Sabtu, 16 March 2019 | 10:01am
KHATAN dalam kalangan bayi perempuan di negara ini hanya dilakukan mengikut prosedur gores atau dinipiskan pada bahagian frenulum atau kulit klitoris.

Khatan tak 'seksa' bayi perempuan

SUNAT atau khatan dalam kalangan bayi perempuan di negara ini hanya dilakukan mengikut prosedur gores atau dinipiskan pada bahagian frenulum atau kulit klitoris, pastinya tidak memudaratkan.

Prosedur ini berbeza sama sekali dengan amalan Female Genital Mutilation (FMG) yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berdasarkan amalan sesetengah negara seperti di benua Afrika membuang bahagian klitoris, labia atau bibir kemaluan.

Oleh kerana khatan yang diamalkan di negara ini bukan FGM, secara keseluruhannya dalam amalan pakar perbidanan dan sakit puan tidak berhadapan dengan wanita mengalami risiko disebabkan FGM.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Perubatan Reproduktif), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain, berkata tidak timbul isu khatan terhadap bayi perempuan seolah-olah menyeksa seperti didakwa segelintir pihak.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Perubatan Reproduktif), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Murizah Mohd Zai.

Beliau berkata, definisi menyeksa bayi bergantung kepada teknik dan sejauh mana pemotongan dilakukan.

Mengikut amalan biasa, katanya prosedur itu tidak membabitkan pembuangan pada bahagian faraj. Kaedah dilakukan pada tempat betul oleh mereka yang arif.

“Bagaimanapun belum ada satu amalan standard khatan di negara ini, sebahagian besar pengamal perubatan menggunakan jarum kecil yang disteril atau nyah kuman sebelum melakukan sedikit goresan pada bahagian berkenaan,” katanya.

Katanya, masalah utama mengenai sunat budak perempuan adalah teknik dan bahagian mana, saiz torehan atau pemotongan hendak dilakukan.

“Secara analoginya pada budak lelaki, sunat dilakukan dengan membuang kulit pada hujung kemaluan, bagi perempuan pula hujung kulit klitoris atau frenulum.

“Perkara ini memerlukan kesepakatan antara alim ulama dan pakar perubatan bagi menentukannya. Klitoris satu tisu dikaitkan dengan orgasm dalam hubungan seksual.

Dalam pandangan agama, khitan diwajibkan adalah untuk mengawal nafsu syahwat pada wanita, namun jika dilakukan berlebihan boleh mengurangkan kenikmatan ketika melakukan hubungan seksual bersama suami kelak,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Murizah berkata, tidak ada kajian saintifik yang dilakukan buat masa ini untuk membandingkan perbezaan nafsu atau kepuasan seksual antara wanita berkhatan atau tidak berkhatan.

Katanya, tambahan pula untuk melakukan kajian ini sendiri adalah sukar kerana banyak faktor luar selain faktor khatan yang mempengaruhi nafsu dan kepuasan seksual.

“Oleh kerana dari sudut agama dan budaya menerima amalan khatan ini, apa yang lebih perlu adalah memastikan khatan yang dilakukan kekal tidak memudaratkan.

“Sebelum ini, sebahagian besar khatan dilakukan oleh bidan kampung namun pada hari ini dengan kesedaran kesihatan ramai wanita tampil mendapatkan khidmat khatan dari pihak pengamal kesihatan,” katanya.

Info

*Manfaat khatan (lelaki dan perempuan)

- Kekal kebersihan kemaluan

* Wanita Islam di Amerika turut melakukan khatan

- Dikenali sebagai hoodektomi.

* FGM adalah suatu bentuk penderaan pada wanita dan wajar dihentikan.

- WHO menggariskan beberapa kategori dalam FGM mengikut kategori 1 ke 4

(berdasarkan kepada darjah luka atau kecederaan pada genitalia wanita).

- Komplikasi jangka pendek FGM:

i. Pendarahan

ii. Jangkitan kuman

- Komplikasi FGM jangka panjang:

i. Kesukaran hubungan seksual

ii. Komplikasi dalam proses bersalin.

Berita Harian X