih penting, sarapan mesti mengandungi nutrien diperlukan bagi merangsang otak untuk menyerap maklumat diajarkan guru.

Anak yang tidak bersarapan sukar menumpukan perhatian dan mudah letih ketika di sekolah seterusnya sukar menjawab soalan. Mereka cenderung makan makanan kurang berkhasiat yang menyumbang kepada kegemukan atau obesiti.

Sarapan terbaik adalah menghidangkan sesuatu yang ringan dalam tempoh sejam selepas bangun tidur. Elakkan makan kuih-muih seperti karipap, donut atau roti canai.

Gabungan makanan mengandungi karbohidrat, protein, lemak sihat dan serat adalah yang terbaik untuk sarapan kerana anak memerlukan tenaga sepanjang hari di sekolah.

Sediakan makan penuh nutrisi

Pengacara terkenal yang juga ibu kepada empat anak, Daphne Iking, 41, berkata ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan alasan sibuk dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan sarapan anak.

Katanya, sarapan penuh khasiat sebenarnya boleh menjadi mudah sekiranya ibu bapa bijak memilih menu ringkas tetapi penuh nutrisi.

“Cara paling mudah sediakan sarapan berasaskan oat bersama buah-buahan, bijiran dicampur yogurt rendah lemak di sebelah malam bagi menjimatkan masa keesokan harinya,” katanya.

Katanya, sarapan berasaskan bijirin penuh digabungkan dengan buah-buahan segar seperti pisang, limau atau anggur bersama yogurt rendah lemak adalah ringkas tetapi menawarkan khasiat diperlukan anak.

Campuran ini dimasukkan ke dalam balang dan disimpan di dalam peti sejuk, sungguh enak apabila dimakan keesokan paginya.

“Kami juga menyediakan sendiri jus berasaskan ulam seperti pegaga dicampur buah-buahan seperti nanas bagi memastikan mereka mendapat khasiat terutama serat pada waktu pagi untuk sistem penghadaman lebih sihat.

“Mengamalkan sarapan yang sihat perlu bermula sejak kecil dari rumah dan ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak,” katanya.

Daphne ditemui pada program Kembali ke sekolah- Menyediakan Balang Sarapan di ibu kota baru-baru ini.

Kira-kira 60 pelajar sekolah berkenaan mengambil bahagian menyediakan sarapan untuk mereka sendiri di dalam balang menggunakan bijirin penuh, buah-buahan dan yogurt.

Yang turut hadir, Pengarah Serantau Beaconhouse Group of Scholls, Ali Raza dan Pengurus Jenama YoGood, Junita Ee.

Tubuh bertenaga

Pekerja swasta, Liza Netto, 42, berkata beliau biasanya menyediakan roti bakar atau french toast atau buah-buahan dengan susu untuk dua anaknya yang berusia 12 dan lapan tahun.

“Setiap hari jam enam pagi saya sudah bangun menyediakan sarapan sementara anak-anak bersiap ke sekolah dan kami bersarapan bersama setengah jam kemudian.

“Saya kena pastikan mereka bersarapan kerana sebelah pagi biasanya perlu menjalani latihan seperti renang di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ali Raza, berkata tidak kira betapa sukar sekalipun ibu bapa perlu menyediakan sarapan untuk anak-anak sebelum ke sekolah.

Sarapan adalah hidangan pertama selepas tidur sepanjang malam dan otak serta tubuh memerlukan tenaga untuk berfungsi.

“Kanak-kanak yang bersarapan menunjukkan prestasi akademik lebih baik berbanding yang tidak bersarapan,” katanya.

Info

Antara sumber makanan bijirin penuh:

- Biskut bijirin penuh

- Roti bijirin penuh

- Barli

- Bertih jagung

- Beras perang

- Oat, muesli, dan granola bars.

Khasiat bijirin penuh:

- Menyihatkan usus

- Tinggi dengan serat yang dapat membantu sistem penghadaman dengan melancarkan proses membuang air besar.

- Mengatasi masalah sembelit.

- Mengurangkan risiko kanser usus besar (kolon) dan radang usus.

- Menghindari kanser

(Aktiviti antioksida yang tinggi serta kesan perlindungan daripada fitokimia, vitamin E, mineral dan serat yang tinggi di dalam bijirin penuh berperanan mencegah kanser).

- Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

- Mengurangkan risiko diabetes jenis dua.

Berita Harian X