Rabu, 27 Februari 2019 | 2:26pm
Pengarah Perubatan Kanser Malaysia, Dr Murallitharan Munisamy berucap pada Majlis Pelancaran Keytruda dengan Kombinasi Kimoterapi di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Rawatan canggih berupaya panjangkan usia pesakit kanser

PELBAGAI usaha diteruskan pelbagai pihak dalam dunia perubatan sebagai ikhtiar terbaik mengurangkan kadar kematian akibat kanser terutama barah paru-paru.

Kaedah suntikan prembrolizumab atau terapi sasaran Anti PDI ini khusus untuk merawat kanser paru-paru yang diluluskan Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Pengarah Urusan Merck Sharp & Dohme (MSD), syarikat berasaskan farmaseutikal terkemuka, Ashish Pal, berkata suntikan ini membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam meningkatkan peluang hidup buat penghidap kanser paru-paru.

Beliau berkata, suntikan pembrolizumab (100mg) bertujuan meningkatkan sistem imunisasi badan bagi mengesan dan melawan sel tumor secara sasaran.

Suntikan tingkat sistem imun badan

“Rawatan berbeza dengan kaedah kemoterapi yang turut mematikan semua sel baik dalam tubuh,” katanya pada Majlis Pelancaran Keytruda dengan Kombinasi Kimoterapi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pakar Perunding Onkologi klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Tho Lye Mun, berkata penemuan kaedah suntikan pembrolizumab kepada pesakit kanser paru-paru berupaya mengurangkan separuh kematian.

Kaedah ini juga kata beliau, berupaya memanjangkan tempoh hayat pesakit dan meningkatkan perkembangan pejuang berbanding rawatan kemoterapi.

Sementara itu, Perunding Onkologi klinikal dan Radioterapi, pusat rawatan sama, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata sejak beberapa tahun lalu, dunia menyaksikan inovasi dalam merawat kanser paru-paru.

Beliau berkata, kaedah rawatan menerusi terapi sasaran atau suntikan prembrolizumab ini lebih khusus menjurus kepada proses pemulihan dengan meningkatkan sistem imun badan pesakit.

“Kanser ini paling dirisaukan kerana simptom hanya muncul apabila pesakit dikesan selepas mencapai peringkat ketiga dan keempat, manakala kadar ikhtiar hidup paling rendah berbanding kanser lain,” katanya.

Fakta:

• Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kanser paru-paru menyumbang kematian tertinggi dengan kadar 1.76 juta seluruh di dunia. Di Malaysia pula kanser berada pada tempat ketiga tertinggi berbanding kanser jenis lain.

Info:

Kanser terbentuk di dalam tisu paru-paru, biasanya di dalam sel melapisi saluran udara.

- Dua jenis utama kanser paru-paru ialah sel tidak kecil (NSCLC) dan sel kecil (SCLC).

• NSCLC - Merangkumi kira-kira 85 hingga 90 peratus kanser paru-paru. Tiga subjenis utama iaitu

- Karsinoma sel skuamus (epidermis),

- Adenokarsinoma

- Karssinoma sel besar.

• SCLC - Merangkumi kira-kira 10 hingga 15 peratus kanser paru-paru kerap kali bermula di dalam bronkus berhampiran bahagian tengah dada dan biasanya merebak luas ke seluruh badan pada peringkat awal penyakit.

Faktor risiko

• Merokok faktor risiko utama kanser paru-paru. Sekurang-kurangnya 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok.

Berita Harian X